Barisan jentera-jentera Formula 1 2018

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Formula 1 sudah meninggalkan Malaysia, tetapi ia masih boleh diikuti kerana teknologi yang digunakan serta kita mempunyai wakil di dalam sukan itu - Mercedes Petronas.

Satu lagi yang menarik ialah pelindung keselamatan "halo" yang diletakan pada kokpit pemandu. Ramai yang berkata ia buruk dan sememangnya, ia nampak sangat buruk. 

Di bawah ialah barisan jentera-jentera Formula 1 yang akan digunakan tahun ini. Perlumbaan pertama ialah 2018 Rolex Australian Grand Prix yang akan berlangsung pada 25 Mac ini di litar Albert Park, Melbourne.

 

 

Force India VJM11

Dipandu oleh Sergio PErez dan Esteban Ocon, pasukan Force India kembali dengan penaja utama yang sama Sahara (Sahara India Pariwar ialah sebuah kumpulan syarikat dari India yang juga pemilik pasukan F1 ini) dan BWT (Best Water Technology), syarikat penapis air dari Eropah.

Dengan warna merah jambu, tidak sukar untuk mencarinya di dalam perlumbaan itu nanti. Ia juga sempena koloborasi pasukan F1 ini dengan Breast Cancer Care, sebuah NGO dari UK berkaitan barah payudara. 

Masih menggunakan teknologi dan platform jentera 2017 dengan enjin Mercedes-Benz, perubahan dilakukan agar ia boleh digunakan untuk tahun ini.

Untuk yang tidak tahu, ada desas desus mengatakan pasukan ini akan menukar namanya agar mudah untuk mendapat penajaan.


 

 

Toro Rosso STR13

Dengan warna biru gelap berbelang merah, jentera perlumbaan Toro Rosso ini mempunyai perubahan yang besar di bahagian dalamnya.

Tahun ini, jentera Toro Rosso akan menggunakan enjin dari Honda. 

Walaupun ramai berkata enjin Formula 1 Honda tidak stabil sehingga dikatakan menjadi punca prestasi merosot oleh pasukan Mc Laren, ujian-ujian awal enjin Honda ini menunjukan peningkatan prestasi yang sa gat baik.

Kita lihat prestasi Toro Rosso ini pada perlumbaan pertama di Australia kelak.

Pemandu-pemandu pula ialah Pierre Gasly dan Brendon Hartley (pememang Le Mans).

 

 

McLaren MCL33

Kecewa dengan enjin Honda, tahun ini McLaren kembali ke persada Formula 1 dengan enjin Renault.

McLaren juga menukar warna pasukan kepada warna jingga betik dengan garisan biru tua. 

Pemandu-pemandu sama dikekalkan - Fernando Alonso dan Stoffel Vandoorne.

Jentera serba baharu luar dan dalam, ramai yang mahu melihat perubahan pada McLaren tahun ini.

 

 

Mercedes-AMG W09 EQ Power+

Gandingan pemandu Lewis Hamilton (juara tahun lalu) dan Valtteri Bottas, fokus pasukan tajaan Petronas itu untuk perlumbaan tahun ini ialah membaiki prestasi pengendalian jentera itu yang dikatakan sedikit liar.

Turut diberi perhatian ialah perubahan pada enjin untuk menurut piwaian perlumbaan tahun ini yang menghadkan jumlah komponen setiap pelumba boleh gunakan untuk setahun (tiga enjin untuk setiap pemandu dan dua sistem ERS sahaja).

Jarak antara roda juga dipanjangkan sedikit.

"Ia mungkin nampak sama tetapi di dalamnya, di sebalik badan itu, ia adalah jentera yang jauh lebih bagus," ujar Hamilton.

Bahan api yang digunakan ialah Petronas Primax dan minyak pelincir pula ialah Petronas Syntium.

 

 

Ferrari SF71-H

Dikatakan jentera paling sesuai untuk mengalahkan Mercedes Petronas dalam perlumbaan musim 2018, kereta Formula 1 Ferrari kembali kepada warna merah kesemuanya dengan sedikit panel hitam.

