Honda City Sport Hybrid - Sporty atau menjimatkan? (RM89,200)

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Dua minggu lalu Careta ke Dungun, Trengganu bersama Honda Malaysia dalam sesi pandu uji City dan Jazz Sport Hybrid.

Pelbagai persoalan ditanyakan dan Careta menjawab hampir kesemuanya di dalam artikel MENJAWAB PERSOALAN HONDA JAZZ/CITY SPORT HYBRID.

Kali ini, Careta menceritakan pula pengalaman pemanduan City Sport Hybrid (laporan untuk Jazz Sport Hybrid akan menyusul kelak) kerana ramai yang bertanya akan prestasi varian Hybrid ini dan adakah ia lebih berbaloi dari varian petrol biasa.

Honda City Sport Hybrid ini secara luaran, sama seperti varian berenjin petrol.

Ia lebih seperti Honda City Varian E dengan DRL jenis LED, rim 16-inci, lampu belakang LED, antena sirip jerung tetapi sayangnya ia tidak mendapat lampu hadapan LED atau spoiler di belakang seperti varian V.

city hybrid1

 

Selain dari itu, tidak ada langsung kelainan yang membolehkan anda tahu ini ialah sebuah hybrid. Cuma ada logo tulisan Hybrid di belakang dan di sisi.

Mungkin ini adalah sebuah sedan yang sesuai untuk orang yang tidak mahu tahu mereka sedang memandu sebuah hibrid.

Bahagian kabin juga sama seperti varian E, cuma ada sistem keyless entry and start (buka pintu tanpa kunci dan butang Start/Stop) dan paddle shifter untuk tukaran gear di stereng.

city hybrid2

 

Sistem audio datang dengan skrin sesentuh 6.8 inci, kamera undur serta enam speaker yang menghasilkan bunyi yang boleh dikatakan baik. Namun kepada penggemar bass, subwoofer masih nyata perlu dipasang.

Kawalan pendingin hawa juga menggunakan jenis panel sesentuh. Nampak canggih, memang canggih bila halaju kipas boleh diubah dengan cara melayarkan jari ke atas atau ke bawah tetapi untuk mereka yang tidak biasa, mata terpaksa dilarikan dari pandangan hadapan untuk melihat apa yang diraba.

Walaupun sebenarnya kami diberitahu ada sedikit unjuran pada panel bawah itu untuk memberikan informasi kepada jari kita akan kedudukan kawasan yang perlu disentuh, ia masih lagi satu "kecanggihan" yang tidak diperlukan.

city hybrid3

 

Kami kira kawalan tradisional dengan tombol atau slider lebih mudah, dan kecanggihan panel itu digantikan dengan fungsi menghidupkan lampu hadapan secara automatik.

Kelainan paling ketara pada papan pemuka City Sport Hybrid ini pastinya pada paparan meter.

Meter halaju yang besar mendominasi keseluruhan panel tersebut, dan diapit oleh dua skrin LCD. Skrin sebelah kiri memaparkan kedudukan gear dan juga samada bateri sedang dicaj atau tidak.

Skrin LCD kanan mempunyai enam fungsi dan ia dikawal melalui butang pada stereng. 

city hybrid5

 

Bahagian belakang masih kekal dengan corong pendingin hawa dan dua soket 12V. Tempat duduk belakang masih luas dan apa yang berbeza ialah ada corong udara pada sebelah hujung kanan. 

Ia menyalurkan udara dari kabin kepada bateri hibrid yang ada di dalam ruang boot. Namun begitu, boot City Sport Hybrid mengekalkan saiz yang sama (536 liter) walaupun ada bateri di bawahnya.

Ajaib? 

Bukan, ia bukan kerja sihir tetapi apa yang berlaku ialah oleh kerana bateri itu memakan ruang, maka tayar simpanan telah dibuang dan digantikan dengan kit tampal tayar jenis cecair dan pam udara 12V.

city hybrid6

 

Ia mudah digunakan dan tidak begitu melecehkan sangat cuma nasihat Careta, pam tayar itu dengan udara sahaja kerana jika ia kebocoran kecil, anda boleh memandu pada kelajuan perlahan ke stesen petrol atau kedai terdekat.

Jika ia kebocoran besar dengan lubang melebihi 4 atau 5 mm, gam penampal yang diberikan itu tidak akan berjaya menutupi lubang tersebut dan anda perlu memanggil lori penunda.

