Uncategorized

Kawasaki KLX 150L- Pembuka jalan

on

Di sebalik kegilaan peminat motosikal terhadap model-model jalanan berkuasa tinggi yang semakin meningkat kini, jentera ‘offroad’ juga masih mempunyai pengikut yang agak ramai. Penulis hanya menyedari perkara ini setelah turun sendiri ke beberapa acara perlumbaan ‘offroad’ di sekitar Malaysia.

Jentera ‘offroad’ ini sendiri mempunyai banyak kategori, tetapi yang paling utama adalah ‘trail/enduro’ dan ‘motocross’. Selain masih mempunyai model seperti KX250F dan KX450F yang terletak dalam kategori ‘motocross’, Kawasaki Motors Malaysia (KMM) Sdn Bhd memperkenalkan model ‘trail/enduro’ Kawasaki KLX 150L Ogos lalu sebagai pengganti model sebelumnya.

Model ini dilengkapi dengan semua lampu, bermakna ia boleh didaftar dan digunakan di atas jalan raya biasa sama seperti motosikal lain manakala kelengkapan yang ada juga memberikan lebih kepelbagaian kepada penunggang.

2016-Honda-Accord-2-e1437692943248-630x298

Tunggangan mudah di jalan bertar

Untuk penggunaan di atas jalan tar biasa, ciri tunggangan yang diberikan oleh Kawasaki KLX 150L masih baik dan tidak memberi banyak kekurangan berbanding kebanyakan moped yang ada di atas jalan raya. Dari aspek kelajuan, ia mampu memecut sehingga boleh menyebabkan anda menerima saman manakala tayar ‘serba guna’ yang disediakan, walaupun tidak sehebat tayar jalanan biasa, masih memberi cengkaman yang boleh diterima.

Cuma untuk kegunaan harian, penulis mendapati hanya ketiadaan satu fungsi sahaja yang sedikit menyukarkan iaitu lampu penunjuk tahap minyak. Setiap kali ingin memulakan perjalanan, penulis sentiasa perlu membuka penutup tangki dan memeriksa tahap minyak di dalamnya. Walaubagaimanapun, sekiranya anda terlupa dan motosikal mula semput kerana kehabisan minyak, suis ‘reserve’ disediakan dan anda masih mempunyai baki sekitar 20km (setakat yang dicuba penulis) untuk mencari stesen minyak berdekatan.

Idea motosikal seperti Kawasaki KLX 150L ini adalah untuk kepelbagaian guna dan apabila perlu, sama ada untuk melaksanakan tugas, beriadah mahupun sekadar suka-suka, ia boleh dibawa ke jalan-jalan kasar (offroad).

Prestasi dan kuasa

Walaupun kuasa enjin 144cc ini lebih lembut dan tidak begitu mengujakan seperti motosikal yang berkapasiti lebih besar, kemampuan Kawasaki KLX 150L tidak boleh dipandang rendah kerana ia mempunyai kelebihan berdasarkan badan yang lebih ringan dan pengendalian yang lebih mudah.

Dari pengalaman penulis memasuki denai di Puncak Alam dan Bukit Ramli, boleh melepasi laluan mencabar yang ada termasuk bukit tinggi sambil lewa sahaja. Satu perkara yang pasti adalah anda perlu memulas pendikit sehingga habis sepenuhnya.

Selain itu, naik taraf baharu yang diberikan kepada Kawasaki KLX 150L iaitu rim berdiameter lebih besar (21 inci) di hadapan dan lengan ayun lebih panjang berbanding model sebelumnya juga membantu ia lebih hebat untuk menghadapi cabaran lasak seperti yang dialami oleh penulis semasa mencuba litar enduro di Rawang.

Dengan adanya rim yang lebih besar ini, laluan seperti sungai dan lumpur dapat dilalui dengan lebih yakin. Cuma, jika keadaannya keterlaluan akibat hujan dan lumpurnya boleh membuat anda tenggelam sehingga hampir ke lutut, tayar khas ‘offroad’ adalah lebih sesuai.

Bagi mereka yang baru ingin menjinakkan diri dalam tunggangan ‘offroad’ dan mencari penjelejahan baharu, motosikal ini sememangnya sesuai dan serba boleh. Sementara bagi yang lebih berpengalaman, penulis juga ada mengenali seorang penunggang yang memiliki motosikal ‘motocross’ 250cc dan 450cc yang masih tertarik dengan Kawasaki KLX 150L kerana ia lebih mudah dikendalikan dan tidak memenatkan untuk tunggangan santai hujung minggu di dalam belantara.

SPESIFIKASI – Kawasaki KLX 150L

Enjin: 144cc, satu silinder, empat strok, SOHC, 8 injap, penyejukan udara, karburetor

Transmisi: Lima kelajuan, klac basah

Kuasa maksimum: 12hp @ 8,000rpm

Tork maksimum: 11.3Nm @ 6,500rpm

Berat: 115kg

Kapasiti tangki: 7 liter

Brek hadapan: cakera 240mm, angkup dua piston

Brek belakang: cakera 190mm, angkup satu piston

Suspensi hadapan: Fork teleskopik 33mm

Suspensi belakang: Uni-Trak, pelarasan lima tahap pra-beban

Harga: RM9,389

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *