Bateri EV bukan sekadar kuasakan kereta, Nissan Energy Share manfaatkan penggunaan tenaga secara pintar

oleh Muhammad Md Tajudin|
Nissan Energy Share
Nissan Energy Share, Nissan
Sehebat mana pun pengeluar kereta elektrik dari segi produk, teknologi dan pemasaran, Nissan tetap berada di kedudukan istimewa.

Nissan LEAF generasi pertama yang diperkenal pada 2009 merupakan kenderaan elektrik (EV) pertama di dunia yang dikeluarkan secara besar-besaran.

Di dalam kesibukan pengeluar berebut memperkenalkan EV, Nissan nampaknya tenang dengan LEAF dan Ariya sebagai wakil di peringkat antarabangsa.

Walaupun begitu, Nissan mempunyai sejumlah lagi EV yang ditawarkan mengikut pasaran sebagai contoh Sylphy, e-NV200, EV Ambulance dan Sakura.

Nissan tidak hanya memandang kepada EV semata tetapi meluaskannya sehinga merangkumi pengurusan dan penggunaan tenaga secara pintar melalui program Nissan Energy Share.

Khidmat yang dilancar di Jepun pada 1 Mac menawarkan teknologi pengurusan tenaga yang mengawal pengecasan dan nyahcas bateri EV.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Nissan LEAF NISMO 2020

Nissan telah mengkaji kaedah paling cekap dalam menguruskan tenaga melalui kajian dan ujian lapangan di beberapa lokasi seperti Namie dan Fukushima.

Kajian itu bagi mengesahkan teknologi mengecas dan nyahcas bateri EV secara bebas (autonomi) dan hasilnya diterjemah pada Nissan Energy Share.

Nissan Energy Share ditawarkan kepada syarikat, perniagaan dan majlis perbandaran dan direka bagi membolehkan penggunaan tenaga secara optimum.

Khidmat itu juga memudahkan pelanggan berdasarkan konsep semua dalam satu yang merangkumi perancangan, pembinaan sistem dan penyelenggaraan.

 

Ariya NISMO

 

Sistem pengurusan pengecasan pintar: Nadi Nissan Energy Share

Tugas bateri EV lebih daripada menguasakan kenderaan. Bateri EV merupakan unit tenaga bergerak yang mampu menguasakan bangunan dan komuniti.

Sistem Nissan Energy Share terdiri daripada:

  • Pengawal cas-nyahcas (charge-discharge controller) yang bersambung kepada unit pengecasan atau cas dan nyahcas
  • Sistem yang menjangkakan penggunaan tenaga kenderaan

Sistem mendapatkan maklumat baki tenaga EV dalam masa nyata (real-time) dan penggunaan tenaga di dalam bangunan dan menentukan masa optimum untuk cas dan nyahcas.

Teknologi tersebut membolehkan pemindahan dan penjimatan tenaga tanpa menjejaskan prestasi dan keselesaan kenderaan.

Apabila disambung kepada panel solar, pengguna boleh menggunakan terus tenaga yang dijana secara semula jadi dan menyumbang kepada nyahkarbon.

Nissan Sakura 90th Anniversary

Ciri-ciri utama Nissan Energy Share:

1. Pemindahan tenaga melalui pengecasan pintar

  • Sistem melakukan pengawalan pintar tentang masa optimum untuk mengecas EV berdasarkan pengawasan masa nyata penggunaan elektrik di dalam bangunan dan baki bateri EV
  • Penggunaan sejumlah EV tidak menjejaskan penggunaan elektrik bangunan

2. Penjimatan tenaga puncak melalui pengurusan nyahcas

  • Sistem membantu mengurangkan penggunaan kuasa puncak di dalam bangunan dengan membekal elektrik dari EV kepada bangunan apabila permintaan tenaga pada tahap tinggi
  • Pengguna dapat mengurangkan penggunaan tenaga dari grid atau penyedia tenaga dan mengurangkan bil elektrik!

3. Penggunaan tenaga boleh baharu secara cekap

  • Bangunan yang mempunyai panel solar boleh disambung kepada sistem dan membolehkan pembekalan dan penggunaan elektrik secara cekap bergantung kepada kuasa yang dijana
  • Sebagai contoh, EV dicas semasa kuasa solar dihasilkan pada waktu siang dan membekalkan tenaga elektrik kepada bangunan pada waktu malam
  • Membantu perniagaan ke arah RE100 (inisiatif korporat antarabangsa dalam tenaga boleh baharu)

 

Nissan Townstar EV Van

 

Penawaran khidmat Nissan

1. Perundingan

  • Merangkumi penyediaan keperluan, pemeriksaan arus elektrik, menyediakan panduan tentang penyelesaian dan penilaian impak sistem

2. Pemasangan/pembinaan

  • Pengesyoran perkakasan, pemilihan vendor pemasangan, persediaan sistem awal dan pengurusan kemajuan kerja

3. Penyelenggaraan

  • Merangkumi pemeriksaan berjadual, mengesan kerosakan, analisa prestasi berdasarkan pengawasan penggunaan dan cadangan penambahbaikan

 

Nissan LEAF10 Special Version

 

Selain pengeluar EV pertama secara besar-besaran, Nissan juga pengeluar kereta pertama di dunia yang melancarkan pembekalan elektrik dari kenderaan kepada kediaman (V2H).

Nissan turut menubuhkan 4R Energy Corp. bagi menggunakan semula bateri EV. 

Di dalam sukan permotoran, Nissan telah bersaing di dalam Formula E sejak musim 2018/19.

Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Nissan

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Sebaliknya, Nissan mahu menjadikan Nissan Leaf lebih serbaguna dengan menjadikannya sebagai '…