Apa Kata Chips?

Proton vs Perodua

on

Saya kenal kedua-dua syarikat nasional ini sejak mereka dilahirkan, dan saya lihat sendiri bagaimana mereka “membesar”. Kedua-duanya mempunyai halatuju mereka yang tersendiri – Proton mendapat bantuan dan pelaburan dari kerajaan sementara adiknya Perodua lebih merupakan sebuah konglomerat perniagaan antara syarikat-syarikat tempatan dengan Daihatsu Motor dari Jepun.

Proton mempunyai rakan teknikalnya sendiri, iaitu Mitsubishi Motors, untuk dijadikan sumber teknologi dan ilmu pengetahuan supaya proses Proton untuk menjadi sebuah pengilang kenderaan dapat dilakukan dengan segera.

Sebelum Proton mempunyai kemampuan untuk membina keseluruhan kereta, produk-produk terawalnya seperti Saga, Wira dan Perdana memang diambil dari model-model Mitsubishi sedia ada. Harus difahamkan bahawa untuk menjadi sebuah syarikat yang mampu menghasilkan kenderaan, liku-likunya tidak sama seperti seorang pelajar pergi ke universiti dan selepas lima tahun, keluar dengan segulung ijazah sambil mendabik dada yang membuak dengan ilmu.

Itu pun, bukan semua graduan mampu keluar dan terus berjaya. Pengalaman dan pembelajaran berterusan sangat diperlukan untuk menghasilkan tenaga kerja profesional.
Konsep yang sama boleh diaplikasikan pada perniagaan. Jarang ada syarikat yang terus muncul berjaya dalam beberapa tahun – kecuali ia diberi hak-hak istimewa dan bantuan.

Dalam kes Perodua, ia menerima nasihat dan teknologi dari Daihatsu, dan seperti Proton, produk-produk Jepun digunakan untuk dijadikan kenderaan nasional yang dibina di dalam negara. Bezanya, tidak seperti Proton, Perodua tidak begitu “dipaksa” untuk belajar berdikari.

Pada pandangan saya, Perodua diarahkan oleh rakan kongsi mereka dari Jepun untuk belajar ilmu pembuatan kenderaan dari Daihatsu dan beri tumpuan kepada kualiti sebelum ia mula berangan untuk mereka kereta sendiri.

Orang Jepun percaya sekiranya produk itu berkualiti, pelanggan bukan sahaja akan terus berlanggan tetapi akan menyarankan rakan-rakan atau ahli keluarga mereka untuk membeli produk tersebut.

Sebenarnya orang Jepun sendiri pernah mengalaminya. Dalam tahun 60-an, produk-produk Jepun dikatakan murah dan tidak berkualiti. Malah pernah dikhabarkan bahawa badan kereta buatan Jepun sebenarnya dibuat dari tin Milo!

Bermula dari itu, syarikat-syarikat dari Jepun gigih untuk memperbaiki kenderaan mereka dan sekarang, produk keluaran negara matahari terbit itu sangat dihormati dan mampu dijual mahal.

Satu lagi tabiat orang Jepun ialah mereka tidak akan benarkan anda maju ke pelajaran seterusnya selagi anda tidak mahir dengan peringkat sekarang. Mereka akan pastikan anda benar-benar faham dan tahu dengan apa yang dipelajari sebelum meneruskan proses pembelajaran berikutnya.

Mungkin kerana tabiat semulajadi orang Jepun itu yang menjadikan proses pembelajaran Perodua sangat perlahan, berbanding dengan Proton yang sudah mampu berbangga dengan gelaran “pembuat kenderaan bertaraf dunia” selepas 15 tahun diwujudkan.

Perodua Myvi dieksport ke Indonesia sebagai Daihatsu Sirion.

Perodua Myvi dieksport ke Indonesia sebagai Daihatsu Sirion.

Saya kira sehingga hari ini Perodua masih tidak akan mengaku kejayaannya walaupun secara hakikat kilangnya sudah boleh menghasilkan model Myvi dan dieksport keluar sebagai Daihatsu Sirion. Sebenarnya, itu adalah satu kejayaan besar kerana Daihatsu, atau mana-mana syarikat Jepun tidak akan meletakkan jenama mereka pada sebuah produk yang tidak berkualiti. Malah tidak keterlaluan jika gelaran “bertaraf dunia” itu diberikan kepada Perodua juga, walaupun kemungkinan besar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua sendiri, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh tidak akan berkata begitu.

Seperti yang kita lihat, Perodua sudah mengatasi Proton sebagai jenama kenderaan nombor satu di Malaysia sejak tahun 2005 sehingga sekarang. Ada pihak yang cemburu dan mengutuk Perodua, kononnya ia bukan sebuah syarikat milik Malaysia dan ia cuma “sebuah syarikat Jepun”. Ada yang berkata Perodua diuruskan oleh orang Jepun dan tidak sepatutnya diberi sebarang keistimewaan yang diterima oleh Proton.

