Biarpun dengan enjin bersesaran lebih kecil, namun dengan bantuan motor elektrik C 63 S E Performance ini mampu menghamburkan kuasa 671 hp dan 1,020 Nm yang ternyata jauh lebih bertenaga berbanding pesaingnya, BMW M.
Jadi, melihatkan kepada perkembangan semasa adakah BMW M akan turut mengikut jejak langkah Mercedes-AMG?
Menurut laporan CarExpert, bos BMW M Frank van Meel mengesahkan divisyen prestasi BMW itu tidak akan sekali-kali mengenepikan peranan enjin enam silinder sebaris dan nadi bentangan V8 untuk model-model akan datang.
Jelasnya, dengan meletakkan enjin bersesaran lebih kecil dan pek bateri besar bukanlah satu langkah terbaik.
"Itu bukanlah pendekatan yang kami lihat, kerana kami mahu mempunyai asas enjin yang kuat. Bagi kami, menggunakan enjin pembakaran dengan sesaran yang lebih kecil dan bateri yang besar bukanlah cara yang betul.
"Bagi kami, langkah seterusnya ialah dengan menggunakan elektrik tulen dengan segera (berbanding mengecilkan enjin). Dan ia perlu dilakukan dengan betul.
Ujarnya lagi, kehadiran model sedan C 63 AMG dengan enjin hibrid 2.0 liter itu tidak langsung menjejaskan kedudukan mereka.
"Sejujurnya, kami melihat kepada pesaing, tapi ia tidak mengubah strategi kami ke arah masa depan. Dan strategi kami amat jelas.
"Kami sangat terkenal dengan enjin enam silinder sebaris yang juga sebuah ikon, dan enjin V8 kami juga sangat popular. Jadi, kami akan cuba kekal dengan enjin tersebut selama mungkin," ujarnya lagi.
Sumber: CarExpert