Dulu jual susu Dumex, kini anak Besut ini jadi antara teraju Perodua!

oleh Careta.my|
Sekiranya anda mengikuti perkembangan automotif negara, nama Datuk Dr Zahari Husin bukan satu nama yang asing.

Bertugas sebagai Pengarah Urusan untuk Perodua Sales Sdn Bhd, Zahari dilihat sebagai seorang yang sangat serius di dalam kerjaya beliau.

Malah, Careta sendiri sudah lama mengenali beliau dan walaupun kami boleh berjenaka di luar, masuk sahaja ke dalam bilik mesyuarat Zahari akan terus bertukar menjadi serius.  

Namun begitu, sikap beliau yang tajam dan peka banyak membantu syarikat dalam melakukan keputusan perniagaan. Beliau sangat komited dan boleh dikatakan beliau mahu tahu setiap inci akan sesuatu isu supaya beliau mampu menguruskannya dengan lebih baik.

Ketelitian beliau sering dilupakan oleh kami para pengamal media, tetapi bila beliau mula bersuara, setiap perkataan yang pernah disebut beberapa tahun dahulu nyata masih boleh beliau keluarkan semula.

Careta merasa beruntung kerana dapat duduk sebentar bersama beliau yang sudi berkongsi bagaimana dalam kesibukan beliau, anak kampung Trengganu ini masih boleh belajar untuk mendapat Ijazah Kedoktoran (PhD) beliau.

Kepada mereka yang mengadu betapa sukarnya untuk menyambung pelajaran sambil bekerja, cerita Zahari harus dikaji dan diteliti dan semoga ia dijadikan pedoman.

Datok Dr Zahari-7

 

Di bawah ialah serba sedikit tentang Datuk Dr Zahari Husin.

  • Anak kelima dari tujuh adik beradik, Zahari dilahirkan pada tahun 1962 di rumah ibubapanya di Kuala Trengganu. Arwah ayah beliau ialah seorang Speaker Dewan Rakyat Negeri Trengganu dan arwah ibunya pula seorang suri rumah.
  • Zahari sukakan kucing. Semasa kami melawat beliau, ada 10 ekor kucing di rumahnya.

Takumi Nasi Lemak-17

  • Air kegemaran - Nescafe-0 panas.
  • Anak watan Trengganu ini bersekolah di Sekolah Rendah Tengku Mahmud, Besut dan sekolah menengah juga di Sekolah Menengah Tengku Mahmud.
  • Selepas HSC (Sijil Tinggi Persekolahan), beliau masuk ke Tingkatan Enam dan kemudian menyambung pelajaran dalam kursus Diploma Pengurusan Perniagaan di dalam negara sebelum terbang ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan Ijazah di dalam Sains Pemasaran di Arkansas State University. beliau tamat pengajian dalam tahun 1988 dan pulang ke Malaysia untuk bekerja dengan ayahnya.
  • "Arwah ayah suruh saya bekerja untuk dia, dan pada masa itu, projek yang ada lokasinya di dalam hutan!", ujar beliau. Zahari bertahan setahun di dalam hutan, dan kemudian bekerja dengan syarikat farmaseutikal Dumex sebagai eksekutif pemasaran dalam tahun 1989.

dumex malaysia

  • "Saya antara Melayu pertama di dalam syarikat tersebut, dan selepas menjual ubat-ubatan, saya diberi tugasan untuk menjual produk nutrisi - susu Dumex!" cerita Zahari, tersenyum mengenangkan pengalaman kerja pertama beliau.
  • Beliau setia bersama Dumex sehingga tahun 1993 di mana selepas itu Zahari diterima masuk ke kumpulan pertama yang menubuhkan syarikat kenderaan kedua nasional - Perodua.
  • "Saya antara 12 orang pertama di dalam syarikat baharu itu - Perodua Sales, yang mempunyai pejabat di bangunan UMW."
  • "Semasa itu, bersama saya ialah Datuk Yohara, Zainudin Baharudin, Mohd Shukor Ibrahim dan Wee Joo Hong. Saya seorang yang masih kekal dengan Perodua," ujar beliau.
  • Tugasan pertama beliau ialah untuk mencipta nama Perodua dan logo syarikat.

 

Imej dari Motor Trader.

Imej dari Motor Trader.

  • "Sebenarnya, ada beberapa nama diberikan tetapi Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memilih PRODUA."
  • "Tetapi PRODUA terlalu hampir dengan Proton, maka ditambah huruf E dan menjadi PERODUA," terang Zahari.
  • "Ingat garisan-garisan pada huruf O dalam logo Perodua yang asal? Itu cadangan dari Tun sebenarnya," sambungnya, sambil bersetuju bahawa Tun Mahathir merupakan antara pengasas utama Perodua, sama seperti di Proton.
  • Selepas itu, tugasan seterus Zahari ialah untuk memastikan jaringan penjualan Perodua sudah siap sebelum proses pembinaan produk dimulakan.
  • "Sejumlah 88 pengedar Perodua diperlukan semasa pelancaran jenama dan model pertama Perodua. Saya diberikan tugas untuk memilih 88 calon terbaik dari 3,000 permohonan."
  • Kerana itu, Zahari terpaksa menemuduga lebih dari 600 calon pengedar.

 

Gambar dari Paultan.org

Gambar dari Paultan.org

  • "Dalam masa tiga bulan, kami melawat ke semua lokasi calon-calon tersebut. Ia seperti sebuah kursus automotif segera buat saya kerana dalam masa tiga bulan itu, saya mula belajar pelbagai perkara dan isu di dalam industri automotif," terang Zahari, sambil menambah bahawa dalam masa tiga bulan itu, beliau hanya bercerita tentang automotif sahaja.
  • Zahari mendapat Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) beliau dari UPM dalam tahun 2001, ketika beliau bekerja di Perodua.
  • Tahun lalu, Zahari berjaya mendapat ijazah kedoktoran (doctorate) dalam bidang Pemasaran Produk dari IIC University of Technology, Cambodia, antara universiti di rantau ini yang dipandang tinggi kerana ketegasan dalam kualiti pendidikannya.
  • Beliau terlintas untuk menyambung pendidikan beliau terus ke peringkat PhD selepas pembentangan beliau mengenai kejayaan Perodua Myvi dikomen boleh menjadi bahan untuk beliau memulakan pengajian PhD.

Datok Dr Zahari-5

  • Kenapa pula IIC dari Kemboja menjadi pilihan Zahari untuk membuat kursus PhD beliau?
  • "Dua perkara yang saya suka - IIC mempunyai panel pakar untuk menggantikan penyelia dan IIC mempunyai panel pakar di Malaysia, iaitu di UPM sendiri. Ini lebih mudah dan lebih efektif," terangnya.
  • "Sebab kedua ialah pelajar akan dipanggil untuk membuat viva di Kemboja dua bulan selepas thesis dihantar. Kerana itu, saya berjaya menghabiskan kursus PhD saya dalam masa setahun setengah."
  • Bunyinya mudah tetapi untuk seorang yang berjawatan tinggi di syarikat kenderaan nombor satu negara, mencuri masa untuk menyiapkan kerja kursus beliau adalah satu "seni" yang memerlukan tahap disiplin yang tinggi.

Datok Dr Zahari-8

  • Zahari berkata ia sangat berkait dengan falsafah hidupnya - "kalau kita ada, kita bagi dan kalau kita tak ada, kita cari." Dalam segi pendidikan, Zahari tahu dia harus menghabiskan kursus PhD beliau.
  • Dan seperti falsafah beliau, Zahari tetap mengajar kerana sekarang beliau dilantik oleh IIC Technology Of Technology sebagai panel pakar untuk mereka yang mengambil ijazah kedoktoran di Malaysia.
  • "Satu lagi yang saya percaya, tidak pernah terlambat untuk belajar. Walaupun Jepun sudah jauh lebih maju dari negara lain di dunia ini, orang Jepun masih belajar tulisan kaligrafi Jepun pada usia 80 tahun. Jangan berhenti menimba ilmu," pesan Zahari.

Datok Dr Zahari-4  

Saksikan satu ucapan dari Datuk Dr Zahari Husin akan kejayaan Perodua dan juga sedikit sebanyak sejarah beliau dan pengalaman beliau di dalam industri automotif. Belajar kepada yang pintar, berguru kepada yang pandai. 

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Namun begitu, Muhamad Zamuren Musa tetap setia bersama Perodua. Sudah lebih 20 tahun bersama…
Berita Domestik
  Ini bermaksud Perodua menjangkakan sebanyak 72,000 unit Myvi baharu akan dijual dalam tahun 2018…
Berita Domestik
  Harga dan pakej yang tersedia ialah seperti di bawah: Pakej Premium (untuk Myvi 1.5L sahaja) -…