Bila Jee An Berleter

Volume 3 – Naluri IbuBapa

on

Yang bernama ibu bapa pasti sayang anak. Itu panggilan naluri.

Yang bernama emak ayah sentiasa mencuba untuk meluangkan masa santai dengan anak . Itu panggilan naluri.

Yang bernama mama papa pasti ingin memenuhi kehendak anak. Itu panggilan naluri.

Tapi Jee An tak tahu kenapa, apabila melibatkan hal hal keselamatan jalan raya, cukup ramai pemilik zuriat ini yang lupa. Alpa tahap maksima tentang perlunya anak anak itu dijaga keselamatan mereka. Padahal ini bukannya perkara yang terlalu sukar untuk diberi perhatian. Bagi Jee An ini sangat asas. Jee An sangat tak faham macam mana ibu bapa boleh abaikan benda penting begini.

Perlu ke ada kursus khas untuk beritahu bahawa :-

  • Memeluk anak sambil memandu bukan tanda aras sayang anak. Itu cari nahas.
  • Membawa anak bersiar siar di dalam kereta dengan tingkap yang terbuka bukan tanda aras meluangkan masa santai dengan anak. Itu cari nahas.
  • Membiarkan anak menunggang motor tanpa lesen bukan tanda aras memenuhi kehendak anak. Itu cari nahas

Tapi yang bahaya ni la yang emak ayah suka sangat buat. Entah kenapa. Macam ada dalam sarkis pulak bila tengok pemandu pegang anak sambil pusing stereng. Kalau ye pun pasang angan angan anak nanti bila dah besar boleh ganti Lewis Hamilton, dah terkena anak melambung keluar dari cermin depan nanti meraung air mata darah pun tak ada makna ya bang.

Gambar oleh Arunsawat Preedathawan (123RF)

Bayi yang tidak diletakkan di dalam kerusi sepatutnya juga adalah satu perbuatan bahaya. Gambar oleh Arunsawat Preedathawan (123RF)

 

Apa tujuan pegang anak sambil memandu ni. Tak boleh ke nak fikir betapa bahayanya cara begitu. Kalaulah kena brek mengejut, paling tidak pun benjol kepala anak tu. Itu kalau kita kira cedera paling minima la. Tak larat nak fikir bahaya yang jauh sikit dari minima.
Itu belum kira bahaya pada orang lain pulak. Buatnya pemandu terleka layan gelagat anak “main stereng”, perhatian pada pemanduan pun sah ke laut. Apa jadi? Entah la ya.

Ada lagi satu perangai emak ayah yang buat Jee An tambah pening. Kereta bergerak, Tingkap luas terbuka. Anak kecik gegirl tengah berdiri kat tempat duduk belakang nyanyi lagu Hidup Dalam Mati Abang Syamel. Yang kecik boboi sorang lagi tengah lambai lambai kat anjing kereta amoi sebelah. Indah sungguh suasana libur keluarga kan? Tapi emak ayah tu ada fikir ke apa jadi kalau tangan anak yang melambai tu kena libas dengan motor yang merapat.

Itu baru tangan, Kalau kepala? Apa cerita? Siapa salah? Motor? Sebab rapat sangat dengan kereta? Lori? Sebab brek tak makan bila dah nampak kepala budak terjulur luar tingkap. Atau Polis trafik? Sebab tak sediakan khidmat outrider untuk akak bersiar siar bawak anak dekat lebuhraya PLUS? Entah la ya. Dan Jee An tambah seriau bila tengok budak budak renek tinggi pokok keladi belum ada isi dah ke hulu ke hilir tunggang motor. Adik oiii ! Tunggu akil baligh tumbuh misai dulu boleh tak? Macam mana emak ayah boleh lepaskan anak tunggang motor begini. Tak tercapai akal nak memikirkan.

Yang dah ada lesen B penuh pun selalu je terpesong cara tunggangan. Ini kan pulak budak budak yang belum sunat ni. Emak ayah tolonglah jangan terlalai, Kalau susah sangat nak pantau aktiviti ‘ganas’ anak anak anda, apa kata kunci motor tu letak kat dalam gobok yang berkunci? Anak tak boleh ambik. Mudah kan?

Tapi tak tau la kan kalau memang emak ayah ni megah dapat tengok anak anak tak cukup umur dah pandai tunggang motor. Entah la ya. Bukan mendoakan tapi kalau jadi apa apa nahas jangan sesekali tuding jari telunjuk pada sesiapa pun.

Silalah halakan ibu jari pada diri sendiri. Semoga bermanfaat.

Recommended for you

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *