Bosch bangunkan enam ciri keselamatan untuk motorsikal

oleh Mohamad Hanif|
Seorang penunggang sememangnya terpaksa bertawakal apabila keluar dari rumah walaupun sudah bersiap sedia dengan baju keselamatan, pad bahu, lutut dan sebagainya.

Ini kerana sistem keselamatan yang ada pada motorsikal bukanlah lengkap dan menyeluruh seperti yang ditawarkan pada kereta penumpang.

Ditambah lagi dengan keadaan jalan yang kurang menentu, cuaca buruk dan kebanjiran pelbagai kenderaan di atas jalan menyebabkan keyakinan untuk menunggang motorsikal menjadi semakin rendah.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dengan satu tujuan untuk menjadikan tunggangan motorsikal yang lebih selamat, Bosch kini tampil dengan beberapa inovasi teknologi yang semakin hampir menjadi realiti. 

 

Sliding Mitigation Research Project


Bosch menggunakan sistem pengesan gelinciran kenderaan ketika saat tayar kehilangan kuasa cengkaman ke atas jalan dan serentak melepaskan gas tujahan daripada arah bertentangan untuk menstabilkan kembali kawalan motorsikal. 

Menggunakan teknologi yang sama seperti penggunaan beg udara kereta, sistem ini mampu mengurangkan kemalangan disebabkan kehilangan kawalan terhadap motorsikal akibat keadaan jalan yang basah mahupun berminyak. 

 

Sistem bantuan radar


Terdiri daripada tiga komponen utama iaitu kawalan tunggangan adaptif (sama seperti kawalan pemanduan adaptif), sistem amaran pelanggaran hadapan, dan sistem pengesan titik buta. 

Gabungan harmoni ketiga-tiga sistem ini bakal menjadikan tunggangan yang lebih selamat di mana mtorsikal mampu mengesan pergerakan yang tidak diduga dan memberikan amaran kepada penunggang untuk mengelak atau membetulkan arah haluan. 

 

Sistem brek anti-kunci


Sejak 1984, Bosch telah melengkapkan teknologi ABS ini untuk diguna pakai pada kesemua segmen kenderaan di pasaran. 
 


Kini, negara-negara maju seperti Eropah, Japan, dan Taiwan mewajibkan penjualan motorsikal yang dilengkapi dengan ciri ABS sebagai standard, manakala India mewajibkannya ke atas penjualan motorsikal bersesaran 125 cc ke atas mulai April 2018. 

 

Sistem kawalan kestabilan motorsikal (MSC)


Memperkenalkan sistem keselamatan yang pertama di dunia khusus untuk motorsikal dengan rekaan sensor enam dimensi terkecil dan paling ringan di dunia. 

Dengan menggunakan parameter seperti sudut tunggangan, sistem elektronik MSC ini mampu menyesuaikan daya brek dan pecutan mengikut kesesuaian tunggangan semasa. 

Melalui sistem ini, Bosch mampu mengelakkan motorsikal daripada tersasar akibat kesilapan pulasan minyak ataupun hilang kawalan akibat brek mengejut di selekoh. 
 

Komunikasi motorsikal-ke-kereta (M2C)


Ini merupakan inisiatif terbaharu daripada pihak Bosch dalam menuju ke arah dunia mobiliti terhubung. 

Sistem M2C ini membolehkan motorsikal menghantar isyarat pertukaran maklumat dengan kenderaan lain di dalam radius beberapa ratus meter dengan frekuensi 10 kali dalam masa sesaat. 

Selain daripada pertukaran maklumat kenderaan yang hadir dari seluruh arah, sistem ini juga mampu memberikan amaran keadaaan trafik semasa melalui komunikasi dua hala yang terbentuk sesama kenderaan. 
 

Panggilan kecemasan (eCall), panggilan kerosakan (bCall), dan panggilan informasi (iCall)


Menggunakan sistem algorithm pintar buatan, eCall akan mengesan sekiranya seseorang penunggang terlibat di dalam kemalangan dan menghantar isyarat berbentuk lokasi dan jenis kenderaan yang terlibat kepada talian khidmat kecemasan yang terdekat. 

Sekiranya berlaku sebarang kerosakan di tengah jalan, bCall akan menggunakan senarai direktori untuk menghubungi mana-mana kedai atau bengkel yang berhampiran. 

iCall pula merupakan khidmat panggilan informasi sekiranya penunggang inginkan sesuatu maklumat, sebagai contoh lokasi stesen minyak yang berhampiran.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kini, pembekal komponen dan teknologi automotif dari Jerman, Bosch mengumumkan rancangan untuk…
Informasi
Apatah lagi sekiranya anda memasuki pula kawasan yang langsung tidak mempunyai lampu jalanan, dan…
Berita Global
Berdasarkan laporan Bloomberg, ketua perkhidmatan mobiliti Robert Bosch GmbH, Markus Heyn…