Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, seorang pemandu berusia 34 tahun dan seorang lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kereta milik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri itu dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas cuba mengelak seekor binatang yang melintas.
“Ketika kejadian hujan turun renyai-renyai menyebabkan jalan licin sehingga pemandu tidak dapat mengawal kenderaannya lalu terbabas dan terbalik ke dalam longkang.
“Kita menerima laporan kejadian kemalangan itu daripada seorang pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Taufik, pemandu kenderaan tersebut telah membuat laporan mengenai kejadian kemalangan itu.
Katanya, kenderaan mewah yang mengalami kerosakan pada cermin hadapan dan beberapa bahagian lain itu juga masih disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk siasatan lanjut.
Sumber: Utusan