Menurut laporan daripada rakan media Wapcar, ini merupakan versi yang lebih jelas dan lebih terperinci, memperlihatkan beberapa perubahan menarik yang dibawakan pada Iriz versi crossover ini.
Antara perubahan yang ketara adalah penampilan bampar hadapan dengan rekaan yang lebih agresif, diikuti dengan trim perak/hitam berkilat, serta perumah lampu nyalaan siang serba baharu.
Di bahagian sisi, keempat-empat arca roda kini menampilkan pemasangan cladding plastik yang agak tebal, diikuti dengan rim besaiz 16 inci dua tona, skirt sisi dengan kemasan krom diikuti dengan pemasangan rel bumbung, mencukupkan syarat sebagai sebuah 'crossover'.
Tidak seperti gambar terdahulu yang agak kabur, gambar terbaharu kali ini jelas menunjukkan bentuk sebenar papan pemuka Iriz serba baharu dengan kemasan warna merah, skrin inforhibur jenis terapung serta kawalan pendingin hawa jenis digital.
Nantikan sahaja informasi lanjut menjelang pelancaran rasmi kembar Iriz dan Persona MC2, serta tidak ketinggalan Iriz Active yang bakal menceriakan segmen kenderaan ala-ala crossover ini.
Sumber: Wapcar