Asalnya datang merangkak, lama lama jadi......?

oleh |

Gunung Ledang merupakan gunung tertinggi di Johor dan terkenal dengan mitos sejarah iaitu Puteri Gunung Ledang ketika zaman kesultanan Melaka. Kini, Air Terjun Gunung Ledang merupakan salah satu destinasi pelancongan yang terkenal dan ia nya terletak di Daerah Tangkak. Ada kisah yang mengatakan bahawa asal nama Tangkak itu wujud ketika pembukaan penempatan tersebut oleh penduduk yang datang dari Chohong di Melaka. Untuk sampai ke sana, mereka perlu menyusuri sebuah anak sungai di hulu Sungai Kesang sebelum mudik ke hulu menuju ke arah Gunung Ledang, dan kemudiannya merangkak melalui akar-akar dan rotan yang menjalar di hutan berpaya. Mereka sering berulang alik ke tempat asal mereka di Chohong dan apabila ditanya dari mana mereka datang, maka dijawablah mereka datang merangkak dari sana tu. Oleh kerana sering disebut perkataan "datang merangkak" atau "tang merangkak" maka akhirnya wujudlah nama Tangkak. Begitulah konon kisahnya yang diceritakan, wallahuaklam.....

Bendera Tangkak
Bendera Tangkak

Apa pun, Tangkak mempunyai banyak tempat makan menarik yang kerap menjadi tumpuan, antaranya ikan patin Durian Chondong yang terletak di kawasan pendalaman dan tepi sungai, restoran Asam Pedas Tangkak yang terletak di perhentian bas dan teksi Tangkak, serta pelbagai lagi. Sektor tekstil juga berkembang maju dengan kehadiran banyak kedai-kedai menjual kain di bandar ini.

Perlaksanaan projek menaik taraf Jalan Muar-Tangkak-Segamat, Johor (Fasa 1: Segamat-Tangkak) Pakej 3 telah diluluskan dibawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) bagi Negeri Johor. Projek ini meliputi kerja pelebaran jalan daripada dua lorong yang sedia ada dan dinaiktaraf kepada empat lorong. la bertujuan menampung peningkatan jumlah kenderaan dan kegiatan ekonomi di kawasan luar bandar.

Masjid Jamek Tangkak

Perlaksanaan projek ini melibatkan kos pembinaan berjumlah RM134,629,116.00 dengan jarak sepanjang 10.5 km bermula dari Jementah hingga persimpangan sebelum jalan masuk ke Air Terjun Gunung Ledang. Projek ini telah dimulakan pada 1 September 2016 dan dijangka akan siap mengikut jadual pada 31 Ogos 2019. Projek pembinaan jalanraya tersebut merupakan kesinambungan Pakej 1B dan 2 yang telah siap yang juga merupakan salah satu projek infrastruktur utama Kementerian Kerja Raya.

Penduduk sekitar Tangkak yang dianggarkan seramai 136, 852 akan mendapat manfaat daripada projek pembangunan ini, kerana apabila jalan baharu ini siap sepenuhnya kelak ia akan menjadi Ialuan utama menghubungkan Segamat ke Tangkak dan tentunya dapat meningkatkan kegiatan ekonomi di kawasan tersebut. Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor tempatan iaitu Bina Mekar Sdn. Bhd, manakala pihak perunding yang telah dilantik adalah SCG Consultant Sdn. Bhd. Pihak kontraktor dan perunding adalah dibawah seliaan dan pemantauan Pegawai Penguasa (SO) Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Johor.

Add new comment

Berita Berkenaan

Uncategorized
Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) kini sedang menilai kesesuaian turapan…