Menurut Datuk Aishah, ia akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam masa terdekat, namun tiada sebarang tarikh muktamad diberitahu.
Tiada sebarang perubahan yang drastik mengenai dasar yang bakal dibentangkan itu, selaiin menumpukan kepada beberapa aspek seperti kenderaan generasi baharu (NxGV), kenderaan cekap tenaga (EEV), serta Mobiliti sebagai sebuah Perkhidmatan (MaaS).
Menurut laporan terdahulu daripada Bernama, dasar NAP terbaharu ini juga bakal menyentuh soal definisi kereta nasional yang menetapkan enam kriteria yang perlu diikuti seperti majoriti atau pemegang utama ekuiti adalah rakyat Malaysia dan pendanaan oleh pihak swasta serta menggunakan 75 peratus bekalan rantaian domestik.
“Kriteria lain adalah ia perlu menggunakan 98 peratus pekerja tempatan, syarikat terlibat (di dalam projek) membuat penyelidikan dan pembangunan di Malaysia, mengambil langkah-langkah susulan kenderaan NxGV sebagai satu perkhidmatan serta penggunanaan revolusi perindustrian 4.0” katanya.
Menurutnya, kriteria berkenaan terpakai kepada pengeluar kereta nasional sedia ada dan kereta nasional baharu yang sedang dalam peringkat pembangunan.