Ia dikuasakan oleh nadi Chiron W16 yang telah diubahsuai supaya mampu menghasilkan kuasa setinggi 1,824 hp dan 1,850 Nm.
Untuk menghentikan jentera yang agak berkuasa dengan berat sekitar 1,240 kg ini sudah pasti memerlukan sistem brek yang lebih mencengkam.
Disebabkan itu, Bugatti telah melengkapkan jentera litar ini dengan sistem brek khusus daripada Brembo.
Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rotor karbon bersaiz 15.3 inci di mana rotor hadapan mempunyai spesifikasi dimensi yang lebih tebal.
Untuk gandar hadapan terdapat angkup monoblok aluminium salutan nikel lapan omboh dengan empat pelapik brek yang lebih tebal, sementara gandar belakang pula menampilkan angkup enam omboh - juga diperbuat daripada bahan sama.
Secara keseluruhan, ia merupakan sistem brek karbon yang terbesar pernah dihasilkan oleh Brembo, dan menjadikannya sama aras dengan teknologi brek yang digunakan untuk jentera LMDh dan Formula Satu.
Disebabkan binaan karbon, setiap satu rotor mempunyai berat sekitar 3.175 kg sahaja.
Sistem brek yang sangat besar ini sudah pasti memerlukan sistem penyejukan yang lebih berkesan.
Untuk itu, Bugatti telah mereka saluran penyejukan khas bagi menyalurkan udara sejuk kepada brek untuk mengelakkan masalah terlalu panas yang menyumbang kepada pudar brek (brake fade).
Hanya 40 unit sahaja Bugatti Bolide yang akan diproduksikan, setiap satu berharga $4 juta (RM19.11 juta) dan kesemua unit telah pun mendapat pemilik masing-masing.