Dari zaman Volvo radio-car ke kereta gurubesar dan estate seksi BTCC ke model V90 T5 ini!

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebenarnya, orang kita ini biasa dengan Volvo.

Zaman-zaman ayah saya, Volvo ini lebih popular di kalangan guru besar dan pengetua sekolah. Tapi arwah abah saya, dia minat Celica TA23 (sebab itu saya pun Toyota GT86).

Kemudian, zaman saya membesar, Volvo ini digunakan oleh Polis DiRaja Malaysia.

Orang tua-tua di Parit Jawa panggil radio-car lah, sebab ada radio dua-hala polis agaknya.

Polis banyak menggunakan Volvo. Dari Volvo 144 ke Volvo 240 Estate ke model kecil Volvo 360 dan sebagainya.

Selain dari Alfa Romeo Giulia dan Alfetta yang diguna oleh polis semasa itu, gambaran Volvo putih dengan lampu nyot-nyot (saya panggil lampu siren dengan nama itu dulu) dengan perkataan POLIS tertulis di tepi memang terus terpahat di dalam minda.

 

Volco BTCC

 

Bila sudah dewasa, terliur melihat Volvo berlumba di dalam perlumbaan popular British ketika itu, British Touring Car Championship atau BTCC.

Pada tahun 1994, Volvo melancarkan dua kereta lumba mereka, Volvo 850 Estate. Menurut Volvo, kadar aerodinamik estate jauh lebih baik dari sedan dan bermula dari saat itulah, estate menjadi seksi. 

Dan ketika itu juga, Volvo 850 T-5R turut muncul dan menjadikan Volvo sebuah jenama yang menggiurkan.

Namun begitu, tiba-tiba Volvo berubah haluan.
Volvo Cars dijual kepada Ford pada tahun 1999 dan bermulalah era Volvo-tak-sedap pada pendapat saya.

Volvo C30

Semasa di New Sunday Times dan di TopGear Malaysia, kereta mewah menjadi mainan saya. Ke seluruh dunia saya diterbangkan untuk memandu uji kereta-kereta mewah dan memang Volvo pada masa itu langsung tidak membuat hati saya berdetik.

Jika cantik, seperti Volvo C30, pemanduannya pula boleh dibuang ke laut. Sterengnya umpama disambung dengan getah tiub air ke gandar hadapan.

Sama juga dengan model S60 generasi pertama yang memang nampak wow kerana sebelum itu, design sebuah kotak kasut Sketchers lebih seksi dari sebuah Volvo tetapi pemanduan S60 langit dengan bumi jauhnya dengan sebuah kenderaan dari Jerman. 

Volvo XC90 2017

 

Namun, sumpahan Ford kepada Volvo akhirnya berakhir dan penyelamat dari China, Geely muncul.

Bermula dari XC-90 terbaharu dan sekarang ini, model S90 dan V90, Volvo akhirnya mendapat kebebasan untuk menghasilkan apa yang mereka mahukan.

Dan dengan Volvo V90 T5 terkini ini, saya sendiri mahukan sebuah Volvo kembali.

Harga S90 T5 yang dipandu uji ini bermula dari RM393,888 (tanpa insurans ya).

Memang ia mahal kerana ia direka untuk bermain dengan BMW 5-Series dan Mercedes-Benz E-Class, bukan dengan Nissan AD Resort tahun 1995.

Volvo Malaysia memberikan waranti lima tahun atau 120,000 km, mana yang terdahulu.

V90 at paddy field

 

Dari segi luaran, memang V90 ini rendah dan panjang (4.9 meter ya), tak ubah seperti sebuah kereta konsep.

Lampu hadapan dengan tukul Thor yang penulis tersohor kita Abam Garang atau Cik Muhammad Md Tajudin kita suka itu terpampang di hadapan.

Pada pendapat saya, lampu hadapan Volvo  ini dengan LED DRL itu jauh lebih segak dan lebih bergaya dari lampu-lampu milik Audi terkini.

Audi seperti sudah hilang ingatan dengan rekabentuk LED lampu hadapannya. Sudah macam lampu pada kapal angkasa milik askar plastik Galactic Empire yang diketuai oleh Tuan Darth Vader yang mempunyai sakit lelah itu.

V90 gril

 

Gril hadapan pula mengimbau zaman-zaman seksi Volvo ketika P1800 dipandu oleh Roger Moore sebagai The Saint.

Bilah-bilah pada gril itu berbentuk concave atau melengkung ke dalam, nampak seksi bila dipadankan dengan bamper dan lampu futuristik itu.

Bahagian belakang, lampu dari atas bumbung hingga ke bahagian tengah itu mungkin satu revolusi rekabentuk 850 Estate tetapi bila Honda CR-V dan Nissan Serena C27 dan lain-lain mula meniru gaya itu, tiada nampak keistimewaannya sangat.

Tetapi bila dibandingkan dengan sebuah model Jerman, Volvo V90 ini memang nampak lebih sporti dan ya, sangat lain.

 

V90 tail

 

Bahagian kabin turut berbeza. Tidak ada apa yang sama dengan dengan Volvo terdahulu. Semuanya baharu (mungkin ada lagi yang sama, seperti suis pengubah kedudukan cermin sisi dan beberapa punat lain).

Skrin sesentuh besar (9-inci menegak) di tengah mengawal hampir 90 peratus fungsi audio, telefon, Bluetooth dan fungsi berkaitan kenderaan.

Panel meter pula ialah 100 peratus skrin LCD dan mempunyai beberapa pilihan paparan.

Konsol tengah pula lebar dan selesa, dan sebuah butang besar yang perlu dipulas ke kanan untuk menghidupkan enjin.

Ya, nampaknya itu akan menjadi identiti Volvo sekarang ini.

