BMW M5 2018 - Tidak sehebat Tun M, tapi M yang ini tetap mengujakan!

oleh HEZERI SAMSURI|
Minggu lalu seluruh dunia permotoran Malaya dikejutkan dengan dua pelancaran model ikonik BMW - motosikal HP4 Race yang berharga RM491.420.47 dan sedan D-segment sporty M5 F90 bernilai RM942,759.86.

Kami tidak dapat menunggang motosikal HP4 Race itu lagi tetapi diberi peluang untuk memandu M5 itu di litar Sepang.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kali pertama memandu model legenda M5 ini ialah dalam tahun 2005, di mana model M5 E60 dengan 500 hp dan 520 Nm. Ia agresif dan tidak begitu memaafkan jika kita tidak menghormati segala tenaga yang dihamburkan, walaupun dengan segala macam peralatan elektronik seperti TCS dan DSC.

 

 

Ia juga terasa berat (enjin 5.0L V10 tanpa turbo) bila dihayun di selekoh-selekoh, tetapi masih membuatkan penulis tidak tidur malam. Ia bagaikan sebuah rumah banglo yang boleh diligan. Perasaan mengawal sesuatu sebesar dan seberat itu pada kelajuan yang tinggi, dan membuatkan ia masuk dan keluar dari selekoh-selekoh memang tidak mampu diterangkan dengan perkataan.

 

 

 

Kemudian datang model M5 F10 yang jauh lebih besar, lebih modern dan lebih menjimatkan walaupun ia sebenarnya lebih berat.

Enjin dikecilkan kepada enjin 4.4L V8 Twin Turbo dan untuk menghilangkan rindu pada bunyi enjin V10 lama, bunyi enjin "diperkuatkan" melalui sistem audio.

Penulis memandu uji M5 F10 ini beberapa kali dan walaupun ia lebih mudah dipandu, ia masih mampu memberikan kejutan - terutama semasa hujan. 

Ia juga terasa lebih lancar dan tidak seagresif M5 E60.

 

 

BMW Malaysia memberikan ruang terbaik untuk penulis menguji M5 F90 dengan membawa beberapa M5 ini ke litar Sepang.

Sebelum itu, BMW memberikan peluang kepada penulis untuk mencuba model-model M yang lain - M2, M3 dan M4. Ternyata, kesemuanya berbeza dan yang paling agresif ialah M3/M4. 

 

M2 sepang

 

BMW M2 (RM504,800) dengan enjin N55B30T0 3.0L Twin Scroll Turbo 6-silinder sebaris dan 370hp/465 Nm terasa seperti sebuah coupe yang sempurna. Malah, pada pandangan penulis, ia adalah model M paling cantik dan paling asli.

Model 3-Series M3/M4 (RM760,800) dilengkapi enjin S55B30T0 3.0L 6-silinder sebaris Twin Turbo dan prestasi naik kepada 431 hp dan 550 Nm. Ia ditala agar hantaran tenaga terasa lebih agresif dan lebih sporty. 

 

 

Jadi bagaimana pula dengan M5 F90 baharu ini? 

Di bawah ialah apa yang kami tahu dan kami rasa selepas memandu uji model idaman penulis ini.

BMW M5 F90 ialah model M (kecuali SUV X5 M dan X6 M) pertama yang datang dengan pacuan All-Wheel-Drive (AWD) dan yang pertama dilengkapi dengan transmisi automatik sahaja (sebenarnya transmisi automatik sekarang lebih menjimatkan dan pasaran dunia sudah mula meniru rakyat Malaysia yang gemarkan gear auto).

Walaupun kod model M5 ini ialah F90, ia sebenarnya berdasarkan model 5-Series G30. Merumitkan. 

 

Enjin 4,395 cc DOHC 32-Valve V8 aluminium (blok dan kepala) direct injection twin turbo menghasilkan 600 hp pada 6,600 rpm dan 750 Nm. 

BMW membuang sistem transmisi 7-kelajuan DCT dwi-klac lama dan menggantikannya dengan transmisi 8-kelajuan automatik torque-converter dari ZF yang lebih ringkas dan jauh lebih lasak. Sela masa tukaran gear (gear shift) juga tidaklah begitu lembab berbanding DCT. 

 

 

Transmisi 8-kelajuan ZF itu juga datang dengan M Steptronic dan Drivelogic. Masa tukaran gear boleh ditukar dengan tiga mod - Mode 1 untuk kecekapan tenaga, Mode 2 untuk tukaran gear terpantas dan Mode 3 untuk tukaran lebih pendek khusus untuk perlumbaan.

Prestasi atas kertas untuk M5 ini sangat menarik.

