Festival TGR - Vios Challenge: kenapa anda rugi kerana tidak hadir

oleh HEZERI SAMSURI|

Perlumbaan Vios Challenge semasa festival Toyota Gazoo Racing (TGR) yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu menempa sejarah kerana sambutan dari orang ramai yang sangat menggalakkan.

Pada hari pertama sahaja, 11,000 pengunjung hadir untuk melihat aktiviti-aktiviti yang diadakan. Masuk hari kedua, 18,000 orang memenuhi tapak perlumbaan dan karnival tersebut.

Careta yang berkampung di sana selama karnival berlangsung menyaksikan sendiri antara sebab-sebab yang menjadikan acara itu berjaya.

 

Gazoo 1

 

1. Ketandusan acara automotif rakyat dari syarikat kenderaan

Memang sudah lama disuarakan bahawa negara tidak mempunyai banyak acara automotif bertaraf tinggi seperti TGR. Tidak ada syarikat kenderaan yang mahu melakukannya dan sekiranya ada pun, cuma jenama-jenama nasional yang tidak mempunyai banyak perkara untuk dikongsikan.

Paling berjaya pun ialah ketika Proton membuat acara Power of 1 di mana ia menampilkan persembahan kereta Formula 1 Lotus, jentera drift Lotus dan Proton serta pameran teknologi dan rekabentuk Proton.

Namun begitu, untuk jenama lain, sangat jarang diadakan kecuali acara-acara di komplek membeli-belah atau di dewan serbaguna UMNO.

Acara-acara lain yang dianjurkan oleh orang persendirian lebih bersifat car-culture, dan paling hebat pastinya acara Art of Speed dan kemudian acara-acara lain diperingkat daerah yang lebih cenderung ke arah kenderaan modifikasi.

TGR memberikan nafas baharu kepada peminat kenderaan dan kerana ia bersifat kekeluargaan, ramai yang hadir mengheret treler (anak-anak).

Diharapkan acara sebegini dilakukan oleh jenama-jenama lain juga.

Gazoo 2

 

2. Perlumbaan jalanan!  

Bilakah kali terakhir kita dapat melihat perlumbaan kereta di jalanraya biasa?

Walaupun setiap tahun kita ada acara Rally, namun ia hanya diminati oleh peminat rally sejati. Untuk perlumbaan jalanan atau street race, tidak ada acara yang dilakukan walaupun ia lebih “dekat” di hati pengunjung kerana kenderaan yang digunakan untuk berlumba adalah dari jenis dan model yang banyak berada di atas jalanraya.

TGR menggunakan jalanraya awam yang ditukarkan menjadi litar perlumbaan. Kerana itu, ia sempit dan penonton boleh menyaksikan pelbagai aksi.

Mereka yang datang pada hari Sabtu rata-rata kembali keesokkan harinya kerana tidak mahu melepaskan peluang meilhat perhebatan sengit antara pelumba-pelumba yang terbabit.

 

Gazoo 3

 

3. Nama-nama hebat dalam Vios Racing

Sememangnya, walaupun kereta yang digunakan ialah Toyota Vios yang lazim di jalanraya, melihat ia dipandu oleh pemandu-pemandu profesional sememangnya menarik.

Nama-nama seperti Tengku Djan Ley, James Veerapen, Syafiq Ali, Kenneth Koh, Ken Foo dan ramai lagi memang diketahui adalah antara wira-wira trek yang sangat aktif di dalam perlumbaan tempatan.

Lebih menaril ialah apabila kesemua Vios itu mempunyai kuasa yang sama, dan ia menjadi perlumbaan “skill” antara pemandu dan bukan kekuatan kenderaan.

Kerana itu juga, kita dapat melihat kereta-kereta lumba itu duduk dalam kelompok yang sama dan sangat rapat antara satu sama lain.

 

Gazoo 5

 

4. Perlumbaan yang agresif

Akibat kenderaan yang sama digunakan, pelumba memang sentiasa “menggigit” kenderaan di hadapan dan kerana kekurangan tempat untuk memotong, kawasan membrek semasa selekoh tajam sering menjadi tempat persaingan sengit antara pelumba.

Di sini, mereka yang berani akan mengambil risiko untuk membrek lebih lambat, dengan harapan dapat mencantas masuk ke selekoh.

Hasilnya, banyak perlanggan kecil seperti mengusap bamper belakang kereta di hadapan atau berselisih bahu dengan cara agresif di selekoh.

