Bas moden kini lebih selamat

oleh Mohamad Hanif|
Bas kini merupakan mod pengangkutan yang popular bagi menggantikan kereta terutama ketika musim perayaan yang pelbagai di Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kerap kali kita mendengar kes-kes kemalangan jalan raya yang melibatkan bas ekspress, sehingga menimbulkan persepsi yang negatif di kalangan netizen. 

Oleh yang sedemikian, bas seharusnya memiliki ciri-ciri keselamatan yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan penumpang lebih terjamin ketika di atas jalan. 
 


Untuk mengetahui dengan lebih lanjut perihal ciri keselamatan yang sepatutnya ada pada sesebuah bas, kami berkesempatan menemuramah Ketua Bahagian Research and Development (R&D) SKS Coachbuilder Sdn Bhd, Kenny Yeoh yang lebih dikenali sebagai pemilik jenama Kenstomoto. 

Di bawah penyeliaan Kenny, bahagian RnD ini tertumpu kepada mengkaji, mereka bentuk dan membangunkan rangka badan sesebuah bas yang dilengkapi dengan ciri keselamatan yang terkini.
 


Antara isu yang menjadi kebimbangan orang ramai ialah bagaimana bas mampu menjadi sebuah mod pengangkutan yang selamat ketika berada di atas jalan. 

Merujuk kepada kes tergempar yang berlaku di dalam negara:

1. Nahas Bas Ekspress di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara Selatan Bukit Gantang - melibatkan sebuah bas terbabas ke dalam parit sedalam lima meter - bumbung bas tercabut dan menyebabkan 20 orang maut.

2. Nahas Bas Ekspress dua tingkat Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara - bas melanggar besi pembahagi jalan - meragut nyawa 10 penumpang.

Berikutan kes nahas di Bukit Gantang beberapa tahun yang lalu, pihak SKS mengambil inisiatif dengan kerjasama jabatan kerajaan seperti JPJ dan MIROS telah membuat satu ujian yang digelar roll-over test kepada bas-bas binaan SKS. 
 


Dengan jumlah pelaburan mencecah RM 2 juta, dan tiga buah bas yang 'dikorbankan', pihak SKS menerusi ujian roll-over itu telah menambah baik struktur yang terbabit sebanyak tiga kali ganda, terutamanya di bahagian bumbung bas supaya lebih kukuh untuk menampung sebarang insiden roll-over. 

SKS Coachbuilder kini menggunapakai regulasi bernombor 66 (R66) yang dikeluarkan oleh Economic Commission for Europe of the United Nations (UN ECE) di dalam menghasilkan bas-bas yang lebih selamat. 
 


Menurut Kenny, di dalam membuat rekaan sesebuah bas, aspek yang paling penting adalah menjadikan badan bas dan casis itu sendiri kuat untuk melindungi penumpang di dalam bas. 

Begitu juga dengan penggunaan bahan kaca tingkap, pihak SKS mengambil langkah selamat dengan memasang tingkap jenis kaca berlapis (safety laminated glass) untuk mengurangkan risiko serpihan kaca yang terpelanting ke arah penumpang di dalam insiden kemalangan. 

Manakala di bahagian hadapan bas, penggunaan bahan gentian kaca diperkukuh dengan rangka logam kini telah menggantikan tugas plat logam dengan tujuan untuk mengelakkan pelanggaran yang mampu membunuh pengguna jalan raya yang lain. 

"Setiap bas kami dilengkapkan dengan alat pengehad kelajuan elektronik, sistem brek anti-kunci dan retarder, alat perakam kelajuan GPS serta tali pinggang keledar bagi memastikan keselamatan para penumpang lebih terjamin ketika balik kampung," ujar Kenny. 
 


Tambah beliau, secara teorinya bas merupakan mod pengangkutan yang selamat untuk digunakan oleh semua lapisan masyarakat. 

Namun, kebanyakan faktor kemalangan yang melibatkan bas adalah berpunca daripada faktor luaran seperti kenderaan lain di atas jalan, faktor cuaca serta faktor rekaan besi penghadang jalan yang amat bahaya antara punca kematian beberapa nyawa (merujuk kepada kes bas dua tingkat) yang berlaku beberapa tahun lepas. 

Menerusi kajian demi kajian yang dilakukan, pihak SKS Coachbuilder akan terus komited untuk menghasilkan produk bas yang berkualiti untuk rakyat Malaysia.
 

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Walaupun motosikal ini ialah projek keempat beliau selepas P650R, BOBR dan MechaStallion, Ju…