Okay, mari kita lihat pula prestasi City Sport Hybrid di atas jalanraya.

city hybrid7

 

Perjalanan ke Dungun sebenarnya mengambil masa dua hari kerana kami singgah di Kuantan untuk satu malam. Menarik juga kerana ia tidak memenatkan dan kami dapat memandu di kawasan yang kami biasa.

City Sport Hybrid mempunyai dua punca kuasa - enjin 1.5-liter Atkinson dengan suntikan PGM-FI serta DOHC (lain ya dari enjin City 1.5L petrol biasa). 

Ia menggunakan empat palam pencucuh (spark plug), bukan lapan seperti enjin iDSI lama atau enjin Honda Insight/Jazz IMA Hybrid dahulu.

Enjin petrol ini menjana 110 PS dan tork setinggi 134 Nm - rendah sedikit dari enjin 1.5L pada City petrol tetapi lebih menjimatkan.

city hybrid8

 

Apa yang menjadikan City Sport Hybrid lebih berkuasa ialah tenaga yang dihasilkan oleh bateri hibrid di belakang yang kemudian menggerakan motor elektrik di hadapan. 

Motor elektrik itu menyumbang 30 PS dan 160 Nm, dan bila enjin dan bateri itu digabungkan tenaganya, pemandu akan menerima 137 PS dan 170 Nm untuk bermain.

Ia bermakna City Sport Hybrid ini mempunyai hamburan tenaga yang hampir menyamai kuasa dari enjin abangnya, Civic 1.8L. 

City dengan kuasa enjin 1.8L, menarik bukan?

city hybrid10

 

Teknologi hibrid yang digunakan oleh City Sport Hybrid pula jauh berbeza dari hibrid IMA oleh Honda dahulu.

Ia menggunakan motor elektrik i-DCD yang mempunyai magnet neodymium yang TIDAk menggunakan bahan mentah rare-earth yang sedang dilombong secara aktif di Pahang.

Nampaknya Honda sangat prihatin akan pencemaran alam dan melabur bersama Daido Steel untuk mendapatkan sistem hibrid yang mesra alam ini.

Motor elektrik pada City Sport Hybrid juga menghasilkan lebih banyak tenaga dari sistem hibrid pada Jazz atau Insight lama, dan bateri yang digunakan juga tidak begitu besar - dalam 2 kg lebih berat sahaja.

city hybrid11

 

Seperti yang kami telah tulis dahulu, harga bateri pula ialah RM5,513, termurah di Malaysia. Ya, masih beribu RM tetapi ini bukan kereta mainan yang perlu ditukar baterinya setahun sekali.

Menurut Honda Malaysia, bateri lithium-ion yang digunakan jauh lebih lasak. 

Dalam tempoh hampir empat tahun ini, cuma 0.103 peratus dari 256,565 unit kenderaan Fit Hybrid di Jepun yang pernah menukar bateri di bawah waranti. 

Fit Hybrid di Jepun menggunakan sistem hibrid yang sama seperti Jazz Sport Hybrid dan City Sport Hybrid ini.

city hybrid12

 

Honda Malaysia juga memberikan waranti selama lapan tahun tanpa had perbatuan untuk bateri hibrid ini.

Cuma perlu diingatkan, bateri hibrid dalam mana-mana kenderaan hibrid tidak boleh berada pada caj minima kerana tidak digunakan selama lebih dari tiga bulan.

Kerana itu jika anda ialah jenis yang membeli kereta dan menggunakannya hanya setahun sekali, lebih afdal untuk anda membeli kereta dan berikan kepada kami untuk kami tolong gunakan.

Di atas jalanraya, tenaga yang dihasilkan oleh enjin dan bateri itu cukup terasa. 

city hybrid14

 

Ia adalah City paling pantas dan paling laju pernah kami bawa, dan sistem transmisi Intelligent Dual Clutch Drive (i-DCD) itu pula melayan nisbah gear dengan sangat lancar. Malah terlalu lancar sehinggakan hilang nikmat sportinya. 

Hairan juga kerana transmisi ini datang dengan punat S, iaitu khas untuk pemanduan sporti.

Untuk yang terasa mahu menukar nisbah secara manual, anda boleh gunakan paddle shifters di belakang stereng itu. Sekali lagi, tukaran gear menaik atau menurun sebenarnya masih dikawal oleh komputer dan kita langsung tidak terasa apa-apa sentakan bila nisbah ditukar. 

