Dr. Li Chunrong dilantik CEO PONSB - Bawa 30 tahun pengalaman ke Proton

oleh Muhammad Md Tajudin|

Cakap-cakap mengenai Dr. Li Chunrong bakal mengetuai Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), yang merupakan subsidiari PROTON Holdings Berhad nampaknya menjadi realiti apabila beliau bakal menggalas tugas tersebut bermula 1 Oktober depan.

Genap seratus hari selepas Perjanjian Muktamad antara DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) yang ditandatangani pada 23 Jun, kedua-dua syarikat telah mengesahkan struktur baru lembaga pengarah dan sebahagian pasukan eksekutif bagi PROTON Holdings Berhad dan syarikat-syarikat berkaitannya (Kumpulan PROTON).

Berikut ialah barisan ahli lembaga pengarah dan pengurusan di PROTON Holdings Berhad dan dua subsidiarinya, PONSB dan PESB.

Dato' Sri Syed Faisal Albar kekal sebagai Pengerusi PROTON Holdings Berhad (PHB)

 

Struktur baru lembaga pengarah dan sebahagian pasukan eksekutif bagi PROTON Holdings Berhad dan syarikat-syarikat berkaitannya (Kumpulan PROTON).

 

Dato' Sri Syed Faisal Albar kekal sebagai Pengerusi PROTON Holdings Berhad (PHB). Beliau disertai oleh Shaharul Farez Hassan dan Amalanathan Thomas sebagai calon-calon dari DRB-HICOM dalam ahli lembaga pengarah.

Farez dan Nathan merupakan sebahagian barisan pengurusan kanan di DRB-HICOM.

Geely Holding calon dua wakil dalam lembaga pengarah PROTON Holdings Berhad

Geely Holding telah mencalonkan Daniel Donghui Li dan Feng Qing Feng untuk menyertai ahli lembaga pengarah PHB. Daniel Donghui Li kini memegang jawatan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Geely Holding, sementara Feng adalah Naib Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Teknologi di Geely Auto, syarikat yang tersenarai di Bursa Hong Kong.

Winfried Vahland, bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Škoda Auto dilantik a​​​hli lembaga pengarah Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB)

Kesemua lima mereka ini juga merupakan ahli lembaga pengarah Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), bersama Dr. Nathan Yu Ning, yang merupakan Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa dan Penasihat Eksekutif kepada Presiden di Geely Holding.

Winfried Vahland, bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Škoda Auto, juga dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di PONSB.

Ahli lembaga pengarah PROTON Edar Sdn. Bhd.

Syed Faisal, Farez, Nathan, Daniel Donghui Li dan Dr. Nathan Yu Ning juga dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di PROTON Edar Sdn Bhd, syarikat pengedaran PROTON di Malaysia.

Barisan Eksekutif Global - Dr. Li Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PONSB

 

Struktur baru lembaga pengarah dan sebahagian pasukan eksekutif bagi PROTON Holdings Berhad dan syarikat-syarikat berkaitannya (Kumpulan PROTON). 02

 

Kumpulan PROTON telah mencalonkan Dr. Li Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PONSB, berikutan perletakan jawatan Dato’ Ahmad Fuaad Kenali pada 30 September.

Dr. Li telah mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam industri automotif dan mempunyai pengalaman bekerja dengan jenama utama antarabangsa seperti Honda, Kia dan Dongfeng dalam pelbagai peringkat tertinggi.

Dr. Li bakal bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi PROTON, yang melibatkan pengeluaran, pembuatan, operasi, kualiti dan penyelidikan & pembangunan, serta penjualan dan pemasaran.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif semasa, Dato’ Radzaif Mohammed akan menyokong Dr. Li dan bersama-sama mengetuai pelan pemulihan untuk PROTON.

Pelan Pemulihan - Kembali kuasai pasaran tempatan dan tiga jenama utama ASEAN

Kedua-dua Lembaga Pengarah telah memutuskan usaha pemulihan jenama global PROTON adalah teras utama syarikat. Kedua-dua Lembaga Pengarah serta Pasukan Eksekutif akan mengetuai perubahan tersebut.

