Blitzen-Benz kereta paling laju di dunia pada 1909, catat kelajuan lebih 200 km/j!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Blitzen-Benz
Blitzen-Benz
Pada 29 Januari 1886, Carl Benz memfailkan permohonan paten untuk kenderaan yang dikuasakan enjin dengan bahan bakar petroleum.

Pada Julai 1886, akhbar melaporkan kemunculan pertama Benz Patent Motor Car model no.1 di khalayak ramai.

Seperti biasa, manusia sukakan persaingan dan siri perlumbaan kereta dilangsungkan tidak sampai sepuluh dekad selepas kereta pertama dikeluarkan.

Berapa kelajuan pada era kebangkitan kereta berenjin? Bukan terkedek-kedek sebagai contoh kereta lumba Blitzen-Benz boleh dipandu melebihi 200 kilometer sejam (km/j)!
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Blitzen-Benz

 

Ketika peralihan kurun 19 kepada kurun 20, Benz & Cie. merupakan pengeluar kereta terbesar di dunia. Kenderaan dari Mannheim, Jerman mempunyai reputasi cemerlang.

Kenderaan Benz & Cie. dianggap bersesuaian untuk kegunaan harian iaitu boleh diharap dan mampu milik dan ciri-ciri yang dimahukan sendiri oleh Carl Benz.

Pada beliau, kereta yang dihasilkan tidak semestinya perlu menjadi terpantas dan paling berkuasa.

Bagaimanapun, disebabkan persaingan di antaranya daripada Daimler-Motoren-Gesellschaft (DMG) telah mengubah pandangan tersebut.

 

Blitzen-Benz

 

DMG memanfaatkan kejayaan di dalam perlumbaan untuk tujuan pengiklanan. Maknanya, perlumbaan dan pengiklanan sudah berusia lebih seratus tahun.

Benz mempunyai risiko kehilangan pegangan pasaran dan membuat pusingan U. Langkah seterusnya jelas iaitu kereta paling pantas di dunia mesti dikeluarkan dari Mannheim.

Bukan sahaja pantas di antara kereta tetapi juga pengangkutan lain pada masa itu termasuk kereta api dan kapal terbang.

Diterjemah kepada angka, kereta yang dihasilkan perlu berupaya mencecah 200 km/j dengan mudah.

 

Blitzen-Benz

 

Tambahan pula sudah ada kereta api yang mampu bergerak 210 km/j pada 1903 dan pada 1906 sebuah kereta stim mampu memecut 205.44 km/j.

Lebih 100 tahun lalu, para pereka menghasilkan badan kereta dengan ciri aerodinamik sebaik mungkin walaupun tanpa kemudahan terowong angin.

Bentuk Blitzen-Benz seperti sebuah cerut. Bentuk jeriji radiator membahagikan arus udara pada bahagian depan dan mengalir lancar ke bahagian belakang yang memanjang.

Pemandu menunduk di dalam kokpit. Kerusi dan tayar dibuat nipis dan langsing dan beberapa perkakasan turut mengambil kira aliran angin.

 

Blitzen-Benz

 

Kerja-kerja pembangunan kereta bermula pada awal 1909. Asalnya enjin yang digunakan diasaskan dari kereta lumba Grand Prix Benz 150 kuasa kuda (hp).

Enjin itu tidak berpadanan untuk projek dengan cita-cita besar. Sesaran enjin empat silinder itu dibesarkan kepada 21.5 liter dan memiliki berat 407 kilogram (kg).

Berapa kuasa yang dihasilkan? 200 hp pada 1,600 rpm. Empat muncung ekzos keluar dari bonet dan lambang kuasa. Tanpa penyenyap ekzos, bunyinya memang kuat. 

Gegancu besar dan rantai yang kuat menghantar kuasa kepada roda belakang. Enjin dihidupkan menggunakan tangkai engkol di depan.

Mengikut amalan penamaan model syarikat, kereta lumba itu diberi nama Benz 200 PS.

 

Blitzen-Benz

 

Usaha yang dilaburkan akhirnya berbayar apabila Benz 200 PS dipandu sehingga 205.66 km/j pada jarak setengah batu (800 meter) dan 202.648 km/j pada jarak lebih 1 kilometer.

Purata kelajuan itu dicapai oleh Victor Hémery pada 8 November 1909 di litar lumba di Brooklands.

Rekod 200 km/j pertama kali dipecahkan di Eropah dan juga yang pertama untuk enjin pembakaran dalaman.

Benz 200 PS yang digunakan di Brookland masih menggunakan badan kereta lumba GP 1908 dan litar lumba di Eropah tidak sesuai dengan kelajuannya.

 

Blitzen-Benz

 

Blitzen-Benz memerlukan laluan lurus yang sangat panjang bagi menunjukkan kemampuannya dan Benz & Cie. mengambil keputusan untuk berangkat ke Amerika Syarikat.

Pada 1910 Blitzen-Benz dihantar ke Amerika dan pemiliknya, Ernest “Ernie” Moross memanggil kereta ini sebagai Lightning-Benz atau di dalam bahasa Jerman bermaksud Blitzen-Benz.

Pada 1910, Barney Oldfield berjaya memandu sehingga kelajuan 211.97 km/j pada laluan lurus litar Daytona Beach. Benz 200 PS masih kuat memecah rekod.

Pada 23 April 1911, Robert R. “Bob” Burman dengan beberapa perubahan pada kereta berjaya mendapatkan 228.1 km/j juga di litar Daytona.

 

Blitzen-Benz

 

Kelajuan yang dicapai lebih laju berbanding kapal terbang dan mana-mana kereta atau kereta api pada masa itu.

Blitzen-Benz terus memegang rekod kereta terpantas sehingga tahun 1919. Berdasarkan rekod, hanya enam buah Blitzen-Benz dikeluarkan.

Empat masih wujud dan Muzium Mercedes-Benz memiliki sebuah yang dipamerkan di Legend Room 7: Silver Arrows – Races and Records.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Blitzen-Benz