Memang setiap perlumbaan mementingkan keselamatan tetapi jika langsung tiada drama, ia akan jadi membosankan.

Perlumbaan di Stadium Batu Kawan tempohari sangat-sangat mengujakan kepada sesiapa yang melihatnya. 

Alhamdulillah, tiada kemalangan besar berlaku kecuali sebuah kereta yang musnah dan terpaksa ditarik keluar kerana menghentam tembok kiri dan kanan.

Namun bila melihat pemandu-pemandu itu benar-benar berjuang ke meter yang terakhir, kita sendiri tumpang menjadi seronok walaupun tidak dibenarkan memandu masuk ke ruang tren tersebut.

 

Gazoo 6

 

5. Penonton dapat turun rapat ke litar

Di mana-mana acara motorsports yang diadakan di dunia, semua penonton berharap untuk dapat duduk rapat dengan aksi di litar dan kerana perlumbaan jalanan seperti TGR ini dilakukan dalam keadaan kelajuan terkawal, peminat dapat berdiri dengan lebih rapat dengan litar.

Ini yang membuatkan pengunjung teruja, dan walaupun rapat, pihat TGR memastikan keselamatan diutamakan untuk pengunjung dan juga pemandu.

 

Gazoo 7

 

6. Aktiviti untuk seisi keluarga

Toyota ialah antara syarikat yang paling konservatif di dunia dan kerana itu ia berjaya.

Untuk sebarang acara, aktiviti seisi rumah pasti akan didahulukan dan suasana di TGR membuktikannya. Ada sahaja acara-acara untuk anak-anak, pertunjukan pentas untuk semua, demonstrasi drift untuk si suami, food-trucks dan kedai makan, jualan barangan automotif dan sesi pandu uji produk Toyota.

Memang ramai yang membawa anak-anak dan seisi keluarga kerana memang itu yang dimahukan oleh Toyota yang menjual kenderaan untuk semua jenis pengguna!

 

Gazoo 8

 

7. Penampilan selebriti

Penampilan selebriti yang bukan hanya hadir untuk menayang muka tetapi juga untuk berlumba ialah satu tindakan bijak kerana peminat-peminat fanatik selebriti itu turut turun padang membawa sepanduk untuk menyokong artis kegemaran mereka dalam perlumbaan Vios Challenge.

UMW Toyota katanya memilih artis-artis yang menepati kriteria mereka dan jika dilihat, kebanyakannya ialah artis dan selebriti yang sedang meningkat naik.

Paling penting, semuanya tidak pernah berlumba secara profesional dan UMW Toyota menyediakan tenaga pelatih profesional untuk melatih kesemuanya.

 

Diana

 

Terus-terang, Careta pada mulanya langsung tidak berminat untuk menyaksikan perlumbaan selebriti-selebriti itu kerana kebanyakan mereka tidak kami kenali dan jika ada pun, sudah berpunya.

Namun, selepas melihat pusingan pertama perlumbaan mereka, Careta sendiri menjadi sedikit emosional kerana ternyata selebriti-selebriti yang dipilih itu mempunyai semangat kompetitif yang tinggi, bakat yang terpendam dan ya, ada juga yang berjiwa semangat dendam kesumat berdarah panglima misai panjang sehingga sanggup memandu secara agresif.

Semuanya menghasilkan satu drama di litar yang menyeronokan!

 

Gazoo 11

 

8. Ia percuma

Kebanyak acara yang percuma menjanjikan persembahan yang hambar. Malah, ada yang berbayar tetapi tetap hambar. 

Untuk TGR, ia menjadi pilihan ramai kerana masuk adalah percuma dan ada banyak aktiviti yang ditawarkan.

Malah berani Careta katakan bahawa sekiranya tiket masuk diperlukan, masih akan ada ramai yang mahu datang kerana acara Vios Challenge yang sememangnya mengujakan, terutama kepada pemilik Vios yang kami lihat selepas pulang dari TGR itu terus merasakan kenderaan mereka selaju Toyota Supra.

 

* Pusingan seterusnya akan berlangsung di MAEPS, Serdang.

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
Perasan tidak kebelakangan ini Toyota mula tampil dengan kempen dan penjenamaan menyeronokkan?…
Berita Domestik
Bayangkan perlumbaan jalanan dengan 40 buah kereta. Iya ini bukan persaingan di litar tetapi…