Pada pendapat saya, tuduhan dan kecaman begitu adalah tidak adil.

Pertamanya, Daihatsu tidak mempunyai pegangan ke atas keseluruhan syarikat Perodua dan jika dilihat dari pecahan saham Perodua, Daihatsu dan dua lagi syarikat Jepun itu cuma memiliki 27 peratus dari jumlah keseluruhan. Tidak sampai separuh pun!

Selebih saham Perodua dimiliki oleh UMW Corporation, MBM Resources dan Permodalan Nasional Berhad (PNB)- semuanya syarikat tempatan. Jadi bagaimana anda boleh berkata Perodua itu milik Jepun?

Pecahan saham terbesar Jepun dalam Perodua lebih bertumpu kepada anak syarikat Perodua – lebih tepat lagi bahagian operasi pengilangan. Di sini, syarikat Jepun mahukan pegangan saham terbesar kerana mereka perlu menjaga teknologi yang dikongsi dengan Perodua. Ini ialah antara perkara yang mereka memang telah lama mahir dan pada hemat saya, adalah terbaik untuk diberikan kepada pihak Jepun untuk menguruskannya agar operasi kilang sentiasa menghasilkan produk yang berkualiti tinggi.

Tetapi sebenarnya, pemilikan dan pecahan saham syarikat Perodua bukan menjadi prioriti kepada pelanggan mereka. Rata-rata rakyat Malaysia yang membeli produk Perodua hanya mahu tahu Perodua ini ialah sebuah syarikat tempatan yang menggunakan tenaga tempatan dan menghasilkan kenderaan-kenderaan berkualiti tinggi serta tahan lasak.

Kedua itu ialah keperluan asas mana-mana pembeli dan kerana Perodua mampu mencapainya, ia terus menerima sokongan dan kepercayaan dari rakyat Malaysia.
Kembali kepada persoalan awal akan konsep perniagaan yang diambil oleh Proton dan Perodua, terbukti bahawa konsep yang dipratikkan oleh Perodua memang berhasil dan membawa keuntungan kepada semua.

Dan sekiranya Proton mahu berjaya seperti Perodua, mungkin ia patut menggunakan konsep perniagaan yang sama juga?

– Chips Yap

(Dialih bahasa oleh Hezeri Samsuri)
* Mula menulis tentang industri automotif negara dan dunia selama 39 tahun, Chips Yap merupakan antara wartawan permotoran yang paling terkemuka di dalam industri. Sila baca artikel “Selamat datang Chips Yap” untuk mengetahui sejarah beliau.

Recommended for you

4 Comments

  1. sepul

    Apr 21, 2016 at 11:54 am

    Saya setuju komen Chips Yap yang akhir sekali. Memandangkan Proton ada kerjasama dengan Suzuki, elok jika Proton membenarkan pegangan saham besar kepada Suzuki untuk bahagian pengilangan dan pemasangan. Proton ambil model Suzuki untuk dijenamakan semula sebagai Proton, dan Proton memberi pegangan ekuiti besar kepada Suzuki untuk menjaga kualiti kereta Proton.

    Selain itu, pengurusan Proton juga perlu lebih telus dan pengenalan model baru dan varian model sedia ada mengikut trend semasa dan kehendak pasaran.

    Untuk Proton maju sebagai sebuah syarikat, lupakan sejenak konsep “kereta nasional” kerana Proton ialah syarikat yang menghasilkan kenderaan untuk dijual. Tak guna konsep nasional jika syarikat rugi bertahun-tahun.

  2. SuprimaS

    Apr 21, 2016 at 12:42 pm

    Pada pendapat saya.. saya lagi suka memiliki kereta yg unik hasil RnD tempatan dan mempunyai DNA tempatan. Saya memilih Suprima berbanding Inspira kerana keunikan dan keseronokan membawa kereta buatan tempatan. Memang kereta tu lebih banyak masalah dan isu tapi itu adalah sebagai cabaran dan Proton sepatutnya belajar dari kesilapan dan keluarkan produk yang lebih berkualiti. Buang segala masalah politik, birokrasi dan kroni. Fokus lebih kepada menghasilkan kereta yang bertaraf global dan tolonglah jaga perkhidmatan servis selepas jualan.

  3. Motorfans

    Apr 22, 2016 at 3:48 pm

    sy tidak rasa produa berkualiti. tp bila dikuatkan dgn masalah quality yg sering dikaitkan dgn proton, maka semua masalah quality produa disenyapkan..

    produa berkuality?? BIG NO.

    dr Produa user

  4. Jack

    Nov 17, 2016 at 11:12 pm

    Perodua belum buat kereta sendiri. MYVI memang Daihatsu Sirion yang di rebadge. Di UK akan jumpa Sirion, Cuore (Kelisa) dan terios (kembara). Axia pula jenama Daihatsu di Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *