Geely sudah ada perancangan untuk Lotus

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Lotus bukan satu nama yang asing bagi kita rakyat Malaysia.

Ia menjadi milik Proton dalam tahun 1996 setelah diperkenan oleh Tun Mahathir yang mahukan negara mempunyai teknologi yang baik dalam industri automotif.

Lotus terus naik dan turun, namun selepas perbalahan dalam tahun 2012 selepas CEO pada masa itu, Dany Bahar digantung jawatannya dan kemudian dilucutkan terus.

Sejak pada itu, prestasi Lotus sudah tidak lagi terumbang-ambing tetapi terus-menerus turun.

Di dalam tahun 2012, Lotus cuma mampu menjual 11 unit kenderaan sebulan di seluruh United Kingdom (UK).

kereta lotus banyak

 

Jualan di pasaran lain juga tidak menunjukan perkembangan ketara walaupun ada harapan nipis ia menjadi kegemaran peminat esentrik di Jepun dan di US.

Penulis yang melawat ibupejabat Lotus di Hethel melihat sendiri bangkai-bangkai projek yang dijanjikan oleh pengurusan Dany Bahar yang nyata hanya lebih kepada cakap kosong.

Tiada enjin baharu dan lima kereta konsep hanya tinggal konsep tanpa sebarang kemajuan. Hutang lapuk meningkat dan proses pembuatan tergendala kerana pembekal komponen sudah mula mengejar bayaran.

Namun begitu, sejak tiga tahun lalu, syarikat kereta sport tradisional British itu telah berjaya mengubah nasibnya.

Lotus bosses
Jean-Marc Gales (kanan) dan Aslam Farikullah.

 

CEO Lotus, Jean Marc Gales dan COO (Chief Operating Officer) Aslam Farikullah (anak Kelantan) berjaya meningkatkan jualan sebanyak 30 unit sebulan di UK.

Keuntungan syarikat meningkat hasil dari pengurangan kos dan jualan model-model edisi terhad yang lebih mahal dan bulan lalu Lotus menyuarakan keyakinan bahawa ia akan mula memberikan keuntungan kepada pemegang sahamnya.

Kini, 51 peratus saham Lotus Cars dimiliki oleh Geely sementara 49 peratus lagi dipegang oleh syarikat Etika Auto Sdn Bhd milik Syed Mokhtar Al Bukhary.

Bloomberg melaporkan bahawa urusan agihan saham itu akan selesai pada hujung bulan ini.

Menurut Gales, ia adalah perkara yang terbaik untuk Lotus.

"Kereta elektrik ialah satu peluang keemasan untuk Lotus tetapi ia perlu mempunyai sifat-sifat tradisonal Lotus. Ia mesti ringan dan mempunyai pengendalian di selekoh sebaik kereta-kereta sport terbaik dunia," ujar Gales.

Gales percaya dalam masa dua ke tiga tahun lagi, bateri kenderaan akan mempunyai prestasi yang lebih tinggi kerana peningkatan teknologi.

"Ia akan menjadi sesuatu yang terbaik untuk Lotus jika ia mampu menghasilkan kereta elektrik pertama yang mempunyai berat di bawah dua tan," sambung Gales.

tesla roadster

 

Kereta elektrik atau EV bukan satu perkara baru untuk Lotus kerana ia membantu membina EV pertama untuk syarikat kereta elektrik nombor satu dunia, Tesla.

Tesla Roadster, model pertama syarikat itu dibina menggunakan platform Lotus Elise yang diubahsuai, namun tetap memberikan pengendalian sebuah Lotus.

Gales juga menyuarakan pemdapat bahawa Lotus mungkin mampu menghasilkan model-model klasik mereka sendiri atau menjerumus ke dalam industri baik-pulih atau menjual kereta klasik yang diiktiraf - sesuatu yang sudah mula dilakukan oleh Jaguar Land Rover, Mercedes-Benz, Porsche, Ferrari dan banyak lagi syarikat kenderaan premium yang lain.

Akhirnya Gales turut memberikan bayangan bahawa dengan bantuan kewangan Geely, Lotus akhirnya mungkin boleh menyiapkan projek SUV mereka.

Murano ku di sisi

 

Penulis juga pernah diberi peluang untuk melihat perkembangan SUV Lotus itu dua tahun lalu di Hethel, dan apa yang siap pada masa itu ialah sebuah model luaran tanah liat bersaiz sebenar dan mock-up kabin serta papan pemuka SUV pertama Lotus.

Ia mempunyai saiz sebesar Mazda CX-3, dengan bentuk mirip gabungan CX-3 dan juga Nissan Murano tetapi jauh lebih sporty dan agresif.

Bahagian kabin membuktikan SUV itu bakal menjadi kabin paling lengkap dan paling mewah untuk Lotus, sejak dari ia ditubuhkan.

Ketika itu, cadangan enjin dan transmisi ialah dari Toyota kerana Lotus memang mempunyai jalinan perniagaan yang kuat dengan pengeluar dari Jepun itu.

Walaupun enjin dan kotak gear datang dari Toyota, Lotus yang juga mempunyai kepakaran kejuruteraan (mereka pernah membantu Aston Martin, General Motors, Tesla dan banyak lagi syarikat kenderaan lain) telah mengubah karektor enjin Toyota itu dari sebuah enjin lesu kepada sesuatu yang mampu meraung ganas bila dipandu secara agresif.

enjin lotus

 

Kotak gear automatik dari Jepun itu juga jauh lebih lincah dan pantas dalam tukaran gear.

Jika tidak diberitahu, tidak ada siapa pun akan percaya enjin dan kotak gear itu datang dari Toyota.

Maka tamatlah riwayat Lotus bersama Proton tetapi ia tetap mempunyai pegangan saham rakyat Malaysia di bawah Etika Auto.

Semoga Lotus terus maju dan berjaya menggugat Tesla dalam masa terdekat ini.

 

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong dalam satu majlis sambutan…
Berita Global
Beliau mendedahkan bahawa Geely Auto akan menggabungkan platform Cell-to-body (CTB) generasi baharu…
Berita Global
Kini, Geely baru sahaja melancarkan EV pertama di bawah jenama mereka sendiri iaitu Geely Galaxy E8…