Serentak dengan itu, Ford turut memuat naik sebuah video ringkas yang memaparkan proses mereka bentuk trak tersebut, beserta dengan gambar teaser yang memaparkan rupa paras hadapan Ranger dengan lampu nyalaan siang berbentuk C itu.
Ketika fasa pembangunan, Ford telah menjalankan lebih daripada 5,000 temubual bersama para pemilik Ranger untuk mengetahui bagaimana cara penggunaan sebenar di dalam dunia nyata, serta mengenal pasti perkara yang disukai dan tidak disukai oleh kebanyakan pemilik.
Menurut Ford, generasi baharu Ranger itu telah menjalani ujian pemanduan di dalam padang pasir sejauh 10,000 km, di mana tahap ujian tersebut dikatakan adalah sama dengan pemanduan sejauh tidak kurang 1.25 juta km atau pemanduan off-road sejauh 625,000 km dengan kapasiti muatan maksimum.
Ford masih lagi berahsia berhubung trenkuasa yang bakal ditawarkan kepada lebih 180 pasaran di seluruh dunia itu.
Beberapa laporan terdahulu mencadangkan Ranger bakal dilengkapi dengan trenkuasa plug-in hybrid (PHEV), beserta enjin diesel 2.0 liter turbo berkembar atau enjin 3.0 liter V6.
Sementara varian Raptor pula dijangka membawakan nadi yang lebih berkuasa 2.7 liter EcoBoost bentangan V6 yang akan menggantikan enjin 2.0 liter turbo berkembar pada model sedia ada.
Sebagai makluman, Ford Ranger juga turut menjadi asas kepada sebuah lagi trak pikap - Volkswagen Amarok, serta bakal menampilkan versi SUV - Ford Everest yang hanya ditawarkan untuk pasaran terpilih di seluruh dunia.
Perincian lanjut berhubung Ford Ranger hanya akan diketahui pada 24 November ini.