Ketinggalan tiga mata di belakang pelumba Australia, Broc Parkes menuju perlumbaan kedua, Azlan yang mewakili ONEXOX TKKR SAG Team enggan menoleh ke belakang apabila memimpin perlumbaan sejak awal sebelum melepasi garisan penamat dengan catatan 20:57.034 saat (s).
Kemenangan itu menyaksikan pelumba kelahiran Klang, Selangor itu mengumpul keseluruhan 238 mata dengan Parkes terpaksa akur menamatkan saingan keseluruhan di tangga kedua selepas mengutip 225 mata apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
Seorang lagi pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi yang menamatkan perlumbaan selaku naib juara, ketinggalan 5.175s di belakang Azlan hari ini menamatkan saingan keseluruhan di kedudukan ketiga dengan mengumpul 211 mata.
"Ia perlumbaan yang gila,” kata Azlan yang mencipta sejarah menjadi juara Asia pertama kelas Superbike 1000cc yang baru diperkenalkan di ARRC pada musim ini.
“Saya hanya memberikan 100 peratus sejak dari awal permulaan hingga akhir, tidak fikir pelumba di belakang saya. Mungkin saya melihat sekali saja, dan kemudian terus fokus dan memberikan yang terbaik sehingga saya melepasi garisan penamat.
"Ini tahun yang menakjubkan buat saya. Pasukan kami bukan pasukan utama, kami seperti pasukan satelit. Tahun ini kami bekerja keras sebagai satu pasukan. Ia amat beremosi buat saya. Kami pasukan yang biasa dan kami memenangi kejuaraan. Alhamdulillah.”
Sementara itu dalam kelas Supersport 600cc, pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin melepasi garisan penamat perlumbaan selaku juara diikuti rakan senegaranya, Adam Norrodin yang juga pemenang perlumbaan pertama semalam.
Pelumba tuan rumah, Peerapong Boonlert yang juga juara Asia kelas berkenaan melengkapkan kedudukan podium.
Sumber: Berita Harian
Terima kasih kepada Hsin Yeow atas info yang diberikan.