  • 0 - 100 kmsj dalam masa 3.4 saat
  • 0 - 200 saat dalam masa 11.1 saat
  • Halaju maksimum 306 kmsj
  • M5 F90 ialah 40 kg lebih ringan dari model M5 F10 yang digantikannya.

Dari segi luaran, terus terang penulis kata, ia tidak begitu wow. Ini memang sinonim dengan mana-mana M5. Walaupun jarak lebar roda bertambah, badannya tidak nampak begitu "widebody", terutama M5 berwarna hitam atau gelap.

 

 

Bamper hadapan mempunyai banyak liang kemasukan udara - khusus untuk enjin dan brek serta aerodinamik. Ini ialah M, maka rekabentuk badannya memang mempunyai fungsi saintifik dan bukan untuk nampak cantik sahaja.

Bonet hadapan ialah dari aluminium sementara bumbung pula ialah dari bahan carbon fibre reinforced (CRFP).

Yang paling nampak agresif pastinya bamper belakang - lenglap dengan diffuser dan empat corong ekzos. 

Bercakap tentang ekzos, bunyi M5 kali ini sedikit nyaring berbanding dengan bunyi M5 dahulu, tetapi jauh lebih asli. Sistem ekzos datang dengan injap butterfly untuk memberikan ruang kepada gelombang bunyi keluar lebih pantas dan juga sebuah resonator dipasang di antara kedua banjaran ekzos enjin V8 itu. Namun begitu memang ada sedikit campur tangan sistem audio bagi menjadikan bunyinya lebih padat.

 

 

M5 F90 memberikan pemandu kawalan kepada lebih banyak parameter. Talaan boleh dilakukan oleh pemandu dari dalam kabin untuk kadar tindakbalas enjin, transmisi, kerangka dan juga sistem pacuan M xDrive itu.

Sistem AWD M xDrive pada F30 ini mempunyai beberapa mod - 4WD, Sport 4WD dan 2WD, di mana yang terakhir itu lebih kepada mod drift.

BMW menggunakan litar milik mereka di Miramas, selatan Perancis untuk menghasilkan kawalan penyerap hentak pelbagai mod (Comfort, Sport dan Sport Plus) dikongsi dengan talaan M-Specific dan kawalan stereng elektrik M Servotronic bagi M5 kali ini.

Menurut majalah MotorTrend, sebanyak 270 kombinasi talaan boleh dicapai dengan M5 ini dan itu memang terlalu banyak. Untuk memudahkan pemandu mendapat akses kepada talaan kegemaran, BMW M5 ini dilengkapi dengan dua butang mod M pada sterengnya.

 

 

Butang "preset" M1 dan M2 ini boleh ditala dan diprogram agar pemandu mampu mendapat akses kepada kedua talaan kegemarannya dengan segera.

Secara logiknya, pasti F90 akan lebih agresif dari M3 itu tetapi perlu diingat, pemandu sasaran M5 ialah mereka yang lebih matang dan agresif bukan satu ciri yang mungkin mereka mahukan dengan banyak.

Oleh itu, hantaran tenaga M5 ini lebih lembut dan lebih sopan. Sistem gantungan terasa selesa dari model-model M yang dicuba sebelum ini. Memang terasa ia lebih sesuai untuk pemandu matang.

Namun begitu, ia juga memberitahu anda dengan sopan bahawa enjinnya mempunyai jauh lebih banyak tenaga dari M2 dan M3/4. Keluar dari laluan pit di Sepang, penulis terus menekan pendikit dan terasa muncung ternaik sedikit bila tayar belakang mencari cengkaman. 

 

 

Walaupun ia sebuah AWD, sistem komputer lebih banyak menghantar tenaga kepada roda belakang. Ia akan disalurkan ke roda hadapan bila perlu sahaja - contohnya bila di selekoh dan kereta sudah terlalu membuang.

Sangat menyedihkan kerana marshal di hadapan kami memandu BMW 530i, maka terasa perlahan sekali di laluan lurus di trek Formula 1 itu kerana kami tidak dibenarkan memotongnya atas dasar keselamatan. Namun begitu, di selekoh, marshal kami menunjukan skilnya dengan aksi drift yang membuatkan kami geram mengidam.

Kami terasa geram kerana tidak dibenarkan menutup butang alat kawalan DSC. Kami diminta menggunakan mod M1 di mana enjin diletakan dalam talaan paling responsif dan transmisi pada posisi kedua paling agresif sementara sistem AWD dalam mod normal.

 

 

Terasa ekor membuang sedikit tetapi dalam keadaan ini, kereta sangat mudah dipandu selaju-lajunya. Di selekoh, sistem komputer memastikan kita boleh memecut secepat mungkin keluar dari selekoh.