Kerana itu, kami lebih suka membiarkan gear di dalam mod D dan biarkan komputer yang menukarkan nisbah.

city hybrid15

 

Dari segi pengendalian, Honda telah mengubah talaan sistem gantungan City Sport Hybrid ini kerana bateri dan motor elektrik memberikan tambahan berat sebanyak 69 kg.

Jangan risau, anda haram tidak dapat merasakan perbezaan berat itu kerana sistem gantungan yang memang jauh lebih sporti tanpa menggegarkan perut walaupun jalan di kawasan Jabor itu sedikit huru-hara seperti baharu lepas perang Jepun.

Pengukuhan kerangka pada tempat sistem gantungan hadapan diikat dan pengukuhan pada ruang antara boot dan tempat duduk belakang memastikan kerangka tidak meliuk di dalam keadaan ekstrem (contohnya, mengambil selekoh pada kelajuan 180 kmsj).

city hybrid16

 

Kadar spring juga diubah dan penyerap hentak mempunyai jarak yang lebih pendek - menjadikan ia sedikit "keras" berbanding dengan City petrol. Tak apa kerana City Sport Hybrid ini boleh mengambil selekoh dengan kelajuan yang sangat tinggi berbanding City petrol.

Ini dibuktikan di kawasan lebuhraya KL-Karak di mana selekoh panjang beralun itu diambil dengan selamba oleh City Sport Hybrid ini.

Malah bila dipaksa untuk membrek ketika mengambil selekoh, ekornya masih menurut bahagian hadapan tanpa sebarang komplen.

Kami diberitahu stereng elektrik City Sport Hybrid juga dipendekan nisbahnya sebanyak 15.5 peratus agar ia rasa lebih sporti.

city hybrid17

 

Ya, ia terasa lebih sporti dari City petrol tetapi tidaklah sehebat sebuah CR-Z ya. Keselesaan masih wujud agar ia boleh digunakan setiap hari oleh isteri anda, ibu anda, ayah anda atau orang lain yang tidak suka membawa laju.

Bercerita akan kelajuan, ia mampu bergerak melebihi 180 kmsj. Menghairankan kerana Honda memberitahu wujudnya speed cut untuk memastikan bateri tidak terlalu panas. Yang pasti, kami pergi lebih dari 180 kmsj.

Sistem brek juga menggunakan servo elektrik, sesuatu yang baharu dan pada mulanya kami sedikit curiga akan kuasa membrek. Namun begitu, nyata tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Ia membrek dengan rasa yang sama seperti brek dengan servo hidraulik biasa cuma jika anda sedang membawa laju dan anda cuba bermain brek untuk mengubah berat dinamik kenderaan, terasa kuasa membrek berubah seketika. 

city hybrid18

 

Di dalam bandar, City Sport Hybrid ini juga lebih selesa kerana kompresor pendingin hawa jenis elektrik itu terus berfungsi bila sistem Start/Stop mematikan enjin ketika berhenti di lampu merah.

Ternyata Honda telah memberikan pembaharuan kepada sistem Start/Stop itu kerana enjin dihidupkan dengan lebih lancar - tidak seperti dahulu, kasar dan menyakitkan hati.

Ia juga akan bermula dalam mod EV sahaja dan enjin akan masuk bila beban meningkat. Tidak ada cara untuk anda memilih mod EV kerana semuanya dikawal oleh komputer. 

Jika anda mahukan sebuah City yang lebih bertenaga, ada dua perkara yang anda patut lakukan.

  • Beli City Sport Hybrid kerana ia memberikan lebih kuasa dari varian petrol.
  • Pastikan tahap bateri tinggi untuk menikmati lebihan kuasa itu.

Honda City Sport Hybrid dijual pada harga RM89,200 dan ia adalah sedan hibrid paling mampu milik di dalam negara.

city hybrid19

 

Hibrid memang menjimatkan jika dipandu dengan betul (Honda berkata ia mampu memberikan 4.0L untuk setiap 100 km) dan ia juga bertenaga bila diperlukan.

Paling penting, sistem hibrid ini tidak terasa janggal untuk digunakan - dan itu penting kerana perubahan teknologi tidak sepatutnya membabitkan perubahan kepada cara penggunaan.