Givi Asia belanja hampir RM50,000, taja 200 topi keledar untuk LTDL 2018

oleh Afandi Che Muhamad|
Kurang seminggu sebelum berlangsung acara Le Tour de Langkawi 2018 (LTDL), Givi Asia Sdn. Bhd. (Givi Asia) hari ini mengumumkan membelanjakan kos hampir RM50,000 bagi menaja perlumbaan berprestij berkenaan yang dijadualkan mengambil tempat 18 hingga 25 Mac depan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Pengumuman tersebut dilakukan Pengarah Urusannya, On Hai Swee di hadapan empat barisan penaja lain seperti NUR Power Groups, kerajaan Negeri Terengganu, Spritzer dan Thule South East Asia Sdn. Bhd. tengah hari tadi.

Hai Swee (gambar) dalam ucapannya berkata, pihaknya bakal menaja 200 unit topi keledar jenis M30.3 D-Visor untuk kegunaan anggota Polis, Pengiring Bermotosikal (Marshall) dan petugas media yang bertugas sepanjang acara itu berlangsung nanti.

"Kami amat berbesar hati dapat menaja dan melibatkan diri buat pertama kali dalam siri perlumbaan ke-23 LTDL ini.

"Seiring penajaan ini, kami berharap topi keledar yang disediakan dapat memastikan keselamatan mereka yang terlibat menjayakannya lebih terjamin," katanya.

Jelas Hai Swee, pihaknya sangat mementingkan aspek keselamatan orang ramai terutamanya ketika menggunakan jalan raya.

Ketika ditanya daripada mana datangnya idea penajaan itu, Hai Swee menjelaskan, pihaknya dipelawa pengurusan LTDL untuk sama-sama menyertai mereka kira-kira tiga minggu lalu.

Tambah Hai Swee, pihaknya tidak teragak-agak untuk menyertai LTDL susulan potensi besar dimiliki siri perlumbaan berkenaan dalam usaha mengembangkan pengaruh jenamanya di pasaran domestik.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif LTDL 2018, M. Kumaresan menyifatkan penajaan tersebut membantu memeriahkan sekali gus melancarkan siri perlumbaan yang bermula di Kangar, Perlis sebelum berakhir di Kuala Lumpur itu.

"Penajaan itu membuktikan masih banyak syarikat tempatan mengiktiraf perlumbaan LTDL sebagai pemangkin untuk mempromosi produk keluaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

"Sebagai penganjur, pihak kami akan cuba mewujudkan situasi menang-menang kepada setiap rakan dan syarikat yang turut sama memberi sumbangan penajaan," ujarnya.

Tegas Kumaresan (berdiri tengah; kemeja hitam), pihaknya optimis sebaik berita perlumbaan ini disiarkan media cetak mahu pun elektronik nanti jenama rakan strategik terdiri dalam kalangan penaja akan lebih dikenali.

Terdahulu, siri jelajah LTDL 2018 anjuran Ciclista Sports itu mendapat sokongan penuh kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Motosikal tersebut juga akan digunakan untuk siri kursus pemanduan yang akan dianjurkan oleh MoTECH…
Berita Domestik
Shell Malaysia melakukan satu rekod baharu apabila menganjurkan promosi jenama itu di tempat duduk…