Haval H2 - SUV ranggi serba canggih tetapi...

oleh SALINA JALIL|
Apabila bercerita tentang kereta, orang Malaysia alah kepada dua perkara; harga dan jenama.

Jika harganya mampu milik, dan jenamanya kuat, pasti produk itu akan laku. Jika kdua-duanya tepat, maka barangan itu pasti terlajak laris.

Teori ini boleh digunakan untuk pelbagai produk, dari yang semurah Chickadees perisa ayam kepada kenderaan berharga ratusan ribu.

Pandu uji Haval H2 ini mengingatkan kami akan teori tersebut. Harga yang disenaraikan untuk H2 ini bermula dari RM89,950 (termasuk insuran) untuk varian Standard (MT) dan RM98,950 (AT) untuk varian Comfort. Ini bermakna dari segi harga, ia berada dalam 'selera' cita rasa orang Malaysia.

Bagaimana pula dengan jenama? Hmmm...

Sejak azali kita sedar bahawa orang kita amat skeptikal tentang barang-barang buatan China. Namun begitu model Haval H2 ini pasti akan membuat kita dapat berfikiran secara terbuka dan menerima kenyataan bahawa mereka (Haval) perlu diberi perhatian dan mungkin persepsi mampu diubah.

 

Haval 1

 

Setelah tiga hari bersama Haval H2 dan selain terasa seperti Rozita Che Wan (model untuk Haval Malaysia), di bawah ialah apa yang kami rasakan berkenaan SUV saiz kompak ini. 

- Ia menggunakan enjin 1.5L VVT turbo. Menurut risalah mereka, enjin ini enjin CBU. Kami pun kurang pasti apa yang dia maksudkan kerana memang banyak enjin diimport masuk. Atau mungkin CBU bermaksud lain untuk mereka. Apapun, kami rasa risalah mesin basuh jauh lebih lengkap.
- Transmisi automatik dengan 6-kelajuan.
- Tenaga maksimum ialah 147 hp sementara daya tork pula ialah 210 Nm.
- Sistem gantungan dari jenis Macpherson Independent untuk roda hadapan dan Multi-link Independent di belakang. Menarik kerana selalunya kenderaan mampu milik menggunakan jenis torsion beam yang lebih ekonomikal.
- Kemasan kulit di bahagian tempat duduk amat kemas dan selesa. Terus terang kami katakan, ia rasa premium. Empuk, padanlah Che Ta tersenyum bila duduk di dalam H2 ini. 

 

haval 2


- Kemasan panel dashboard dan bahagian dalaman kelihatan cantik dan menyedapkan mata - tiada yang terjojol keluar dari ruang sepatutnya seperti Pamela Lee Anderson.  

 

haval 3


- Ia nampak sedikit mewah dari beberapa model jenama nasional yang pernah dipandu uji sebelum ini.
- Kamera undur dan kamera sisi (blind spot visual system) memberikan visual yang jelas, telus dan nyata, tidak seperti janji ahli politik semasa.

 

haval 4


- Bumbung suria atau nama normalnya, sunroof mempunyai saiz bukaan yang besar, untuk anda menikmati suara cenggerik dan unggas dan sekali-sekala, asap bas Leng Seng di hadapan (ada lagi ke bas syarikat itu?).
- Ruang dalaman tidak terlalu kecil mahupun terlalu besar, sedang-sedang sahaja, sesuai untuk keluarga kecil anak dua atau untuk yang masih single.
- Rekabentuk Haval H2 ini tidak begitu wow, tetapi masih cukup ranggi dan trendy, sesuai untuk semua peringkat umur.
- Haval H2 ini didatangkan dengan butang 'auto hold', jadi tidak perlu bersusah payah bertukar gear ke 'N' dan menarik 'hand-brake' semasa lampu merah di lampu isyarat.

 

 

haval 5

 

 

Baiklah, rasanya cukup kami berkongsi yang positif. Seperti semua jejaka kacak atau jelitawan, pasti ada yang tidak berapa kena dengan mereka dan memang, H2 ini ada yang tidak begitu molek pada mata dan citarasa kami. 

Di bawah ialah antara perkara yang kami tidak begitu, errr ... berkenan.

- Kami mendapati ngauman dari bahagian enjin agak bising sehingga masuk ke ruang kabin. Kerana itu kami terpaksa meninggikan bunyi radio atau mendengar lagu K-Pop PSY Gangnam Style dengan lebih penuh jiwa. 
- Kami agak kecewa apabila tiba ke kawasan yang berbukit dan mod mendaki, kami rasakan bahawa H2 yang menggunakan enjin turbo ini sedikit 'under powered'.  Mungkin juga kami perlu menurunkan berat badan kami, terutama boss kami yang berkembar dengan Aaron Aziz.  
- Kekecewaan kami ditambah apabila kami dapati penggunaan bahan api Haval H2 ini sedikit tinggi. Alangkah bagusnya jika ia didatangkan dengan enjin diesel, pasti lebih power dan semestinya ia lebih jimat. 

 

Menurut boss kami yang telah melawat kilang Haval di China hujung tahun lalu, banyak model-model yang lebih menarik, canggih dan terbaharu di sana. Mungkin sudah masa untuk Go Auto Sales Sdn Bhd membawa masuk model-model tersebut ke sini untuk memikat citarasa orang Malaysia yang semakin bijak 'bershopping' kereta.

Add new comment

banner articles