Dibuka untuk pelumba antara 10 hingga 14 tahun, Emil, bagaimanapun, gagal meneruskan kecemerlangan pada Perlumbaan 2 apabila terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tempat ketiga pada perlumbaan yang dimenangi oleh Farres Putra dengan catatan masa 19 minit 23.913 saat. Farish, yang menamatkan perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca cerah 0.807 saat di belakang Emil mendapat tempat kedua pada perlumbaan 20 pusingan sekeliling litar sepanjang 1,247 meter ini.
Kemenangan pada perlumbaan kedua ini memberikan Farres Putra kutipan 25 mata dan hak untuk mendahului saingan keseluruhan setakat ini dengan mengumpulkan 45 mata. Tempat kedua diduduki oleh Emil dengan 41 mata dengan diikuti rapat oleh Farish Hafiy di tempat ketiga dengan 36 mata.
Saingan SIC Ohvale Championship di kalangan para penunggang cilik berusia antara lapan hingga 11 tahun pula menyaksikan kejayaan cemerlang Qabil Irfan, yang mencipta kemenangan berganda pada perlumbaan pembukaan hari ini.
Selepas kemenangan selesa pada Perlumbaan 1, penunggang berusia sembilan tahun dari Terengganu ini terpaksa bekerja keras pada Perlumbaan Kedua selepas dicabar hebat oleh Shah Putra sebelum menamatkan perlumbaan 15 lap dengan masa 14 minit 53.627 saat dan kelebihan 1.918 saat. Tempat ketiga dimenangi oleh Adam Danial, yang juga pemenang tempat kedua pada Perlumbaan 1.
Dengan dua kemenangan ini, Qabil mengutip 50 mata penuh untuk mendahului saingan keseluruhan kejuaraan lumba motosikal remaja negara untuk penunggang berusia antara lapan hingga 11 tahun, yang diperkenalkan pada tahun ini. Shah Putra dan Adam Danial terikat di tempat kedua dengan 36 mata.
Bagi memastikan acara anjuran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan ZK Racing ini berjalan dengan selamat dan lancar, pematuhan SOP dilaksanakan dengan rapi dengan para pelumba diwajibkan menjalani ujian calitan COVID-19 sebelum memasuki perkarangan litar. Walaupun sengit, saingan di litar, yang berlangsung di bawah cuaca cerah, berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar untuk kedua-dua kategori.
Untuk saingan tahun ini, para pelumba turut dibenarkan pembantu atau ‘helper’ sebagai satu usaha pihak penganjur memberikan pendedahan untuk menyelaras jentera lumba dari pihak ZK Racing.
Pusingan 2 akan berlangsung hari ini