Hebat sangat ke Volkswagen Tiguan?

oleh SALINA JALIL|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Bila diberi peluang untuk memandu balik berHARI RAYA bersama pemenang Anugerah Reka Bentuk Jerman 2017 iaitu Volkswagen Tiguan varian Highline, sebuah SUV kompak yang penuh dengan ciri-ciri teknologi terkini sememangnya bertambah semangat hendak beraya.  Maklum lah belum pernah memandu SUV yang berenjin turbo sebab sebelum ini cuma berpeluang memandu kereta sedan berkuasa turbo sahaja.

Tiguan Melaka

Keluar sahaja dari parkir sudah terasa kuasa kuda jentera dari Jerman ini, penggabungan enjin TSI pengecas turbo 1.4L dengan kotak gear jenis direct shift (DSG) 6-kelajuan ini memberikan kuasa impresif iaitu 150PS dan tork 250Nm di antara 1,500 hingga 3,500rpm. Dengan pecutan mengagumkan, dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 8.9 saat dengan catatan penggunaan bahan api sekitar 6.7l/100km, sememangnya padu dan mantap sekali. Bersesuaian dengan namanya, kegarangan terserlah, seumpama namanya Tiguan iaitu percantuman nama antara harimau (tiger) dan Iguana (bukan sumpah-sumpah yea). Stereng yang mudah dikendalikan dan tidak terasa kenderaan ini berat atau besar. Penukaran gear rendah ke tinggi juga amat lancar, tidak tersengguk atau tersentak. Seronok sangat!

tiguan front looks

Bagi kaum wanita, sememangnya saiz merupakan salah satu aspek penting yang difikirkan sebelum memandu sebuah kenderaan.  Tetapi dengan model Tiguan ini, ia tidak terlalu besar atau panjang tetapi just nice atau sedang elok sahaja dan ruang boot yang mempunyai kapasiti 615 liter ini dapat memuatkan sebuah beg sebesar 36 kilogram dan 10 kotak kasut dan beg peralatan solek sebesar 5 kilogram dan yang aspek paling penting adalah terasa seperti memandu sebuah kereta dan bukan sebuah SUV.  

Selain itu, Tiguan serba baharu ini dilengkapi pelbagai ciri keselamatan seperti enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Brake Assist (BA), Multi-collision Brake, Intelligent Crash Response System (ICRS), Electronic Parking Brake (EPB) serta Hill-Hold Control, keyakinan memandu bertambah dan terasa terasa berbaloi memiliki sebuah jentera Volkswagen ini.  Ia juga didatangi dengan ciri anti-pitch/anti kepit pada tingkap kuasa serta ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak.

 

tiguan boot

 

Perjalanan ke Melaka begitu lancar dan tidak membosankan, dengan sistem audio yang padu, setiap bunyian dari corong radio berserta lapan unit speaker amat enak didengari. Ciri-ciri ditawarkan termasuk paparan skrin sentuh berwarna bersaiz lapan inci. Unit utamanya turut menyokong kamera undur, menu kenderaan yang lengkap dan sistem infotainmen. Paparan papan permukaan secara digital pula dilengkapi dengan skrin bersaiz 12.3 inci di mana terdapat lima tema dan mode berbeza yang telah ditetapkan untuk memenuhi keperluan pemandu - Classic, Mode Eco, Driving Assistance Mode, Mode Penggunaan Bahan Api (Fuel Consumption Mode) dan Mode Navigasi.

tiguan back view

Perjalanan di sebelah malam pula terasa yakin dengan lontaran lampu depan LED adaptif yang amat terang seperti melangkaui stadium dan lampu belakang LED, kenderaan anda pasti disedari oleh kenderaan lain di jalanraya dalam apa juga kondisi cuaca.  Bahagian dalaman pula, bila memandu waktu malam, lampu ambien yang menyala pada garis pintu dan kemasan sisi untuk ruang kabin yang lebih cerah dan terasa kemewahan.
Tiguan juga didatangkan dengan pintu but belakang elektrik, tidak perlu lagi dihentak sekuat hati seperti membelah buluh lemang.  

 

tiguan dashboard

Dari segi rekaan dalaman, sememangnya VW mengambil kira aspek keselesaan, sebab itu ruang kabin dalaman seperti tempat duduk diberikan jenis kulit ‘Vienna’, disertakan perehat tangan yang boleh dilaras ketinggiannya serta corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Tidak ketinggalan, tempat duduk kulit 12 talaan untuk pemandu serta sistem pendingin hawa “Climatronic” dengan kawalan suhu tiga zon untuk keselesaan semua penumpang. Dan diberikan 'bonus' meja boleh lipat yang mampu diposisikan pada empat sudut berbeza, macam berada di dalam pesawat penerbangan! 

tiguan seat belakang

Pada mata saya, apa yang menarik tentang Tiguan ini adalah, keupayaan enjinnya di mana mampu memberikan saya kepuasan memandu samada laju atau perlahan, rekabentuk yang tidak lapuk, maksudnya rekabentuk Tiguan tidak akan ketinggalan zaman walaupun selepas 10 tahun akan datang.  Paparan permukaan yang sedap mata memandang dan bahagian yang paling saya teruja adalah apabila saya menekan butang 'push/start', paparan di skrin membuat saya tersengih sehingga tidak bergerak dari parkir untuk beberapa minit!

Apa yang boleh saya rumuskan di sini adalah, sekiranya saya mampu komited dengan harga RM168,990 untuk model Volkswagen Tiguan Highline ini, saya akan terus membuat tempahan apatah lagi Tiguan ini diberi jaminan pengilang dan bantuan road assist selama lima tahun. Dan selamanya saya memandu seperti  hari hari, Hari Raya!

tiguan with family

Berita Berkenaan

Berita Global
   Volkswagen ID.3 GTX Hatchback elektrik ini ditawarkan di dalam dua varian iaitu ID.3 GTX dan…
Model Terbaharu
Touareg terbaharu kini sudah memasuki generasi yang ketiga, dan merupakan SUV pertama keluaran…
Berita Global
Ucapkan selamat datang kepada Volkswagen ID.7 Tourer 2024, sebuah wagon berkuasa elektrik yang…