Jarak roda lebih panjang dan perubahan pada aerodinamik diharapkan akan memberikan penambahan prestasi semasa perlumbaan.

Pemandu ialah Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen.
 

 

Sauber C37

Mungkin pasukan paling glamour tahun ini kerana ditaja oleh Alfa Romeo (satu syarikat dengan Ferrari sebenarnya), ia menggunakan enjin yang sama dengan pasukan Ferrari tahun ini.

Pemandu untuk Sauber ialah Marcus Ericsson dan Charles Leclerc.

Pengarah teknikal Sauber, Jörg Zander berkata konse baharu ini diharapkan akan memperbaiki prestasi perlumbaan musim ini.

Sauber lebih dikenali sebagai "pusat latihan" untuk ramai pemandu Formula 1 dan juga pasukan-pasukan. 

Sauber juga menjadi rakan teknikal pertama Petronas dalam Formula 1 dan juga dalam pembuatan enjin.

 

 

Renault RS 18

Tidak begitu berbeza dari jentera sebelumnya, pasukan Renault turut membuat perubahan pada bahagian aerodinamik, hasil pemasangan bar pelindung "halo" itu. 

Pemandu Nico Hulkenberg dan Carlos Sainz Junior ini bakal menerima cabaran sengit dari pasukan McLaren yang turut menggunakan enjin yang sama.

 

 

Red Bull Racing RB14

Menggunakan enjin Renault, kereta lumba Formula 1 Red Bull Racing RB14 kali ini dikenali sebagai Aston-Martin-Red Bull Racing-TAG Heuer RB14.

"Perubahan pada aerodinamik kali ini memang besar kerana penambahan bar penghadang halo itu serta undang-undang baharu yang mengharamkan spoiler monkey seat, T-wing dan shark fin menyebabkan kami menggunakan aerodinamik baharu di bawah spoiler belakang," terang Daniel Ricciardo, pemandu Red Bull Racing bersama Max Verstappen.

 

 

Williams FW41

Antara jentera dengan warna perlumbaan yang agak seksi, pasukan Williams akan menggunakan enjin Mercedes-AMG.

Belang Martini itu memang menggamit memori jentera Porsche semasa perlumbaan Le Mans, dan tayar dengan tulisan kuning Pirelli pula nampak garang.

Pemandu ialah Lance Stroll dan Sergey Sirotkin. Sirotkin yang berasal dari Russia itu menggantikan Felipe Massa yang sudah layak mengambil wang KWSP beliau (pencen).

Robert Kubica menjadi pemandu simpanan. 

 

 

Haas VF-18

Pasukan Formula Satu dari US ini menggunakan enjin Ferrari dan seperti yang lain, menampilkan aerodinamik yang serba baharu.

Menurut Gunther Steiner, ketua pasukan, jentera 2017 sebenarnya sudah baik tetapi mereka tidak dapat menggunakan potensinya secara menyeluruh.

"Tahun ini kami menyasarkan keputusan yang lebih baik, " kata Steiner.

Pemandu pasukan ini ialah Romain Grosjean dan Kevin Magnussen.

Haas dimiliki oleh Gene Haas, tuan punya Haas Automation Inc. Ia adalah sebuah syarikat US yang membina mesin-mesin CNC (CNC machine tools). Haas Automation ialah syarikat mesin CNC terbesar di Utara Amerika.

Haas ialah pasukan Formula 1 yang pertama dari US dan ia ibupejabatnya ialah di Carolina Utara, berkongsi dengan satu lagi pasukan perlumbaan mereka untuk NASCAR, Stewart-Haas Racing.

Berita Berkenaan

Berita Global
Dia berdepan dengan 27 pertuduhan, di mana 24 daripadanya melibatkan suapan sebagai penjawat awam,…
Sukan Bermotor
Pada Khamis lalu bertempat di Hungaroring, Hawkins telah melakukan 26 pusingan dalam jentera F1…
Sukan Bermotor
Menurut laporan Daily Mail, Hamilton yang kini berusia 38 tahun itu mahu berlumba sehingga umur 43…