Ah Long bakar kereta, simbah cat merah, empat suspek ditahan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Astro Awani
Polis menahan empat suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan mengugut peminjam wang untuk menuntut bayaran hutang dengan membakar kenderaan dan menyimbah cat merah di beberapa rumah di Pulau Pinang.


Kesemua suspek masing-masing dua lelaki dan dua wanita berusia antara 22 hingga 33 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di Tambun, Ipoh dan Ulu Kinta, Perak pada 4 Mei dan 6 Mei lepas.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

 

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima tiga aduan mengenai kejadian kereta dibakar di Bukit Tengah dan di Air Itam di George Town disyaki perbuatan khianat 30 April lepas.

"Hasil siasatan mendapati kejadian disyaki dilakukan sindiket Ah Long dari negara jiran yang mahu menuntut hutang daripada mangsa.

"Jadi sindiket ini hubungi peminjam lain yang masih berhutang untuk lakukan jenayah ini (bagi pihak mereka)... mereka telah 'direkrut' untuk melakukan jenayah terbabit.

"Kadar upah untuk mereka akan ditentukan melalui kerja yang dilakukan, sekiranya berjaya membakar kereta milik peminjam, upah RM700 akan diberikan kepada mereka," katanya pada sidang media pada Isnin.

Beliau berkata sindiket mula beroperasi sejak pertengahan Mac tahun ini menumpukan mangsa di sekitar negeri utara tanah air iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Dengan kejayaan tangkapan tersebut suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes di Pulau Pinang, dan masing- masing dua kes di Perak dan Kedah.

Semakan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Mohd Shuhaily berkata, tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 4 Mei sehingga 10 Mei, manakala seorang lagi suspek direman empat hari bermula 7 Mei sehingga 10 Mei bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut seksyen 5 ( 2) Akta Pemberi Pinjam Wang ( APPW) 1951 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

 

 

- ah long bukan tolong tapi polong -

Astro Awani