Di antara kelebihan menggunakan teknik percetakan tiga dimensi ini sudah tentu dari segi kadar kekuatan yang lebih tegar berbanding cara pembuatan biasa, selain struktur yang lebih kukuh dan ringan dalam masa yang sama.
Salah sebuah pengeluar yang memanfaatkan teknologi ini adalah Bugatti, dan mereka bukanlah syarikat yang cikai-cikai mencetak komponen daripada bahan plastik.
Sebaliknya, mereka menggunakan kepakaran tersebut untuk mencetak pelindung trim tip ekzos daripada bahan titanium!
Komponen tersebut memiliki dimensi 220 mm panjang, 480 mm lebar dan 130 mm tinggi itu dipasang pada model Chiroin Pur Sport dan memiliki berat sekitar 1.85 kilogram sahaja, 1.2 kilogram lebih ringan berbanding pelindung standard pada model Chiron.
Untuk mencetak komponen tersebut, Bugatti menggunakan tenaga laser berkuasa 400 watt dengan kadar ketepatan yang tinggi untuk menghasilkan dinding setebal 0.4 mm.
Percaya atau tidak, komponen pelindung yang dicetak secara tiga dimensi ini terdiri daripada 4,200 lapisan serbuk besi titanium yang ditindih dan dimampatkan dengan rapi.
Bugatti telah pun mula membangunkan komponen tersendiri menggunakan teknologi percetakan tiga dimensi ini sejak tahun 2018 ketika memproduksikan Chiron Sport dan Divo.
Pada tahun 2019, model La Voiture Noire dan Centodieci turut memanfaatkan teknologi 3D printing ini, sementara model Chiron Sport pula menggunakan bahan Inconel 718 atau aloi nickel-chrome yang bukan sahaja kukuh malah tahan panas.