10 ribu tempahan Nissan LEAF dalam masa 2 bulan di Eropah!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Jika anda biasa mengikuti perkembangan terkini kenderaan elektrik (EV), berita yang selalu dihidangkan ialah tentang satu jenama dari Amerika Syarikat iaitu Tesla. Syarikat ini begitu berjaya mencipta 'hype' untuk produknya sama seperti satu lagi produk AS iaitu Apple.

Dari apa yang dibaca, pemberitaan tentang kenderaan Tesla begitu besar sehingga seolah-olah di dunia ini hanya wujud satu sahaja syarikat yang mengeluarkan EV.

Bukan setakat teknologi EV tetapi berita tentang teknologi pemanduan autonomi Tesla juga besar seolah-olah pengeluar kenderaan lain tidak mempunyai teknologi dan buta mengenai perkembangan ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Di sebalik pendedahan mega yang diberikan kepada Tesla, pengeluar dari Jepun iaitu Nissan adalah syarikat pertama yang berjaya mengeluarkan EV melalui produksi massa atau pada skala besar.

Malah tidak salah untuk dikatakan bahawa Nissan adalah peneraju global dalam bidang EV. 

Imbas kembali pada tahun 2010, apabila generasi pertama LEAF diperkenalkan di Eropah, kebanyakan pengeluar lain skeptikal terhadap inovasi Nissan ini. Mereka terus memberikan fokus kepada penambah baikan enjin pembakaran dalaman.

 

NIssan LEAF NISMO Concept

 

Dan lapan tahun selepas itu teknologi EV yang diterajui oleh Nissan semakin diperakui apabila sudah ramai yang sedar mengenainya dan ini boleh dilihat melalui lima kali ganda permintaan EV sejak tahun 2012.

Bukan sahaja diperakui oleh pembeli tetapi juga pengeluar apabila kebanyakan jenama telah membangunkan EV generasi pertama mereka.

Cubaan Nissan lama dahulu juga memberi kelebihan apabila LEAF baharu dibangunkan dari maklumbalas dan pengalaman dari 83,000 pemilik model itu.

Nissan LEAF generasi kedua ternyata popular dan mendapat sambutan hangat apabila menerima 10,000 tempahan pelanggan di Eropah dalam masa dua bulan selepas dilancarkan pada Oktober 2017. 

 

NIssan LEAF NISMO Concept

 

Nissan menjangkakan tempahan akan terus meningkat apabila LEAF mula tiba di bilik pameran bermula Februari 2018. Kejayaan ini tidak datang begitu sahaja kerana pada tahun 2010, sambutan LEAF biasa-biasa sahaja memandangkan pada waktu itu teknologi EV masih belum terbukti.

Sejak dipertontonkan secara rasmi buat pertama kali iaitu di Jepun pada bulan September, minat dari pasaran Eropah terhadap model ini semakin positif. Pada awal bulan Oktober, spesifikasi dan harga pra jualan telah diumumkan pada acara Nissan Futures 3.0 di Oslo, Norway di mana pelanggan sudah boleh menempah model ini.

Selain itu, minat LEAF terhadap model ini turut didorong oleh liputan media yang positif. LEAF mendapat pujian berdasarkan senarai inovasi dan teknologi baharu yang ditawarkan seperti teknologi bantuan pemanduan Nissan ProPILOT dan Nissan e-Pedal yang membolehkan pemandu mengurangkan penggunaan pedal brek sehingga 90 peratus.

 

NIssan LEAF NISMO Concept

 

Satu lagi fakta menarik ialah, 10,000 tempahan yang diterima tersebut dibuat sebelum pelanggan memandu uji memandangkan unit produksi belum tersedia di bilik pameran dan juga tanpa promosi dan pengiklanan secara langsung kepada konsumer.

Nissan LEAF mula dikeluarkan pada awal bulan ini di Kilang Nissan di Sunderland, UK dan nampaknya produksi perlu dipertingkatkan bagi memenuhi tempahan pelanggan.

Penghantaran pertama LEAF akan bermula pada awal Februari 2018.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Nissan Elgrand AUTECH 2024   Nissan sekali mengemaskini Elgrand dan mula dijual di Jepun pada…
Berita Global
  Kicks lebih tenang namun tetap bergaya selain canggih dengan teknologi e-POWER.  Tidak dibawa…
Berita Global
Menurut laporan Nikkei Asia, Nissan mahu bergerak ke arah penghasilan tren kuasa umum untuk EV,…