Bagaimana keluasan boot dikira?

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Keluasan tempat letak barang atau boot memang antara soalan popular ditanya oleh pembaca Careta bila model baharu dilancarkan.

Bagaimanakah keluasan boot dikira? Kenapa ia menggunakan liter? 

Adakah syarikat kenderaan mengisi boot dengan bergelen-gelen air untuk mengira keluasannya?

Careta bertanyakan kepada beberapa orang jurutera dan juga pakar homologasi kenderaan negara, Shahrul Nizam Bukhari dari Malaysia Automotive Institute (MAI) akan kaedah pengiraan dan juga undang-undang berkaitan spesifikasi boot.

Ada dua jenis kaedah yang digunakan untuk mengira keluasan boot kenderaan. 

 

Kaedah ukuran liter VDA 

Kaedah yang paling telus dan paling popular digunakan oleh kebanyakan pasaran di dunia (Eropah, Jepun, Korea dan juga Malaysia) ialah kaedah VDA (Persatuan Industri Automotif Jerman). 

Ia juga kemudian dimasukkan ke dalam sistem ISO dan menjadi sebahagian dari standard Jerman (DIN).

Kaedah VDA mengira keluasan boot kenderaan dengan menggunakan bongkah kayu berukuran 200 mm X 50 mm X 100 mm yang mewakili keluasan blok 1-liter.

Secara teori, jumlah keluasan mengikut kiraan VDA ialah dengan melihat sebanyak mana jumlah blok kayu 1-liter itu boleh muat ke dalam ruangan boot kenderaan itu.

Ruang-ruang di celahan blok-blok tersebut tidak dikira dan mesyarikat kenderaan menggunakan sistem simulasi komputer untuk mengira jumlah blok yang muat di dalam ruang boot itu.

 

 

Untuk genre hatcback, wagon, MPV dan SUV, di mana ruangan boot bersekali dengan kabin, kawasan tempat letak barang dikira dari lantai boot sehingga ke bahagian bawah cermin belakang. 

Penggunaan blok 1-liter dikira paling praktikal kerana ia praktikal dan boleh diadaptasi kepada semua jenis kenderaan.

Sangat sukar untuk menggunakan ukuran dari beg pakaian kerana beg datang dalam pelbagai saiz dan bentuk.

 

Kaedah ukuran m³ SAE

Kaedah ini sebenarnya digunakan di pasaran Amerika Syarikat (US) kerana ia mengikut standard SAE (Kesatuan Jurutera Automotif) dan SAE menyangkakan mereka ialah “standard dunia”.

Mungkin kerana SAE berfikiran kenderaan dari US jauh lebih berteknologi tinggi dan antara yang terbaik di dunia.

Apapun, cara kiraan SAE memberikan pengiraan kawasan boot lebih luas, dalam 20 ke 30 peratus lebih luas.

Cara pengiraan SAE J1100 ialah dengan menggunakan simulasi objek bagasi yang diberikan oleh SAE untuk memenuhi ruang boot.

 

 

Tetapi untuk SUV, MPV, hatchback dan genre di mana boot bersambung dengan kabin penumpang, cara kiraan saiz boot bergantung kepada kaedah SAE mana yang dipilih oleh syarikat kenderaan. 

Mereka boleh memilih kaedah pengiraan di mana tempat duduk ditolak ke hadapan secara maksimum, menambahkan ruang boot (tanpa ada penumpang).

Masalah dengan “standard dunia” oleh US ini ialah ia tidak telus cara kaedah yang digunapakai oleh syarikat kenderaan.

Berbanding dengan kaedah VDA di mana untuk genre MPV, SUV, hatchback dan sebagainya, tempat duduk belakang diletakan di dalam posisi biasa seperti penumpang sedang duduk.

 

 

Menurut  Mohd Shahrulnizam Sarip, Timbalan Pengurus Besar Jabatan Strategik MAI, Malaysia tidak mewajibkan ukuran boot disebut dalam spesifikasi teknikal kenderaan.

“Cuma untuk kenderaan teksi sedan dan airport lima, kerajaan mewajibkan keluasan boot minimum - 0.35m³ untuk teksi sedan dan 0.5m³ untuk airport limo,” ujar beliau yang sedang berada di Filipina sekarang ini menghadiri mesyuarat bagi pihak MAI.

Di Malaysia, kebanyakan syarikat pengeluar menggunakan sistem kiraan VDA tetapi jangan terkejut jika ada kenderaan yang mendakwa ia mempunyai saiz boot lebih besar pesaingnya  tetapi bila secara realiti, ia lebih kecil.

Careta juga akan bertanya samada saiz boot diukur mengikut VDA, atau SAE.

Semoga bermanfaat.