cedera tertusuk besi jatuh dari lori

oleh Penyumbang Rencana|
Seorang tukang rumah cedera akibat tertusuk batang besi dipercayai terjatuh dari sebuah lori sebelum melayang menembusi cermin hadapan kereta dipandu dalam kejadian di Jalan Pantai Sepat, di Kuantan pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, batang besi sepanjang 0.75 meter menembusi lengan dan terkena rusuk kiri Jamaludin Amin, 45, dari Kampung Penor di sini.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Alza dalam perjalanan dari arah Penor menghala ke arah Tanjung Lumpur.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebatang besi dipercayai jatuh dari sebuah lori arah bertentangan terkena cermin depan sebelum tembus masuk ke dalam kereta dan menusuk lengan serta rusuk mangsa.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan lanjut," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana cuai hingga mendatangkan kecederaan terhadap orang awam.

"Usaha mengesan pemandu serta lori terlibat masih dijalankan.

"Berdasarkan maklumat awal, lori terbabit dipercayai berwarna hijau jenis roro membawa sisa bahan binaan namun nombor pendaftarannya belum dapat dipastikan," jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan saksi-saksi awam yang mungkin melihat kejadian untuk membantu siasatan.

Kejadian tersebut tular pada Rabu selepas gambar dan info ringkas dikongsi dalam sebuah akaun Facebook oleh individu dipercayai ahli keluarga mangsa.

Wanita itu turut memohon bantuan pengguna jalan raya yang mungkin terakam kejadian melalui kamera papan pemuka bagi mengesan lori terlibat.

- pentingnya kamera papan pemuka, disarankan setiap kenderaan wajib dipasang supaya ada bukti bila keadaan memerlukan -

Sinar Harian