DARI IRIZ KE HATI: SIRI 2 - KAREKTOR PADA KERETA?

oleh HEZERI SAMSURI|

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sebulan berlalu dan kini kita di dalam bulan Merdeka, di mana pada 31 haribulan nanti, rakyat Malaysia akan meletakan segala kepincangan ketepi dan bersatu untuk menyambut hari kemerdekaan kita.

Esoknya mereka bergaduh semula. 

Biasalah, politik. Kita jangan melayan sangat. Mereka sibuk berpolitik, tapi di belakang masing-masing ada jentera mencari dana. 

 

POLITIK

 

Kita pula, sanggup ponteng kerja untuk ikut acara politik. Ataupun berembun di sebelah malam hendak mendengar ceramah jual ubat ahli politik.  Akhirnya, apa pun tak dapat dan kita mula menuduh orang lain kenapa kita tidak maju.

Politik sebenarnya mempunyai tuan - duit. Jika ekonomi kita kukuh, mereka semua berada di telunjuk kita dan kerana itu, jihad ekonomi sangat penting.

Masalahnya, ia berat dilakukan dan lebih mudah untuk duduk bersidai dan mengutuk pemimpin. 

Eh melalut pula kita.

Bulan lalu saya bercerita bagaimana orang rumah saya mula jatuh hati dengan Iriz Ijo kami, dan kali ini saya kongsikan kenapa beliau memang merampas kereta itu dari saya.

Sebab pertama ialah hanya beliau seorang yang boleh hidupkan enjinnya (secara teknikal, beliau dan sayalah). 

start stop

 

Proton Iriz MT Premium menggunakan sistem Keyless Entry dan Start Button sepenuh hati (yang Preve guna Start Button separuh hati - kunci tetap perlu dicucuk ke dalam slot). Oleh kerana transmisi manual pada Iriz ini, pedal klac perlu ditekan. 

Tetapi Proton mempunyai satu lagi trick - gear undur.

Ia perlu diparkir di dalam gear undur, jika tidak, anda akan mempunyai masalah untuk menghidupkannya.

Pada mulanya, kami hampir give-up untuk menghidupkan Iriz ini tetapi setelah faham konsepnya, dan juga trick-trick yang perlu digunakan, saya rasa Insya Allah ia sukar untuk dicuri.

Sebab kedua ialah Iriz ini nampak kompak di luar tetapi luas di dalam

Satu perkara yang menarik akan Iriz ini ialah sebenarnya, saiz kabin yang luas. Ia mampu memuatkan lima dewasa dengan mudah.

Itu penting kerana orang rumah saya perlu memandu anak-anak dara kami yang berdua itu (Ainaa, lima tahun dan Qisya Omputeh, enam tahun) ke tadika dan mereka duduk di dalam kerusi kanak-kanak.

 

boot

 

Tempat duduk belakang Iriz dengan mudah memuatkan dua kerusi tersebut dengan ruang tengah yang cukup untuk bodyguard mereka, Alif, abang mereka yang berusia 13 tahun itu.

Boot atau tempat barang juga memadai untuk perjalanan singkat.

Oleh kerana kami tinggal di Lembah Kelang, kepakaran parkir sangat penting kerana ramai penduduk Lembah Kelang dilahirkan dengan sindrom TRP - Tak Reti Parkir.

Kebiasaannya, mereka masukkan muncung kenderaan ke dalam petak parkir, matikan enjin dan tinggalkannya dalam keadaan herang herot. 

Bila ditegur, reaksi mereka ialah tersenyum dan berkata tak perasan parkir senget, buat tak tau dan berlalu dan paling kronik, memarahi kita kembali. 

Mak saya cakap, memang tak berjenis punya manusia mereka ini. Pada saya, mereka ada jenisnya - jenis haprak dan pentingkan diri sendiri. 

 

iriz front

 

Baiklah, berbalik kepada Iriz ini, saiz luarnya kompak dan isteri boleh melihat hujung muncung depan dengan mudah. Oleh kerana sebelum ini beliau biasa membawa trak pikap atau MPV besar, Iriz bagaikan satu hembusan nafas lega. 

Paling menarik, Iriz ini lengkap dengan kamera undur yang baik. Memang kalau ada Iriz yang parkir secara tidak betul, anda harus menempeleng pemandunya kerana Iriz ini sangat mudah untuk diparkir!

Sebab terakhir katanya ialah Iriz ini terasa jantan untuk dipandu. Beliau tidak suka kereta-kereta yang terlalu "lembik". 

Saya kata, tidak ada kereta yang lembik. Semua kereta dibuat dari besi, bukan Sumi Jeli Manis.

 

iriz 4

 

Apa yang dimaksudkan oleh isteri saya itu ialah Iriz ini mempunyai karektor. Ya, mungkin ada kereta lain yang lebih pantas dalam memecut.

Mungkin ada kereta lain yang lebih laju dari Iriz ini dan mungkin ada kereta yang lebih mudah dipandu dari Proton kompak ini tetapi apa yang Iriz ada dan yang mereka tidak ada ialah "karektor" atau jiwa.

Sukar untuk diceritakan dalam bentuk perkataan tetapi apabila kita berkata sesebuah kereta itu ada karektor, ia bermakna kereta itu seolah-olah "bercakap" dengan kita.

 

iriz wheels

 

Sebuah kenderaan yang selesa tidak akan berkata apa-apa. Sterengnya tidak memberi sebarang tindak balas, badan atau chasis juga terlalu "muted" atau seperti dibalut dengan span dan lapisan kain batik tebal dan tidak memberikan tindakbalas sementara enjinnya hanya menghasilkan bunyi pencuci hampagas jenama Hoover.

Malah ada kereta yang lengkap dengan bodykit dan rear spoiler serta rim besar tetapi bunyi yang keluar dari ekzos seperti bunyi anak kucing tiga hari batuk - lembut dan manja seperti suara penjual seluar jeans di Plaza Shopping Centre di Haadyai. 

Pada pendapat saya, biarlah kereta itu standard tetapi tidak poyo atau berlagak "poser". 

Kereta yang berjiwa akan "bercakap" dengan pemandu melalui sterengnya, gerak geri badannya bila dipandu di selekoh-selekoh, transmisinya yang terasa menendang tenaga padu ke roda bila digunakan dan aura bunyi bagai memberikan kita semangat.

 

iriz meter

 

Kerana itu, jika anda mahu tahu, seorang yang gilakan kereta tidak semestinya melakukan modifikasi ekstrem kepada kenderaannya kereta mereka hanya membeli kereta yang sudah mempunyai jiwa. Mereka hanya pentingkan karektor kereta itu.

Dan kerana itulah walaupun Alfa Romeo akan memberikan pemiliknya pelbagai jenis masalah, tidak ada seorang pun pemilik kenderaan jenama itu akan bencikan kereta mereka.

Malah Alfa Romeo mereka dijaga lebih baik dari menjaga isteri mereka. Ya lah, cincin baru untuk si isteri berharga RM1,500 tetapi sekali tukar tayar Alfa Romeo, RM3,000 pun tidak cukup.

spoiler

Pada pendapat saya, itu ialah satu perkara paling penting ada pada Iriz, atau mana-mana model Proton yang lain - karektor

Tanpa karektor, anda terpaksa menghabiskan beribu-ribu Ringgit untuk menjadikan kereta anda terasa seperti sebuah kereta, bukan mesin basuh jenama lazim.

Tanpa karektor, memandu kenderaan terasa seperti satu tugas yang membosankan dan tanpa karektor, anda memang tidak akan ada rasa sayang langsung pada kenderaan itu.

And I am really glad that this Iriz of mine has tonnes of character!

Add new comment

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
“Saya memang sangat membenci kereta jenama Proton kerana sebelum ini saya menghadapi pelbagai…
Berita Domestik
Proton Holding's Berhad hari ini telah menyumbangkan sebuah Proton Persona baharu, satu unit enjin…
Berita Domestik
Sebelum ini agak riuh di medsos (media sosial) tentang Proton bakal menerima Ketua Pegawai…