Honda Civic FK8 Type R kekalkan transmisi manual bukan kerana tradisi

oleh HEZERI SAMSURI|

Pastinya sekarang ini anda tahu bahawa Honda Civic FK8 Type R yang baharu itu hanya datang dengan transmisi manual 6-kelajuan sahaja.

Ini satu keputusan yang berani kerana di zaman ini, kebanyakan pembuat kereta telah meninggalkan teknologi lama itu untuk transmisi automatik yang lebih mudah digunakan.

Honda nampaknya seperti ingin berpegang teguh kepada prinsip asas Type-R, di mana hanya ada transmisi manual sahaja.

hideki Kakinuma

 

Namun begitu, menurut Carlist.my yang menemuramah Hideki Kakinuma (di atas), Penolong Kanan Projek Civic Type-R ketika model itu dilancarkan di Indonesia tempoh hari, keputusan untuk kekal dengan transmisi manual bukannya atas dasar nostalgia tetapi lebih kepada transmisi DCT  dwi-klac automatik adalah terlalu berat untuk Type R baharu.

Walaupun Honda ada menimbangkan faktor di mana pertukaran gear (gear shift) akan menjadi perlahan, tetapi mereka bersetuju bahawa penggunaan transmisi manual itu mencapai tiga objektif utama bagi sebuah Type R:

  1. Secara mekanikal, ia lebih mudah.
  2. Ia lebih ringan.
  3. Ia lebih seronok dipandu.
FK8 CTR
Gambar dari NetCarShow.com

 

Kelajuan maksimum sebenarnya bukanlah objektif utama projek Type R dan mereka menganggap rekod kelajuan terpantas di Nurbrugring (bagi kategori FWD) yang dipegang oleh Civic FK8 Type R ini adalah merupakan satu bonus.

Menurut Kon Wai Luen, editor Carlist yang diberi peluang untuk memandu Civic FK8 Type R di litar Lausitzring di Jerman baru-baru ini, sistem transmisi manual pada Civic Type R itu mempunyai gate (longkang gear) yang terlalu rapat, dan beliau merasakan ada kemungkinan pemandu akan termasuk gear undur (R) sedangkan ia mahu masuk ke gear 6.

Kedudukan gear R (undur) untuk Civic Type-R ini pula berada di sebelah kanan seperti kereta Jepun biasa, dan tidak ada mekanisma seperti gelang yang atau spring yang mengunci tuil gear dari memasuki R secara tidak sengaja.

 

FK8 gear knob
Susun atur gear pada tombol gear FK8 Type R sama seperti kebanyakan kereta Jepun yang lain.

 

Carlist mengajukan isu itu kepada Kakinuma dan menurut jurutera itu, sistem transmisi Type R baharu itu memang mempunyai mekanisma agar pemandu tidak tersalah masuk ke gear R ketika sedang memandu.

Kon menambah bahawa beliau mencuba memasuki gear R dari gear 5 tanpa pergi ke posisi neutral dan ia memang boleh dilakukan ketika kenderaan dalam keadaan pegun.

Kakinuma seterusnya menambah gear manual Type R baharu ini memang direka begitu supaya pemandu mudah untuk membuat pusingan U tiga point di jalan yang sempat (seperti ketika hendak melarikan diri dari pihak polis dalam Fast and Furios mungkin?).

 

FK8 side
Gambar dari NetCarShow.com

 

Jurutera Jepun itu berkata pemandu tidak perlu risau kerana Honda sudah memikirkan situasi itu dan mekanisma dalam pada kotak gear manual itu memang akan menghalang pemandu masuk ke gear undur ketika kenderaan sedang bergerak.

Ia adalah antara inovasi ringkas tapi berkesan yang dilakukan oleh Honda, dan kerana itu, walaupun Civic FK8 Type R ini cuma didatangkan dalam varian manual, teknologi yang terbina di dalamnya memang akan menjadikan ia sebuah legenda, sama seperti Type-R sebelumnya.

Mungkin satu hari nanti Careta dapat diberi peluang untuk memandu FK-8 ini, tetapi sekiranya majoriti komen yang diberikan di FB nanti ialah "hanya mampu lihat sahaja", maka kami akan terus duduk gigit jari di Malaysia sahaja kerana kematangan pembaca dinilai untuk memastikan sesebuah penerbitan dihantar jauh untuk pandu uji istimewa begini.


*Artikel diolah dari laporan asal di Carlist.my

Add new comment

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Street cub sudah menjadi kebiasaan sekarang ini dan bila kita sebut street cub, imej Honda C70…
Berita Domestik
Dua hari lalu Careta menjemput para pembaca untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan produk…
Berita Domestik
Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) terus melangkah bagi menguasai semula pasaran motosikal dengan…