Ares Panther - supercar baharu dengan ciri retractable headlight, 21 unit sahaja di dunia

oleh Mohamad Hanif|
Lampu pop-up atau lebih dikenali dengan nama retractable headlight merupakan satu ciri yang paling cool dan terbaik pernah wujud di dalam sejarah automotif dunia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Lihat sahaja model-model yang pernah menerima ciri lampu tersembunyi ini seperti Mazda RX-7 (generasi FC dan FD), Toyota Supra generasi MA60 dan JZA70, Toyota Corolla AE86 Sprinter (model Trueno) dan Lotus Esprit (sekadar menyebut beberapa jenama). 

Namun, pertama kali lampu ini muncul di dunia adalah melalui model Alfa Romeo 8C 2900A Pininfarina Berlinetta yang kini dipamerkan di Musee National de l'Automobile, Mulhouse. 

Sejak larangan penggunaan lampu jenis ini di pasaran Amerika Syarikat (tak cool la Uncle Sam ni) disebabkan perlindungan terhadap pejalan kaki yang tidak menepati syarat, kebanyakan model kenderaan masa kini tidak lagi memakai retractable headlight ini. 

 

Kini, sebuah syarikat yang diketuai oleh bekas bos Lotus, Danny Bahar dilaporkan sedang menguji supercar Ares Panther yang lengkap dengan pelekat samaran, dan turut kelihatan lampu retractable ini. 

 


Ares Panther dibina berdasarkan Lamborghini Huracan namun mengambil inspirasi reka bentuk daripada De Tomaso Pantera (kini anda tahu sebab kenapa lampu retractable wujud pada supercar ini) dengan produksi diterhadkan kepada 21 unit sahaja. 

Enjin bentangan V10 standard Huracan itu telah ditambah sesarannya daripada 5.2 liter kepada 5.6 liter yang kini dengan mudah menghasilkan 641 kuasa kuda sekurang-kurangnya dan 560 Nm daya kilas. 
 


Ares telah menala semula kadar respons throttle pada Panther ini menjadikan pengedaran kuasanya yang lebih pantas berbanding Huracan menerusi transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan. 

Menurut pengarah teknikal rekaan Ares, Matteo Vessani menjelaskan bahawa selain daripada kelajuan yang menjadi tumpuan ramai pesaing, Ares Panther akan mempunyai ngauman bunyi yang ikonik daripada enjin bentangan V10 itu. 
 


Supercar ini sudah menghampiri fasa produksi dan spesifikasi teknikal akan didedahkan kepada umum tidak lama lagi. 

Harga Ares Panther dijangka akan bermula dari €515,000 (RM2.5 juta) dan mengambil masa kira-kira 24 minggu untuk disiapkan bergantung kepada modifikasi yang diminta oleh para pelanggan. 

Berita Berkenaan

Berita Global
Masih ingatkah anda dengan Ares Panther yang kami pernah siarkan - sebuah supercar yang dibina…