Memberangsangkan dengan pecutan lebih pantas daripada Civic 1.5 liter turbo! Transmisi e-CVT juga beroperasi dengan cekap dan lebih senyap.
Selain itu, tahap pengendalian juga lebih baik daripada Civic turbo dan sangat lincah di selekoh.
Ketegaran casis Civic e:HEV telah dipertingkatkan untuk pengendalian yang lebih mengujakan.
Daripada laporan Hanif jelas bahawa Civic e:HEV memang sedap untuk dipandu.
Terbaru Honda mengumumkan Civic e:HEV dan Civic Type R menang kategori Performance Car of the Year di dalam anugerah Japan Car of the Year (JCOTY) 2022-2023.
Anugerah JCOTY bukan calang-calang dan dianjurkan sejak tahun 1980.
Menariknya, kedua-dua model Civic berkongsi anugerah dan masing-masing dibangunkan dengan konsep berbeza.
Kemenangan Civic di dalam kategori berprestasi adalah yang pertama untuk kereta buatan Jepun selepas Chevrolet Corvette dan BMW Alpina B3 menang pada dua sesi sebelum ini.
Menurut Pengurus Pembangunan Siri Civic, Honda Motor Co., Ltd., Tomoyuki Yamagami, Civic e:HEV dibangunkan untuk pecutan yang tangkas dan prestasi alam sekitar yang tinggi.
Civic Type R pula dibangunkan untuk menjadi sebuah kereta sport enjin dan roda depan (FF) yang berkuasa.
Dari kedua-dua model tersebut boleh disimpulkan Honda pandai mengolah Civic untuk memenuhi dua citarasa berbeza.
Bayangkan sebuah kereta yang sama tetapi halatuju berbeza ibarat satu ke timur dan satu lagi ke barat.
Paksi kedua-dua model itu diletakkan pada prestasi dan siapa sangka sebuah kereta hibrid begitu sedap dipandu.
Ini menunjukkan bahawa kereta hibrid tidak semestinya membosankan dan elemen keseronokan pemanduan boleh disebatikan pada kereta mesra alam.
Civic Type R pula membawa legasi ikonik Type R yang kini memasuki usia ke-30 sejak NSX Type R dikeluarkan pada 1992.
Anugerah keseluruhan JCOTY 2022-2023 dimenangi oleh Nissan Sakura dan Mitsubishi ek Cross EV.
Penulis: Muhammad Md Tajudin