Hap Seng Star buka Autohaus yang ke-10 di Puchong

oleh Mohamad Hanif|
Wakil pengedar sah Mercedes-Benz Malaysia, Hap Seng Star Sdn Bhd kini telah melancarkan pusat pameran Mercedes-Benz mereka yang kesepuluh bertempat di Puchong.

Dengan jumlah pelaburan mencecah RM6 juta, Mercedes-Benz Hap Seng Star Puchong South Autohaus yang terletak berdekatan Lebuhraya Damansara Puchong itu bakal memberikan khidmat jualan dan khidmat selepas jualan kepada pelanggan sekitar Puchong, USJ serta Putrajaya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Berucap ketika pelancaran rasmi pusat pameran itu, Dr Claus Weidner, Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia berkata: "dengan pembukaan Autohaus yang ke-34 (bagi jumlah keseluruhan di Malaysia) ini, Mercedes-Benz berjanji untuk meningkatkan kualiti khidmat pelanggan kami di seluruh negara dan memberikan produk yang terbaik serta pengalaman pelanggan yang terbaik kepada mereka."

Mercedes-Benz Hap Seng Star Puchong South Autohaus ni dibina di atas kawasan berkeluasan 21,577 kaki persegi serta mengadaptasi konsep Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II) lengkap dengan Identiti Korporat Mercedes-Benz yang terkini. 

 


Autohaus terbaharu ini mempunyai lapan slot yang dikhaskan untuk mempamerkan model Mercedes-Benz yang terkini.

Ia juga turut berfungsi sebagai pusat servis bertaraf 3S dilengkapi dengan 12 ruang kerja yang mampu memberikan khidmat servis dan penyelenggaran kepada hampir 500 buah kereta dalam masa sebulan. 

Hap Seng Star Puchong South Autohaus turut bertindak sebagai pusat sehenti kepada jualan, kewangan dan juga khidmat selepas jualan, termasuklah memberikan khidmat nasihat secara persendirian kepada pelanggan sebelum membeli, ketika melakukan servis berkala serta nasihat perihal kewangan. 

Selain itu, Autohaus ini juga memberikan khidmat bantuan tepi jalan yang beroperasi 24 jam sehari. 

 

Sehingga kini, Hap Seng Star telah beroperasi di Jalan Sultan Ismail, Kinrara, Jalan Ipoh, Balakong, Bukit Tinggi serta Iskandar Johor. Manakala di Malaysia Timur, Hap Seng Star turut beroperasi di Kuching, Miri dan Kota Kinabalu. 

Pemilik Mercedes-Benz serta pelanggan berpotensi boleh mengunjungi Autohaus Mercedes-Benz yang terbaharu bertempat di alamat berikut:

Lot 14225, KM 3.8
Lebuhraya Damansara-Puchong
41700 Puchong. 
No. Telefon: 03-8051 5616