En. Adrian Salleh Hashim - Pemilik pertama Honda Civic Type R di Malaysia!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Memiliki kereta idaman ramai adalah sesuatu yang istimewa dan ia bertambah istimewa apabila anda orang pertama yang memilikinya.

Tahniah diucapkan kepada En. Adrian Salleh Bin Hashim apabila beliau diberikan rezeki untuk menjadi orang pertama yang memiliki Honda Civic Type R.

Honda Malaysia menyerahkan Civic Type R kepada beliau pada satu majlis yang diadakan di pusat 3S Honda Bandar Botanic Klang, Botanic Auto Mall  Sdn. Bhd.

Peminat sejati Honda Civic Type R

Menurut Naib Presiden Kumpulan, Honda Malaysia, En. Akbar Danial, En. Adrian Salleh adalah salah seorang dari pelanggan terawal yang ditemu ramah dalam tinjauan sebelum Civic Type R 2007 (FD2R) dilancarkan.

"Satu tinjauan pelanggan telah dijalankan sebelum pelancaran Civic Type R atau lebih dikenali sebagai FD2R pada tahun 2007 dan kami berasa sukacita apabila mengetahui En. Adrian Salleh adalah salah satu pelanggan pertama yang ditemuramah untuk mendapatkan maklum balas tentang model ini yang membantu menyumbang kepada pemahaman pasaran terutamanya mengenal pasti permintaan dan keperluan dalam segmen baharu.

Minat En. Adrian terhadap Type R terbukti apabila kami menyerahkan unit yang pertama kepada beliau pada hari ini."

 

 

420 Unit FD2R terjual

En. Akbar turut memaklumkan bahawa pada tahun 2007, Malaysia adalah satu-satunya negara di luar Jepun yang menawarkan FD2R secara rasmi. Dalam tempoh di antara 2007 hingga 2011, Honda Malaysia telah berjaya menjual sebanyak 420 unit kereta berprestasi itu.

"Pencapaian ini mungkin disebabkan oleh populariti dan permintaan kereta berprestasi dan serasi dengan perlumbaan yang boleh dipandu di atas jalan raya biasa. Rakyat Malaysia juga ramai meminati jenama Honda dan menunjukkan minat terhadap model berprestasi seperti Type R." kata En. Akbar.

Lebih daripada 70 tempahan Civic Type R baharu

 

Honda Civic Type R Malaysia

 

Sejak pelancaran Civic Type R baharu pada awal November, model itu telah menarik perhatian rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk menyaksikannya sendiri terutama sekali pemilik Honda Civic dan peminat kereta.

Sejak tempahan dibuka pada 1 Oktober 2017 lalu, Honda Malaysia telah menerima lebih daripada 70 tempahan untuk Civic Type R baharu.

Sementara itu, Pemilik Botanic Auto Mall,  Dato’ Mahfoz Bin Haji Hamid memaklumkan bahawa mereka banyak menerima pertanyaan tentang Civic Type R ini dan menerima maklum balas positif daripada pelanggan selepas melihatnya di bilik pameran mereka.

"Kami amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada sambutan penting ini bagi menyerahkan Civic Type R pertama di Malaysia hari ini.

Sebagai pengedar Honda, kami berharap dapat memberikan En. Adrian Salleh dan semua pelanggan kami dengan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang untuk memastikan mereka menikmati pengalaman menyeronokkan sebagai pemilik kenderaan Honda."

Pelanggan tetap Honda di Botanic Auto Mall

 

 

En. Adrian Salleh adalah pelanggan tetap Honda di pusat 3S Botanic Auto Mall dan beliau begitu teruja dengan kereta baharu ini.

Pelancaran Civic Type R baharu ini membuat saya teruja untuk menguji dan merasai kereta ini. Saya kagum dengan bahagian luaran yang sporty dan tampak gagah selain prestasi yang hebat namun sesuai untuk saya memandunya setiap hari.

Saya tidak sabar untuk memandunya merasai sendiri kuasa kereta ini untuk perjalanan harian saya. "

Terima saguhati dari Honda Malaysia

Selain menjadi rakyat Malaysia yang pertama memilik Civic Type R, En. Adrian Salleh turut menerima beberapa saguhati daripada Honda seperti GoPro HERO 5, Honda Ultra Glass VBody Coating dan Ultra Window Coating bernilai RM5,300 sebagai penghargaan bagi dalam meraikan momen ini.

Honda Civic Type R - Diimport sepenuhnya dari United Kingdom

 

 

Honda Civic Type R diimport sepenuhnya dari UK dan dipasarkan pada harga RM320,000 di atas jalan tanpa insurans. Untuk melihat model ini dengan lebih dekat, orang ramai boleh berkunjung ke mana-mana 20 Pengedar Sport Honda di serata negara.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
JD Power, sebuah syarikat perunding dan penyelidik pasaran telah melakukan satu kajian untuk tahun…
Informasi
Bagi menjawab berbagai persoalan tersebut, Careta telah berpeluang untuk mendapatkan jawapan yang…
Berita Domestik
Pada majlis pelancaran yang berlangsung, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia…