Honda di Pameran Kenderaan Tokyo 2017 - Mendepani peralihan teknologi

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda walaupun bukan syarikat automotif nombor satu di dunia, apatah lagi nombor dua dan tiga tetapi ia tetap berjaya menawan jutaan hati pengguna di seluruh dunia. Dari segi angka jualan, Honda begitu jauh di belakang Kumpulan Volkswagen, Toyota Motor Corporation dan beberapa lagi gergasi automotif global.

Tetapi apakah yang membuatkan Honda begitu hebat sekali sehingga mereka setanding dengan pengeluar global lain?

Di antara jawapannya ialah Honda berada di mana-mana dari darat, air dan tinggi berpuluh ribu kaki di udara. Honda adalah pengeluar enjin terbesar di dunia dengan pelbagai produk dari sekecil-kecil mesin rumput Miimo hingga HondaJet yang terbang di udara.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Honda mempunyai hubungan dengan 28 juta pelanggan di serata dunia melalui produk-produk yang dikeluarkan. Kekuatan sebagai pengeluar dan hubungan dengan pelanggan adalah bukti Honda dalam menghidupkan semangat untuk berkhidmat kepada orang ramai di seluruh dunia dengan kegembiraan mengembangkan potensi hidup mereka.

Honda akan terus mengukuhkan barisan model motosikal dan kereta global yang mewakili salah satu kekuatan syarikat itu dan sentiasa menawarkan pelbagai produk menarik kepada para pelanggan di seluruh dunia.

Honda telah mengusahakan pembangunan pelbagai teknologi dan produk yang akan menyumbang ke arah merealisasikan masyarakat bebas karbon dan sekarang ini telah mencapai perkembangan positif dalam menghasilkan kenderaan bertenaga petrol yang lebih bersih dan lebih efisien.

 

Dalam bidang automobil, Honda telah menambah barisan kenderaan hibrid dan akan terus mengukuhkan model hibrid, plug-in hybrid dan EV bermula dari sini dan ke hadapan.

Dengan produk yang dilengkapi teknologi elektrifikasi, Honda akan terus berusaha untuk merealisasikan semangat berterusan syarikat untuk merealisasikan kegembiraan membantu orang ramai dan kegembiraan memandu.

Honda akan terus mengambil cabaran untuk memperluaskan potensi kehidupan para pelanggan. 

Careta berkunjung ke Pameran Kenderaan Tokyo ke-45 (TMS) selama dua hari dan ini ringkasan kereta dan teknologi yang dipertontonkan oleh Honda.

Honda Urban EV Concept:

 

Ini projek yang berjaya disembunyikan oleh Honda dari pengetahuan umum. Tanpa apa-apa berita, Honda mempamerkan model konsep buat kali pertama di Pameran Kenderaan Frankfurt yang lalu.

Dibina dari platform EV yang dibangunkan khas, Honda Urban EV Concept adalah indikator kepada arah teknologi dan reka bentuk untuk model EV pengeluaran massa Honda pada masa akan datang. Model baru yang berdasarkan konsep ini akan dijual terlebih dahulu di Eropah pada tahun 2019 sebelum memasuki pasaran Jepun pada tahun 2020.

Honda Sports EV Concept:

 

Rindukan kereta sports Honda di jalanan? Ini bukan jawapan yang nyata tetapi memberi indikator tentang kereta sports moden Honda untuk masa depan.

Honda Sports EV Concept ini membuat penampilan sulung di TMS. Model ini menggabungkan prestasi EV dan AI (kecerdasan buatan) di dalam badan yang kompak bagi mewujudkan rasa gembira semasa memandu dan rasa kebersamaan dengan kereta.

Tidak seperti Honda Urban EV Concept, model ini masih lagi misteri di mana Honda tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai pengeluarannya. 

Honda NeuV:

 

Comel tak? Honda NeuV adalah model konsep EV yang meneroka potensi produk mobiliti dengan teknologi memandu automatik dan AI.

NeuV ini ibarat mempunyai otak sendiri apabila diprogramkan untuk membuat keputusan tentang keadaan tekanan pemandu berdasarkan ekspresi muka dan atau nada suara dan memberikan bantuan kepada pemandu untuk pemanduan selamat.

Sistem pintar NeuV juga diprogramkan untuk mempelajari gaya hidup dan tabiat pemandu dan berdasarkan informasi tersebut mampu memberikan beberapa pilihan untuk pemandu.

Sistem ini ibarat kereta yang pandai berkomunikasi dengan manusia (tiba-tiba teringat drama Knight Rider).

Honda CR-V:

 

Ini adalah SUV yang popular di pasaran tempatan dan ia turut dipasarkan di lebih 160 negara di seluruh dunia. Walaupun model generasi kelima sudah dipasarkan di beberapa negara ASEAN, CR-V masih belum dilancarkan di Jepun iaitu tanah kelahirannya sendiri.

CR-V baharu bakal dijual tahun depan di Jepun dan menariknya ia dilengkapi nadi kuasa SPORT HYBRID i-MMD dengan sistem dua motor. Selain nadi kuasa berbeza CR-V pasaran Jepun (JDM) juga didatangkan bersama tiga barisan tempat duduk seperti yang terdapat di Indonesia dan Thailand.

Honda Clarity PHEV:

 

Ini satu lagi model mesra alam iaitu Honda Clarity Plug-in Hybrid (PHEV). Kereta ini menggunakan teknologi Honda Sport Hybrid i-MMD dengan output dan kapasiti bateri yang telah dipertingkatkan di mana ia boleh bergerak pada jarak melebihi 100 km.

Model hibrid plug-in generasi baharu ini mempunyai bentuk luaran dengan ketinggian kenderaan yang rendah, kabin dengan kapasiti lima orang dewasa dan ruang kargo saiz besar. Sama seperti CR-V, Clarity PHEV dijadualkan untuk dijual di Jepun pada tahun 2018.

Honda Civic Type R

Walaupun dunia automotif sekarang sibuk dengan pengumuman teknologi elektrifikasi dan pemanduan autonomi tetapi inilah model yang banyak mendapat perhatian. Bergegar internet apabila Honda tampil dengan Civic Type R untuk pasaran global tambah lagi ini lah kereta produksi pacuan depan (FF 2WD) terpantas di litar Nürbürgring.

Keputusan Honda untuk memasarkan Civic Type R di Amerika Syarikat buat pertama kali begitu tepat bukan hanya untuk penggemar kereta prestasi tetapi juga dari segi penjenamaan apabila ia mendapat liputan meluas media AS. 

 

Memandangkan beberapa media ternama dalam talian dan influencer berpusat di sana ditambah pula dengan media dari UK, Honda Civic Type R terus mendapat liputan ibarat sebuah fenomena.

Lebih mengujakan apabila Honda mengumumkan satu persatu pasaran ASEAN seperti Filipina, Singapura dan Indonesia yang bakal ditawarkan model ini. Akhirnya pada hujung bulan lalu Honda Malaysia turut mengumumkan penawaran Honda Civic Type R dan kini sudah boleh ditempah oleh mereka yang berminat.

Ini adalah kali kedua pasaran tempatan menerima Honda Civic Type R selepas ia diimport secara rasmi sepuluh tahun lalu.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Seperti kei-car lain, N-VAN digerakkan enjin 660 cc bagi varian G, L, FUN, FUN STYLE+ NATURE …
Berita Global
Kemenangan pada tahun ini merupakan tahun kelima berturut-turut produk Honda memenangi anugerah Red…
Berita Global
  Ye Series juga menjadi jawapan kepada yang bertanya di mana EV Honda. Masih awal, belum…