Hijrah, bahan api dan EEV

oleh HEZERI SAMSURI|

Assalamualaikum dan Salam Ma'al Hijrah untuk semua.

Sempena tahun baharu ini, harapnya kita ada menyimpan sedikit azam untuk memajukan diri dan juga mempunyai niat untuk mengukuhkan kefahaman kita terhadap agama.

Bagi saya, azam tidak menunggu tahun tetapi di setiap awal tahun, saya "revisit" atau memikirkan kembali segala azam-azam yang saya telah lakukan sepanjang tahun - mana yang tercapai, mana yang "work in progress" dan yang paling banyak, ke laut.

Jangan malu untuk mengaku. Bukan semua perubahan mampu dilakukan dalam sekelip mata.

history

Sepuluh tahun lalu, semasa saya masih bersama Cars Bikes and Trucks, NST dan Berita Auto, Berita Harian, saya pernah mengutarakan kebimbangan saya mengenai catatan penggunaan bahan api yang dikongsi oleh syarikat kenderaan.

Pada masa itu, memang saya musykil kerana data yang dikongsi oleh syarikat kenderaan memang nampak sangat menjimatkan.

Tetapi, bila saya menguji kenderaan itu, haram separuh dari data yang diberikan itu pun tidak tercapai. 

Contohnya, di atas risalah, kereta A memberikan penggunaan bahan api sebanyak 7.5L/100km tetapi bila dipandu selama seminggu pun, penggunaan bahan api secara purata melebihi 10L/100km - tidak sama seperti apa yang diberikan.

FUEL GAUGE

 

Kemudian, kita juga ada ujian-ujian untuk mendapatkan angka penggunaan bahan api tersebut. 

Untuk produk dari Eropah, mereka memang menggunakan liter per 100 km dan cara ujian yang digunakan ialah mengikut piawaian Eropah. Ini memang lazim dan perlu dilakukan oleh sesiapa yang mahu menjual kenderaan mereka di Eropah.

Di Malaysia, ada juga yang memberikan keputusan penggunaan bahan api dari Jepun atau JC08, yang cara pengiraannya sangat jauh berbeza dari Eropah dan langsung tidak sama!

Manakala syarikat kenderaan tempatan pula, contohnya Perodua, ia tidak mempunyai data untuk dikongsi secara rasmi dan Proton penggunakan cara ujian mereka tersendiri.  

FUEL TEST

 

Dengan keputusan-keputusan yang menggunakan cara ujian yang berbeza, sangat mustahil untuk membandingkan penggunaan bahan api antara kesemua kenderaan tersebut. 

Disebabkan itu, pihak media terpaksa membuat anggaran sendiri dengan cara ujian peribadi.

Pihak JPJ juga menggunakan konsep ujian yang biasa dan dari sumber yang kami terima, ujian penggunaan bahan api oleh JPJ ialah memandu kenderaan baharu itu dan kemudian menggunakan purata penggunaan bahan api dari komputer kenderaan yang terpapar di skrin. "Kalau terlalu tinggi, bahagi dua," ujar sumber kami itu.

Kasihan, itu lagi primitif. Kami mati-mati ingat agensi yang berkuasa seperti JPJ mempunyai kelengkapan yang lengkap untuk menguji penggunaan bahan api, prestasi membrek dan pelbagai. Hmmm ... 

 

HAHAHA

 

Paling menarik, ada juga syarikat insurans yang memberi "anugerah kenderaan paling menjimatkan" berdasarkan ujian-ujian berbeza-beza itu. Tetapi demi anugerah, syarikat kenderaan ikutkan sahaja. Kelakar yang amat kerana saya ingatkan mereka dari golongan pandai-pandai sebab "speaking" berhabuk!

Kerana itu, pada masa itu, saya impikan satu cara kiraan penggunaan bahan api yang digunakan oleh semua syarikat kenderaan di dalam negara kita. Dan keputusan tersebut dikira dan dipamerkan untuk semua bakal pembeli melihat.

Dengan cara itu, ia mampu membantu bakal pembeli untuk membuat keputusan kerana faktor penggunaan bahan api (dan nanti, faktor asap ekzos) menjadi antara faktor penting dalam proses membeli kenderaan baharu.

Oleh kerana saya ini salah seorang pengamal media, apa yang saya mampu lakukan ialah menulis mengenainya. Of course, tidak ada sesiapa yang mahu mendengar, terutama syarikat kenderaan kerana mereka memang tidak suka akan perkara-perkara yang menyusahkan itu.

Alhamdulillah juga, pihak kerajaan, sejak tahun 2016, telah menguatkuasakan bahawa setiap kenderaan baharu perlu memberikan data penggunaan bahan api mengikut cara ujian Kesatuan Eropah.

fuel test

 

Ujian di dalam makmal itu perlu dilakukan oleh pihak ketiga yang disahkan oleh Kesatuan Eropah dan hasilnya ialah jika anda bandingkan data-data penggunaan bahan api di dalam risalah-risalah kenderaan sekarang ini, semuanya menggunakan liter per 100 km, ujian EU (Kesatuan Eropah).