 

Drivers area

 

Ada juga butang scroll di situ untuk pilihan mode pemanduan - Eco untuk pemanduan berhemah dan menjimat bahan api serta pijak semut pun tak berapa mati, Comfort untuk pemanduan harian yang lancar dan selesa, Dynamic untuk yang tiba-tiba tak tahan melihat Myvi warna kuning Taliban memotong sayur kereta kita dan Individual di mana mode itu boleh diubah mengikut nafsu dan selera pemandu.

Roda aloi V90 T5 hanya bersaiz 18-inci dengan rekaan turbin, tetapi sudah memadai.

Enjin cuma sebuah 2.0L, tetapi ia datang dengan Drive-E Turbocharged yang menghasilkan 245 hp dan 350 Nm.

Digandingkan dengan kotak transmisi Aisin 8-kelajuan automatik, tenaga disalurkan dengan lancar ke roda hadapan.

V90 gear shifter

 

Saya memandu pulang Volvo V90 T5 ini ke Muar bersama keluarga untuk berjumpa sanak saudara. 

Di atas lebuhraya, memang Volvo berjaya membuatkan sistem gantungan ini lebih ke arah sebuah Audi di mana ia tidak begitu keras dan tidak melambung atau mula melayang bila laju.

Malah, saya kira, ia terasa lagi sedap dari Audi pun.

Dibandingkan dengan BMW, Volvo tidak begitu sporti tetapi Volvo juga tidak sekeras lantunan BMW.

Bila dibandingkan dengan Mercedes-Benz pula, Volvo terasa lebih stabil.

Puas di lebuhraya, saya masuk ke jalan persekutuan di antara Tangkak hendak ke Kebun Baharu, di mana Gunung Ledang di sebelah kiri saya.

Hmmm ... menarik kerana stereng terasa tepat sementara bodyroll atau olengan terkawal.

"Tak boleh jadi ni, kena keluar balik nanti," detik hati saya.
Selepas menurunkan keluarga di rumah atok, dan bersalaman dengan semua, saya bergegas keluar dan menghala ke Bukit Kepong, langsung ke Segamat melalui laluan Pogoh/Chudan/Sungai Sikunanti.

 

V90 moving

 

Ini laluan banjir saya kerana kawasan itu sering banjir dan saya sudah beberapa kali membawa bekalan makanan kepada mangsa banjir di situ.

Jalan kecil dengan selekoh-selekoh tajam, serta kawasan tidak rata dan bergelombang memang menarik untuk menguji stereng dan sistem gantungan serta pemindahan berat kenderaan.

Volvo V90 T5 ini membuktikan bahawa Volvo sudah mahir untuk memastikan adab pengendalian jalanrayanya seimbang antara prestasi dan keselesaan.

Perlu diingatkan, Volvo V90 ini panjang hampir 5 meter, dan ia berat, tetapi ia tidak berayun bila dipaksa membelok dan ia benar-benar mengikut kata pemandu.

Pecutan dari 0 ke 100 kmsj mengambil masa 7.0 saat dan halaju maksimum ialah 230 kmsj, lebih dari memadai untuk sebuah kereta keluarga premium dengan ruangan but sebesar 913 liter.

 

V90 meeter panel

 

Sistem audio, pendingin hawa dan kemudahan lain seperti booster seat terbina di dalam kerusi belakang memang mencuit perasaan kebapaan saya.

Ia memang sebuah estate keluarga yang cantik, bergaya klasik, buatan yang bermutu tinggi (memang terasa jauh berbeza dari Volvo sebelumnya) dan bertenaga.

Dan paling penting, ia selamat. Saya tertidur (micro sleep) ketika memandu di kesesakan jalanraya di Petaling Jaya (tak berapa sihat pada ketika itu) dan sistem City Safety menghentikan Volvo itu dengan sendiri sebelum saya mencium Proton Saga FL di hadapan saya.

Sebelum itu, dalam perjalanan balik dari KLIA ke rumah di Serdang, Volvo ini melambung seketika bila melanda jalanraya "terbaik" di dunia di Cyberjaya.

Sistem kawalan komputer Volvo mengesan kereta itu seperti akan melompat, maka ia menarik rapat badan kami menggunakan tali pinggang keledar dan bersedia seolah-olah kami akan terbabas.

Alhamdulillah tiada apa terjadi dan kami takjub dengan sistem itu yang benar-benar berusaha untuk memastikan keselamatan kami.

 

Volvo V90 side paddy field

 

Nescaya sekiranya saya mempunyai RM400,000 yang terlebih di dalam akaun saya, Volvo V90 T5 warna perak ini akan berada di garaj rumah saya sekarang juga.

Saya sangat suka V90 T5 ini. Sangat-sangat suka!

Spesifikasi Volvo V90 T5

  • Enjin: 1,969 cc Drive-E dengan Turbocharger
  • Kuasa maksimum: 254 hp @ 5,500 rpm
  • Tork maksimum: 350 hp @ 1,500 - 4,800 rpm
  • Transmisi: 8-kelajuan automatik dengan Geartronik
  • Laju maksimum: 230 kmsj
  • 0 - 100 kmsj: 7.0 saat
  • Penggunaan bahan api: 6.8L/100km (purata)
  • Harga: RM393,888.00 termasuk GST tanpa insurans
  • 5-tahun waranti dan Volvo On Call

  

Berita Berkenaan

Berita Global
Syarikat yang dinamakan Flexis itu menyasarkan untuk mengambil peluang peningkatan permintaan bagi…
Berita Global
Pengakhiran nadi diesel Volvo menyaksikan sebuah SUV XC90 terakhir berwarna biru dengan enjin…
Berita Global
  Volvo membangunkan Accident Ahead Alert bagi membantu pemandu mengelak pelanggaran dan…