8 perkara anda perlu tahu akan Civic Type-R baharu

oleh HEZERI SAMSURI|

Umum mengetahui Honda sudah pun melancarkan Civic Type-R terbaharu.

Walaupun kami tidak dapat memandu ujinya lagi, rakan kami di TopGear UK berkongsi akan lapan perkara yang kita perlu tahu berkenaan Civic Type-R baharu itu.

 

Civic Type R Careta 1

 

1. Ia lebih kukuh

Honda Civic Type-R generasi terkini mempunyai kerangka yang 38 peratus lebih keras dari yang terdahulu. 
Chasis baharu bukan sahaja menggunakan teknik rivet sebagai penyambung, tetapi teknik gam perekat seperti yang digunakan oleh Lotus dalam membantu memastikan kerangka lebih kukuh dan tidak mudah meliuk semasa pengambilan selekoh dalam kelajuan ektrem.

 

Civic Type R Careta 3

 

2. Enjin turbo lebih bertenaga

Jika dahulu Civic Type-R bermain dalam julat kuasa 220 hp, kali ini, enjin 4-silinder dengan pengecas turbo menghasilkan 316 hp dan 400 Nm.

Wastegate dikawal secara elektronik dan injap ekzos mempunyai elemen sodium di dalamnya bagi membantu ketahanan enjin dari masalah “knocking” dan manifold ekzos pula dipasang dengan “water jacket” untuk menurunkan suhu.

Sistem ekzos turut dipasang dengan sistem Variable Valve Lift Mechanism (seperti teknologi injap VTEC) untuk melancarkan aliran gas keluar dan merendahkan back-pressure di samping menyumbang 10 hp lagi kepada Civic Type-R.

 

Civic Type R Careta 2

 

3. Ia ada TIGA lubang ekzos

Yang ini pernah dbincangkan di mana lubang ketiga (yang kecil, di tengah) digunakan untuk merendahkan masalah bunyi booming ketika kelajuan rendah dan posisi pendikit kecil (mengurangkan bunyi deruman ketika memandu pada kelajuan 110 - 130 kmsj di lebuhraya contohnya).

Kami pernah memandu uji Civic Type R terdahulu dan sememangnya ia sangat menyeksakan untuk memandunya di atas lebuhraya kerana pada kelajuan 120 kmsj, enjin sudah berputar pada RPM tinggi dan deruman dari ekzos membingitkan telinga.

 

Civic Type R Careta 4

 

4. Dual Axis Strut untuk atasi masalah torque steer

Kepada mereka yang pernah memandu Iswara atau Wira/Putra/Satria/Arena/sekepala dengannya yang dimasukkan enjin 4G63 turbo atau enjin lain yang berkuasa pasti faham masalah torque steer di mana bila pendikit dibuka dan kereta seperti mahu menarik ke kiri atau ke kanan.

Ini ialah masalah normal untuk kereta Front-Wheel Drive (FWD) dengan enjin berkuasa tinggi, malah Mazda3 MPS pun mempunyai masalah ini.

Untuk memastikan torque steer dikurangkan atau dibuang terus, Honda menggunakan teknologi gantungan hadapan Dual Axis Strut di mana steering kunckle dan pegas stereng roda hadapan diasingkan. 

Ini menyebabkan fungsi stering diasingkan terus dari beban sistem gantungan agar keduanya boleh beroperasi dalam keadaan terbaik.

 

Civic Type R Careta 5

 

5. Sistem gantungan lebih selesa

Sistem gantungan belakang ditukar dari torsion beam kepada jenis fully independent, multi-link.

Sistem torsion beam lama memang baik, cuma ia terlalu keras dan tidak selesa untuk penumpang belakang. Sistem multi-link memberikan imbangan yang terbaik antara penegndalian dan keselesaan.

Civic Type-R terbaharu mempunyai tiga jenis setting untuk sistem gantungan - Comfort, Sport dan +R. Mod +R mengubah bukan sahaja penyerap hentak Civic Type-R baharu tetapi turut mengubah setting stering dan respon pendikit.

Mod Sport ialah setting default. 

 

Civic Type R Careta 6

 

6. Vortex Generators untuk spoiler belakang

Ingat bulu-bulu janggut pada bahagian atas cermin belakang Evo 10 yang kemudian dijual di kedai aksesori untuk dipasang pada semua jenis Waja, Wira, Iswara, Saga bikin?

Itu adalah Vortex Generator yang membantu laluan udara untuk dihalakan kepada spoiler belakang dan memberikan tekanan ke bawah.

Bila kenderaan “ditekan” oleh udara ke bawah, ia lebih stabil di selekoh-selekoh berkelajuan tinggi.

Dan Civic Type-R turut mempunyai Vortex Generators dan spoiler belakang ala tiang-gol yang pasti membuatkan peminat-peminat kepak terkinja-kinja keriangan.

 

Civic Type R Careta 7

 

7. Ia bukan Hibrid!

Menurut Honda Jepun, Civic Type-R tidak diberikan teknologi hibrid kerana ia terlalu mahal dan terlalu rumit.

Namun begitu, untuk memastikan penggunaan bahan api adalah lebih rendah, Civic Type-R ini dibina agar lebih ringan - 1,380 kg (kerb).

Ringan bukan? 

Kerana itu ia mampu melakukan satu pusingan di Nurburgring dalam 7 minit 43.8 saat dan ia adalah raja Nurburgring terkini dalam kategori Front Wheel Drive.

Kepada peminat Volkswagen, jangan terlalu kecewa kerana Golf R anda mungkin boleh pergi lebih laju jika diikat dengan dua roket JATO di kiri dan kanan.

 

Civic Type R Careta 8

 

8. Dibuat di UK, tetapi enjin dari US dan dilancarkan di Geneva.

Honda kali ini membina Civic Type-R di kilang mereka di Swindon, UK tetapi enjinnya dibina di kilang Honda di Ohio, US. Ia kemudian dilancarkan di Geneva pada bukan Mac lalu. 

Civic Type-R untuk pasaran Jepun sendiri akan datang dari UK. Itulah maksud sebuah syarikat kenderaan global.

 

Civic Type R Careta 9

 

Adakah Honda Malaysia akan membawa masuk model ini?

Honda Malaysia telah menghantar beberapa wakil media tempatan untuk memandu uji kenderaan itu di luar negara, dan itu pada hemat Careta cukup kuat untuk membuktikan ia akan datang ke sini.

Bila?

Anggaran kami, paling awal ialah pada suku pertama tahun hadapan.

Add new comment

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Street cub sudah menjadi kebiasaan sekarang ini dan bila kita sebut street cub, imej Honda C70…
Berita Domestik
Dua hari lalu Careta menjemput para pembaca untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan produk…
Berita Domestik
Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) terus melangkah bagi menguasai semula pasaran motosikal dengan…