Dengan cara ini, kita mampu membandingkan penggunaan bahan api antara kenderaan.

Pada tahun 2016 juga Malaysia Automotive Institute atau MAI, sebuah agensi di bawah MITI yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasakan industri automotif memperkenalkan skim insentif Kenderaan Cekap Tenaga atau EEV.

NVX 155
Yamaha NVX 155 adalah produk pertama Yamaha yang menerima insentif EEV. Ia adalah usaha MAI untuk memastikan lebih banyak kenderaan dipasang secara tempatan dan menggunakan komponen buatan Malaysia.

 

Bagi kenderaan yang dipasang secara tempatan (CKD) dan menepati piawaian EEV, ia akan menerima insentif cukai dan menjadikan ia lebih mampu milik.

Sekarang ini, banyak kenderaan yang menjimatkan bahan api yang kini mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia. Dari motosikal kepada kereta rakyat sehinggalah kereta-kereta premium.

Antara yang popular ialah Yamaha NVX155, Perodua Axia, Honda City/Jazz Hybrid, Hyundai Ioniq, BMW 330E, Mercedes-Benz S300h dan banyak lagi.

Rakan-rakan dari negara jiran sendiri sangat iri hati akan konsep EEV kerana kerajaan mereka sangat "ignorant" atau tidak ambil kisah di dalam proses-proses kemajuan teknologi sebegitu.

Untuk mendapatkan pengiktirafan EEV, penggunaan bahan api perlu berada di dalam julat nilai yang ditetapkan dan untuk itu, ujian penggunaan bahan api menggunakan cara EU diperlukan.

utusan EEV
Jadual EEV oleh MAI - grafik dari Utusan Online.

 

Menurut Datuk Madani Sahari, CEO MAI, usaha itu tidak berhenti di situ sahaja. Walaupun ujian penggunaan bahan api NEDC (New European Driving Cycle) itu mengambil kira cara-cara pemanduan di seluruh dunia termasuk negara Asia, ia tetap tidak mengikuti cara pemanduan di dalam Malaysia dan anugerah EEV ini pula hanya khusus untuk Malaysia.

Kerana itu, MAI diberitakan sedang dalam usaha untuk menghasilkan perkiraan penggunaan bahan api kenderaan menggunakan cara pemanduan tempatan (driving cycle).

Malaysian Driving Cycle ini mengambil kira kesesakan jalanraya di beberapa buah bandar utama di Malaysia, suhu dan tekanan udara persekitaran dan keadaan bentuk muka bumi Malaysia. 

Semua itu adalah faktor penting yang akan memberi efek kepada penggunaan bahan api kenderaan dan kerana ia menggunakan data tempatan, keputusan penggunaan bahan api yang akan dihasilkan adalah lebih praktikal kepada pengguna Malaysia.

Unimap
UniMap di Perlis mempunyai trek lumba khusus untuk pengajian kenderaan.

 

MAI juga bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan - antaranya ialah UTM dan UniMap (Universiti Malaysia Perlis). Ini adalah antara inisiatif yang saya sangat sokong kerana:

  • Kerajaan dapat menjimatkan kos kerana universiti tempatan mengenakan harga yang lebih rendah atas dasar keuntungan bukan keutamaan mereka.
  • Tenaga pengajar dan pelajar-pelajar universiti dapat terlibat secara langsung dengan projek yang akan digunakan oleh pengguna sebenar. 

Walapun saya tidak terlibat secara langsung di dalam proses Malaysian Driving Cycle ini, namun keluhan hati saya di media sosial didengari juga oleh mereka yang terbabit di dalam industri automotif.

membaca
Jangan berhenti membaca - ia masih aktiviti penambahan ilmu terbaik.

 

Sebenarnya ramai yang bekerja di dalam agensi kerajaan ini faham bahawa projek-projek yang membantu menjaga kepentingan pengguna ini adalah juga inisiatif untuk bekalan di akhirat nanti.

Pada pendapat saya, projek dunia begini juga adalah satu penghijrahan - di mana kita berhijrah minda dan memahami bahawa ibadat bukan setakat habis di atas sejadah sahaja.

Apa yang kita lakukan di dunia ini akan dipersoalkan di akhirat kelak. Apa yang saya tulis juga akan ditanya nanti.

Dan sekiranya kita diberi kuasa, maka kita juga akan ditanya apakah kita menggunakan kuasa yang diberi itu untuk kebaikan sejagat.

Wallahuallam.

Salam Ma'Al Hijrah dari saya dan rakan-rakan di Careta Media Sdn Bhd.

Add new comment