Selepas dua pusingan dalam mod 1, kami disuruh menjarakkan diri antara kenderaan lain dan mencuba mod M2. 

Mod M2 diprogramkan untuk Sport AWD dan M Dynamic DSC, mod paling agresif untuk transmisi dan enjin. Dalam erti kata lain, M5 terasa lebih bebas dan kami terus tersengih menyeringai.

 

 

Terasa komputer membenarkan penulis melakukan aksi 4-wheel drift pada sudut ekor yang lebih besar. Pada selekoh T4, dengan transmisi pada gear 2, ekor M5 ini sudah keluar ke kiri dan tanpa pendikit dilepaskan, tayar belakang berpusing berasap dan perlahan-lahan ekor "dibaling" ke kanan untuk selekoh 5 dan 6.

Pada selekoh 7 dan 8, penulis sendiri tidak sangka mampu melakukan drift panjang dengan mudah. Bayangkan, baru beberapa minit memandu M5 model terkini dan penulis sudah boleh melakukan drift panjang. Terlupa seketika kering tekak akibat berpuasa dan mula terasa riak tetapi penulis disedarkan kembali dengan satu fakta - memang M5 F90 ini direka untuk menjadikan pemandu biasa-biasa seperti penulis terasa seperti hero ala Tengku Djan Ley.

 

 

Apa yang berlaku ialah sistem komputer yang mengawal sistem pacuan AWD itu membenarkan tenaga dihantar banyak ke roda belakang.

Ini membolehkan aksi drift dilakukan tetapi bila sudut ekor sudah melampaui had yang dirasakan pemandu tidak lagi mampu mengawalnya dan akan "spin", komputer dengan segera mengurangkan hantaran tenaga ke roda belakang, menghantar lebih tenaga ke roda hadapan, mengawal keempat-empat brek dan merampas stereng dari pemandu untuk memastikan kenderaan tegak semula.

Jika cara masuk ke selekoh dirasakan terlalu agresif dan bakal mengundang nahas, komputer akan menjadikan M5 ini dalam posisi understeer. Hanya bila sudut stereng dan kelajuan yang betul, baharulah komputer itu membenarkan anda berlakon sedang melakukan aksi drfiting.

 

 

Ini ialah fakta paling penting di dalam M5 F90 ini. Semua orang mahu berangan ia berkebolehan membawa kereta sport dalam keadaan senget di selekoh seperti pemandu-pemandu profesional. Sayangnya, skil itu memerlukan latihan bertahun-tahun. Tengku Djan, Admi Shahrul dan Ivan Khong bukan dilahirkan terus dengan skil drift. Mereka berlumba dan berlatih selama puluhan tahun.

Jadi sekiranya anda mahu jalan singkat untuk menjadi wira drift, anda perlu BMW M5 F90 ini. Mudah bukan? Cuma anda perlu belajar menabung dari kecil dan menjadi akauntan semulajadi untuk memastikan anda mampu memiliki M5 F90 ini.

 

 

Harga M5 F90 ini mungkin bermula dari RM942,759.86 tetapi anda pasti tidak mahukan M5 anda dalam keadaan standard gaban. Oleh itu, kami di sini menyediakan senarai aksesori yang boleh anda dapatkan dari BMW Malaysia agar M5 anda kelihatan lebih laju dari yang lain.

  • Performance Pack - RM30,000
    • Pakej terdiri dari M Sport Exhaust System, penutup enjin M Carbon dan tali keledar M.
  • Advace Safety Pack - RM15,000
    • Lengkap dengan Driving Assistant Plus.
  • Entertainment Pack - RM55,000
    • Rear Seat Entertainment Professional dengan sistem bunyi Diamond Surround oleh Bowers & Wilkins.
  • Brek seramik M Carbon - RM95,000
    • Brek yang lebih sesuai sekiranya anda sering turun ke litar Sepang atau mengacah Myvi Kuning dan Neo Lowered di Ulu Yam.

 

 

M5 memang akan sentiasa berada di dalam kumpulan kenderaan legenda dunia, dan biar apa pun yang dilakukan, walau bagaimanapun ia direka, BMW sukar hendak membuat salah dengan sebuah M5. 

Ia umpama sebuah permata - diidamkan oleh semua, dimiliki oleh segelintir dan dinikmati sepuasnya oleh mereka yang bertaraf jauhari.

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Lambat laun, suka atau tidak, kita terpaksa menerima kenyataan bahawa tidak ramai yang gemar dengan…
Berita Domestik
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar bersama sebuah jentera dikejarkan ke…
Berita Global
Ia berikutan dengan pelaburan sebanyak €650 juta (RM3.3 billion) untuk memperluaskan serta menaik…