Badan kereta Triumph TR3S yang kosong ini sedang dibida, harga terkini cecah 5 ribu pound (RM29 ribu)

oleh Muhammad Md Tajudin|
Triumph TR3S
Triumph TR3S
Berapa anda sanggup bayar untuk sebuah badan kereta tanpa komponen lengkap?

Sebuah badan Triumph TR3S sedang dibida di laman web Car & Classic dan harganya sudah mencecah 5,000 pound (RM29,639) sebelum tamat pada 4 Julai.

Ini bukan sebuah kereta biasa, pada 1959 Triumph menghantar tiga buah TR3S untuk berlumba di dalam Le Mans dengan nombor 25, 26 dan 27.

Dua daripada model tersebut tidak lagi wujud dan unit yang sedang dibida dipercayai kereta nombor 25 berdasarkan beberapa ciri.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Triumph TR3S

 

Badan kereta yang dibida dipunyai oleh ayah pemilik sekarang dan dibeli pada 1961 bagi menggantikan Triumph TR2 1955 yang kemalangan.

Satu lagi cerita menarik, badan kereta itu dibeli pada harga rendah.

Beliau asalnya menghubungi Triumph tentang rangka badan TR2 baharu namun harganya terlalu tinggi untuk dimiliki.

Selepas membuat pencarian, beliau menemui sebuah iklan dalam majalah Motor Sport keluaran November 1961.

Iklan tersebut berbunyi "badan gentian karbon penuh, bekas Le Mans, tidak digunakan sejak itu," pada harga 70 pound sahaja. Resit pembelian masih wujud!

 

Triumph TR3S

 

Di dalam proses baik pulih, beliau mendapati ruang enjin telah dipanjangkan sebanyak enam inci, cagak enjin dianjak ke depan dan potongan berbentuk mangkuk.

Ciri-ciri tersebut membayangkan badan kereta diubah suai bagi memuatkan enjin prototaip perlumbaan Sabrina 1,985 cc DOHC dan karburetor SU.

Pada 1962, casis Triumph TR3 dipasang pada badan kereta bersama turus stereng MGB dan kereta itu sekali lagi digunakan di jalan raya.

Kisah kereta ini belum habis apabila pemilik sekali lagi menghubungi Triumph untuk mendapatkan kotak stereng asli.

Triumph mencadangkan untuk melebarkan casis dan menggunakan komponen TR4. Sekali lagi kereta ini diubah suai dan boleh dilihat sambungan dapra (fender) lebih lebar.

 

Triumph TR3S

 

Dah siap? Belum lagi. Selepas beberapa ketika, pemiliknya membuat keputusan untuk membaik pulih TR3S kepada spesifikasi asal dan dengan bantuan dua anak beliau.

Projek tersebut bagaimanapun tidak dapat disiapkan kerana kedua-dua mereka tidak mempunyai masa dan kekuatan selepas ayah mereka meninggal dunia pada 2018.

Badan kereta yang ditawarkan termasuk casis, tanpa perkakasan mekanikal (running gear), suspensi dan komponen lain.

Satu projek yang bukan sahaja memerlukan pelaburan kewangan besar tetapi kekentalan tinggi!

Penulis: Muhammad Md Tajudin