20 fakta tentang Urus - Lamborghini yang anda boleh pandu ke dusun

oleh HEZERI SAMSURI|
Kawasaki Legend Reborn

 

Akhirnya, setelah bertahun di dalam ruangan gossip, Lamborghini Urus (sebutannya Iu - Rus) dilancarkan semalam.

Duduk segak dengan badan yang lebih lima meter panjang dengan enjin 4.0 Liter V8 twin-turbo menghasilkan 650 hp, rekabentuk Urus ini seperti sebuah SUV Audi atau Volkswagen, cuma dengan garisan dan rekabentuk lampu yang lebih garang.

Di bawah ialah 20 fakta yang anda perlu tahu akan super SUV pertama dunia ini.

 

SUV pertama Lamborghini, LM002 pernah muncul dalam tahun 80-an, menggunakan enjin V12 dari Countach dan lebih ke arah rekabentuk kenderaan tentera. 

LM002 masih menjadi sebuah kenderaan “rare” dan dimiliki hanya oleh pengumpul koleksi kenderaan.

Model Urus ini pula lebih ke arah menjadikan Lamborghini seperti Bentley, yang muncul dengan SUV Bentayga. 

Maserati juga sudah muncul dengan SUV sendiri, Levante, dan yang tinggal mungkin Rolls Royce (juga akan ada, khabarnya) dan Ferrari (mungkin tiada langsung).

 

Lamborghini Urus bakal menandingi Bentayga dan bapa segala SUV mewah, Range Rover. Cuma Urus ini nyata lebih pantas.

  • Pecutan 0-100 kmsj dilakukan dalam 3.6 saat.
  • Pecutan 0 - 200 kmsj dilakukan dalam 12.8 saat.
  • Halaju maksimum punya “hanya” 304 kmsj.


Ia cukup pantas dan cukup laju untuk masuk ke kumpulan elite milik supercars dan menjadikan ia SUV terlaju di dunia (Bentley Bentayga mempunyai halaju maksimum 301 kmsj).

Untuk enjin, pasti ramai tertanya apakah enjin Urus ini kerana selama ini, Lamborghini hanya menggunakan enjin tanpa turbo (n/a).

Untuk Urus, syarikat supercar Itali milik Kumpulan Volkswagen ini menggunakan enjin 4.0-liter V8 serba baharu, dengan dua turbo charger yang diletakkan hampir dengan kebuk pembakaran untuk merendahkan pusat graviti keseluruhan kenderaan.

Dua unit turbo dengan twin-scroller ini turut membantu merendahkan “lag” dan membantu kelancaran tenaga semasa RPM rendah.

Kedudukan enjin sendiri diletakkan jauh ke bawah agar Urus mampu dikendalikan seperti sebuah kereta sport.

Lamborghini berkata enjin 4.0L ini hanya untuk kepada Urus sahaja dan tidak dikongsi oleh Audi atau Bentley. 

 

Platform pula memang dikongsi bersama Audi Q7, Bentley Bentayga, Porsche Cayenne dan Volkswagen Touareg.

Sistem pacuan empat roda (AWD) bukan satu perkara baharu untuk Lamborghini, walaupun sitem AWD untuk jenama ini lebih kepada pemanduan atas jalanraya dan bukan untuk offroad.

Untuk SUV Urus, ia mempunyai differential tengah yang mampu dikunci secara automatik, memberikan agihan tork atau daya kilas sebanyak 40/60 hadapan dan belakang.

Sebanyak 87 peratus tenaga pula boleh dialirkan ke roda belakang, sekiranya anda terasa hendak sedikit rasa seperti kereta sport.

 

Turut wujud ialah teknologi torque vectoring yang terbukti mampu mengawal kenderaan dari terbabas bila pendikit dibuka luas di selekoh. Pendek kata, torque vectoring membuatkan pemandu biasa-biasa seperti kami terasa seperti seorang pelumba profesional.

Ada enam mod pemanduan yang disediakan oleh Urus melalui sistem kawalan yang dipgelar Tamburo (ya, suis pun ada nama bagi Lamborghini).

  • Strada (jalan biasa)
  • Terra (off-road)
  • Neve (salji)
  • Sport (sporty)
  • Corsa (sporty, tetapi dengan lebih drift angle)
  • Sabbia (bukit pasir)

Untuk membantu pemanduan di tempat yang sempit seperti di kawasan parkir atau dipandu naik ke tingkat parkir kondo teman wanita, Urus menggunakan teknologi Rear Axle Steering di mana roda belakang turut membelok sedikit, melawan arah belokan roda hadapan. 

Ini membantu memberikan kadar pusingan U-Turn yang lebih kecil dan menjadikan Urus sangat mudah diuruskan pada kelajuan rendah.

 

Urus turut mempunyai sistem bantuan pemanduan untuk halaju perlahan, di mana komputer akan mengawal brek dan stering (belum lagi mencapai kebolehan pemanduan autonomi, tetapi untuk Lamborghini, ini sudah cukup wow).

Harga yang dikhabarkan di US ialah bermula dari US$200,000. 

Bila ditukar kepada RM, ia cuma dalam RM800,000 tetapi percayalah, walaupun di US, harga yang akan dibayar jauh lebih tinggi dari itu kerana di US juga akan ada cukai kenderaan mewah (di Malaysia, kereta mewah tiada cukai tambahan kerana kita kasihankan orang kaya) dan di US juga, spesifikasi yang dijual selalunya jauh lebih tinggi dan itu adalah kos tambahan yang sangat tinggi.

Lamborghini Kuala Lumpur memang akan membawa masuk Urus ini. Untuk yang berminat, jangan lupa hubungi mereka! 

*gambar dari NetCarShow

Add new comment

banner articles

Berita Berkenaan

Berita Global
Rekaan luaran Aventador SVJ ini merupakan antara yang paling ektrem pernah wujud pada sebuah…
Berita Global
"Status Ducati sebagai ikon motosikal sahaja di dalam Kumpulan Volkswagen tidak mencukupi," ujar…
Berita Global
Tidak ramai yang mengetahui bahawa jenama Itali ini juga pernah suatu ketika dijual kepada syarikat…