Informasi

SUV dan MPV, yang mana lebih sesuai untuk keluarga?

on

Semakin ramai keluarga yang memilih sebuah SUV sebagai kenderaan keluarga, terutama SUV dengan tujuh tempat duduk.

Antara alasan popular yang diberikan ialah ibubapa tidak sanggup memandu kotak bergerak, atau akuarium bergerak, atau pangsapuri bergerak seperti sebuah MPV.

Jadi apakah benar sebuah SUV mampu menggantikan sebuah MPV demi menjaga gaya hidup ibubapa?

Mari kita kaji.

Kotak itu bijak

ALPHARD

Jika anda sering menggunakan barisan tempat duduk ketiga, ini bermakna anda memerlukan sebuah MPV kerana bentuk berpetak itu yang memaksimakan ruang.

Contoh terbaik ialah Nissan Serena S-Hybrid. Ia adalah sebuah MPV yang mempunyai platform sebesar platform Nissan X-Trail tetapi kerana bentuk berpetaknya, Serena mampu memuatkan lapan penumpang dewasa.

X-Trail hanya boleh memuatkan lima penumpang dewasa dan dua kanak-kanak.

Jadi jika anda mempunyai keluarga yang besar dan memandu sebuah SUV, anda mungkin memaksa ahli keluarga anda duduk di dalam ruang yang sempit dan tidak selesa.

Ruang letak barang

Kebanyakan MPV mempunyai ruang letak barang yang lebih besar kerana bentuk petaknya.

Ada MPV yang mempunyai tempat letak barang di bawah lantai, dan ini menambahkan praktikaliti kenderaan itu untuk sebuah keluarga.

Jika anda menggunakan ketiga-tiga barisan tempat duduk di dalam sebuah SUV, anda mungkin mempunyai masalah untuk menyimpan beg-beg penumpang anda.

Antara anda membeli kotak kargo bumbung seperti Thule, atau anda belikan mereka pewangi kerana mereka akan mengguna-pakai pakaian itu berkali-kali.

SUV ladder frame lasak

Jika anda sering pulang ke kampung halaman dengan keadaan jalanraya seumpama laluan balak, cari SUV tujuh tempat duduk dengan kerangka trak (ladder frame).

Ini ialah kerana kerangka trak memang kukuh dan sistem 4X4 yang digunakan datang dengan “lower transfer case”, sama seperti sebuah jentera 4X4 sejati.

segmen-suv-dan-mpv

 

Dalam kes ini, SUV lebih sesuai dari sebuah MPV. Tetapi, SUV begini tidak selesa seperti sebuah MPV kerana kerangka mirip trak pikap.

MPV lebih mudah keluar masuk

Sebuah MPV mempunyai lantai yang lebih hampir ke bumi, dan ini memudahkan penumpang keluar dan masuk, terutama ke tempat duduk barisan ketiga.

MPV dengan pintu sisi jenis gelungsur (sliding side door) adalah lebih praktikal kerana bukaan yang lebih besar.

Untuk SUV, kerana ia tinggi, ia kurang sesuai untuk penumpang berusia.

SUV lebih praktikal di bandar

Jalanraya di bandar sering mempunyai cabaran-cabaran seperti lubang, bonggol, ramp parkir yang tinggi dan tajam ataupun cabaran alam semulajadi seperti banjir kilat.

SUV, dengan jarak lega bumi yang lebih tinggi, menawarkan kebolehan mengharungi halangan-halangan tersebut dengan lebih mudah. Ia juga bersaiz lebih kecil dari MPV dan lebih mudah diparkir.

mazda

SUV menjimatkan bahan api

Sebuah SUV mempunyai rekabentuk badan yang mirip sebuah kereta. MPV pula lebih kepada rumah bergerak dan mempunyai jumlah luas permukaan hadapan yang lebih besar.

Kerana itu, SUV moden yang menggunakan kerangka “monocoque” atau yang berlandaskan platform mirip kereta lebih menjimatkan tenaga.

MPV lebih banyak fungsi keluarga

Kerana bumbung MPV yang lebih tinggi, ia boleh dipasang dengan skrin LCD besar di siling.

Ia juga mempunyai ruang letak barang yang lebih banyak bagi penumpangnya. Dan banyak MPV yang datang dengan tempat duduk bergerak yang boleh dilaraskan kepada pelbagai posisi.

MPV juga mempunyai meja lipat untuk digunakan dan paling penting, corong pendingin hawa untuk semua barisan penumpang.

Dalam erti kata lain, resipi keluarga bahagia pasti mengandungi sebuah MPV yang baik.

air cond

Dan pembuat kenderaan di Eropah masih menjadi pembuat MPV yang terbaik di alam semesta kerana ia penuh dengan ciri-ciri keselamatan dan fungsi-fungsi praktikal untuk seisi keluarga.

Kenderaan dari Jepun kurang kerana mereka tidak selalu beranak ramai dan oleh itu, MPV mewah mereka sebenarnya lebih direka untuk membawa orang tua atau VIP.

Sememangnya sebuah MPV memang dibina khusus untuk membawa keluarga dan walaupun jurang perbezaan antara MPV dan SUV semakin kabur, ada ketikanya sebuah SUV itu memang terang-terang sebuah SUV tulen untuk ke jalan yang lasak.

Sebagai ketua keluarga, kita harus imbangkan kegunaan praktikal seharian kita. Paling penting, bila hendak membeli kenderaan untuk keluarga, bawa semua ahli keluarga dan pandu uji bersama mereka kerana keputusan terletak di tangan semua ahli keluarga anda sementara keselamatan mereka terletak di bahu anda.

kids-inside-a-car

Gambar utama dari nissan.com.my

 

 

Recommended for you

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *