Ducati Diavel for Bentley, 500 unit terhad, inspirasi daripada model Batur

oleh Mohamad Hanif|
Selepas menjalin kerjasama dengan pengeluar supercar Lamborghini, Ducati kini mencuba sesuatu baharu dengan sebuah lagi pengeluar kereta dari Kumpulan VW - Bentley menerusi pelancaran model Ducati Diavel for Bentley.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Ducati, rekaan Ducati Diavel for Bentley ini banyak mengambil inspirasi daripada model edisi terhad Bentley Batur yang hanya dihasilkan sebanyak 18 unit sahaja untuk satu dunia.

Ia membawakan kemasan warna 'Scarab Green' yang datang daripada buku opsyen Bentley Mulliner, diikuti rim aloi tempa dengan kemasan Dark Titanium Satin.
 

bentley


Jika anda perasan, struktur 'jeriji' sisi pada Diavel ini juga turut mengikut corak yang dibawakan pada jeriji Bentley Batur.

Sementara bahagian mudguard depan, tangki, serta reraup pula diinspirasikan daripada hud enjin Batur.

Kebanyakan komponen baharu pada Diavel for Bentley ini (mudguard, pelindung lampu, pelindung enjin, kemasan radiator, pelindung ekzos, panel sisi dan ekor) diperbuat daripada bahan gentian karbon, sementara tempat duduk pula dibaluti bahan Alcantara hitam.
 

bentley


Tidak seperti Bentley Batur yang dihasilkan dalam unit terhad, Ducati merancang untuk menghasilkan kira-kira 500 unit Diavel for Bentley.

Para pelanggan Mulliner pula berpeluang untuk merebut slot tambahan Ducati Diavel for Bentley Mulliner sebanyak 50 unit, di mana mereka boleh menetapkan warna pilihan serta spesifikasi yang boleh disesuaikan dengan kereta Bentley sedia ada.

Tiada sebarang perubahan spesifikasi enjin, bermakna Ducati Diavel for Bentley ini masih lagi kekal dengan nadi Granturismo 1,158 cc bentangan V4 yang mampu menjana kuasa setinggi 168 hp @ 10,750 rpm dan daya kilas 126 Nm @ 7,500 rpm.
 

divale


Harga untuk sebuah Ducati Diavel for Bentley bermula dari £58,000 (RM339,949), sementara Ducati Diavel for Bentley Mulliner pula bermula dari £78,000 (RM457,172).

Pembeli Ducati Diavel for Bentley ini boleh melengkapkan pembelian dengan topi keledar jet khas, serta jaket yang didatangkan dengan skema warna yang sama.