Menurut laporan daripada Reuters, Honda dalam satu siaran media merancang untuk melancarkan Honda Legend (sedan mewah) yang dilengkapi dengan sistem autonomi tahap ketiga menjelang akhir Mac 2021.
Terdahulu, kerajaan Jepun baru-baru ini telah menganugerahkan Honda sijil pengiktirafan keselamatan kepada sistem autonomi Honda "Traffic Jam Pilot".
Dengan teknologi pemanduan autonomi tahap ketiga, ia membenarkan pemandu untuk mengalihkan pandangan mereka daripada jalan raya dalam keadaan tertentu, tidak seperti pemanduan autonomi tahap kedua.
Kereta dengan bantuan pemanduan autonomi tahap kedua yang kini banyak melata atas jalan raya pula mampu mengawal kelajuan dan putaran roda stereng, namun masih lagi memerlukan pemantauan daripada pemandu untuk mengambil alih kawalan pemanduan pada bila-bila masa.
Terdapat sehingga enam tahap pemanduan autonomi yang digariskan oleh SAE, bermula dari sifar (pemanduan manual sepenuhnya) hingga tahap kelima yang merupakan tahap pemanduan autonomi penuh.
Sumber: Reuters