Anthony Loke - Kerajaan tiada cadangan bina lapangan terbang baharu di Sabah

oleh Penyumbang Rencana|
Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
Kerajaan Persekutuan tiada cadangan untuk membina lapangan terbang baharu di Sabah setakat ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Sebaliknya, beliau berkata perancangan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada masa ini ialah mencari kaedah untuk mengoptimumkan sepenuhnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) memandangkan pembinaan baharu melibatkan peruntukan besar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Cadangan untuk pembinaan lapangan terbang baharu di Sabah itu ia jauh dari Kota Kinabalu, saya rasa 40 hingga 50 kilometer dari Kota Kinabalu.

" ... yang ada di Kota Kinabalu (KKIA) ketika ini agak strategik sebab dekat dengan pusat bandar raya tapi kekangannya ialah bagaimana kita lihat terminal dan landasan itu boleh dipanjangkan atau diperbesar dan (mencari cara) untuk optimumkan semula Terminal 2 KKIA, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Isnin, bagi menjawab celahan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) sama ada terdapat cadangan untuk membina lapangan terbang baharu di negeri berkenaan.

Loke berkata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga mempertimbangkan cadangan menaik taraf Terminal 1 KKIA untuk membolehkan pengendalian penumpang ditingkatkan daripada 9 juta penumpang kepada 12 juta penumpang setahun bagi mengatasi isu kesesakan.

Sebelum ini, media melaporkan pembinaan lapangan terbang baharu Sabah di Kimanis akan mengambil masa tiga hingga lima tahun sebaik kerajaan negeri meluluskan pemindahan semula KKIA ke satu lokasi di utara Sabah.

Dilaporkan, Qhazanah Sabah Bhd (QSB), cabang pelaburan strategik kerajaan Sabah, juga menjangkakan pemindahan KKIA akan dimulakan pada 2030, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi rakyat di negeri itu.

Dalam pada itu, Loke berkata inisiatif FLYsiswa iaitu bantuan subsidi tiket penerbangan untuk pelajar yang layak bagi perjalanan ke Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan akan diteruskan pada tahun hadapan dan dijangka memberi manfaat kepada hampir 60,000 pelajar.

Berhubung cadangan Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman supaya frekuensi penerbangan ke pulau bebas cukai itu ditambah, beliau berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan mengadakan perbincangan bersama syarikat penerbangan termasuk Batik Airlines untuk menambah penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Labuan.

Sebagai respons kepada cadangan supaya diwujudkan penerbangan antarabangsa terus ke Sandakan, Sabah, Loke berkata MOT tiada masalah untuk mengadakan penerbangan terus ke mana-mana lapangan terbang kerana negara mengamalkan dasar langit terbuka.

"Mana-mana lapangan terbang yang mampu menerima pesawat-pesawat komersial boleh terus dapatkan penerbangan berkenaan. Perkara ini merupakan keputusan komersial syarikat penerbangan sekiranya terdapat permintaan," katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, operasi itu dilaksanakan hasil…