Difahamkan, para pekerja perkhidmatan (rider) tersebut telah melakukan tunjuk perasaan sehingga menyebabkan GrabFood tidak dapat beroperasi seperti biasa, dan hampir kesemua restoran yang terdapat dalam talian tersebut "tutup", manakala sesetengah pesanan mengambil masa kira-kira dua jam untuk dihantar.
Menurut satu komen yang tertera di laman Facebook GrabFood, pengurangan bayaran insentif kepada rider daripada RM10 untuk satu perjalanan kepada RM5 sahaja antara yang menjadi punca mogok di kalangan para pekerja GrabFood.
Berhubung dengan isu yang berbangkit, Grab Malaysia telah menghantar respons yang menyatakan mereka sebelum ini telah menyemak kembali skim insentif yang ditawarkan kepada rider GrabFood yang bakal memberikan "manfaat" yang lebih.
Namun begitu, masalah komunikasi antara kedua belah pihak menyebabkan keadaan tersebut menjadi lebih merumitkan sehingga melumpuhkan sementara operasi GrabFood.
Pihak Grab kini sedang mencuba pendekatan yang baharu supaya rider GrabFood lebih memahami apa yang berlaku dengan skim insentif yang telah disemak semula itu dan memohon maaf kepada semua pengguna aplikasi GrabFood atas kesulitan yang mereka hadapi.
GrabFood juga sedang menyusun semula perancangan untuk memulangkan kembali bayaran kepada mana-mana pelanggan yang terjejas akibat insiden berkenaan.
Sumber: Lowyat.net