Matlamat bersama kedua-dua pasukan ini adalah untuk memulihkan PROTON sebagai jenama terlaris di Malaysia dan sebagai tiga jenama utama ASEAN pada tahun-tahun akan datang.

Bagi mencapai matlamat ini, pihak pengurusan PROTON telah menubuhkan sebuah pasukan global yang dapat menggemblengkan pengetahuan terkini pasaran kedua-dua pemegang saham meliputi maklumat pasaran tempatan DRB-HICOM dan juga sumber-sumber antarabangsa Geely Holding.

Semangat baharu dari pihak pengurusan atasan

 

Struktur baru lembaga pengarah dan sebahagian pasukan eksekutif bagi PROTON Holdings Berhad dan syarikat-syarikat berkaitannya (Kumpulan PROTON)

 

Syed Faisal yakin bahawa kerjasama antara kedua-dua syarikat bakal menghasilkan keputusan yang diinginkan

“Kerjasama bersama Geely Holding ini telah memperkukuhkan lagi struktur syarikat dan menjana hasil yang memberangsangkan, kami telah menubuhkan satu Lembaga Pengarah global dan bakal mewujudkan sebuah pasukan global terkemuka untuk bekerjasama bagi pemulihan global jenama PROTON.

Saya amat yakin bahawa kita boleh mencapai matlamat yang telah kita tetapkan hari ini,” kata Syed Faisal.

Daniel Donghui Li bersetuju dengan keyakinan Syed Faisal

“Selepas usaha pencarian global bersama bagi calon yang sesuai untuk merealisasikan visi bersama kami demi masa depan PROTON, kedua-dua pemegang saham percaya bahawa Dr. Li adalah calon terbaik untuk memulihkan PROTON sepenuhnya.

Kami akan menggunakan sumber dan kesinambungan global kami untuk merealisasikan potensi sebenar PROTON dengan kerjasama DRB-HICOM,” ujar Daniel Donghui Li.

Dr. Li Chunrong - Mula tugas pada 1 Oktober 2017

Dr. Li akan menjadi CEO PONSB berkuatkuasa 1 Oktober, 2017 dan akan memainkan peranan penting dalam pembangunan kenderaan baharu untuk PROTON. Kenderaan pertama hasil usahasama ini merupakan SUV bersaiz sederhana, dan ianya kali pertama PROTON memasuki segmen ini.

CEO PONSB yang baru dilantik Dr. Li berkata, beliau teruja untuk menghadapi cabaran dalam peranan baru ini.

“Saya dicalonkan oleh Lembaga Pengarah untuk menghidupkan semula PROTON dan saya percaya jenama kereta Malaysia itu bakal menjadi jenama domestik nombor satu dan sebuah jenama terkemuka ASEAN. Untuk merealisasikan visi ini, PROTON kini mempunyai akses kepada sinergi global, kepakaran dan sokongan kewangan yang diperlukan daripada keluarga Geely. Saya yakin bahawa hari-hari terbaik PROTON bakal menjelang semula,” kata Dr. Li.

Bidaan antarabangsa untuk PROTON

DRB-HICOM telah menganjurkan bidaan antarabangsa untuk rakan strategik asing untuk PROTON pada tahun 2016, dan telah menilai lebih daripada 30 syarikat global. Geely Holding diumumkan sebagai rakan strategik asing baru PROTON pada 24 Mei tahun ini berikutan Perjanjian Dasar yang ditandatangani di Kuala Lumpur.

Muhammad Md Tajudin

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Bekas CEO dan juga bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Skoda Auto, anak syarikat milik penuh…
Berita Domestik
Perusahaan Otomobil Nasional, Proton kini telah menerima satu lagi pengiktirafan untuk Proton Iriz…
Gaya Hidup
“Saya memang sangat membenci kereta jenama Proton kerana sebelum ini saya menghadapi pelbagai…