Gebang Abang Long

Zon motosikal baharu mampu undang bahaya?

on

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah  mewujudkan zon keutamaan motosikal di beberapa lokasi lampu isyarat dalam usaha untuk melaksanakan penstrukturan trafik yang baharu di ibu kota Kuala Lumpur.

Zon tersebut yang dicat warna merah dan putih akan menjadi penanda kepada setiap penunggang motosikal untuk berhenti di dalam petak khas sementara menunggu lampu isyarat dan tidak lagi dibenarkan memberhenti kenderaan di luar petak tersebut.

Kenderaan lain perlu memberhentikan kenderaan masing-masing di belakang petak itu.
IMG_4560
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata penstrukturan trafik ini adalah bagi menjamin keselamatan pejalan kaki untuk melintas dan memberi kemudahan kepada pengguna motosikal berhenti dalam keadaan selamat. “Dalam usaha ini, saya harap agar ia dapat mengurangkan kes jenayah yang sering berlaku di jalan raya seperti masalah ragut dan pecah cermin kereta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Setakat ini DBKL menyediakan zon motosikal di tiga lokasi merangkumi Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak. Setiap zon yang berkeluasan 6.096 meter mampu memuatkan lebih 20 motosikal dalam satu-satu masa. DBKL akan memberi tempoh percubaan selama tiga bulan bermula bulan ini kepada pengguna jalan raya untuk membiasakan diri dengan penstrukturan trafik yang baharu itu. Selepas tempoh percubaan itu, penunggang motosikal yang gagal mematuhi arahan itu akan dikenakan kompaun antara RM50 hingga RM100.

Sementelah usaha penambahbaikan ini disanjung dan disokong dari segi konsepnya, seperkara lagi yag patut dipertimbangkan adalah penggunaan cat dalam mewarnakan zon motosikal ini.

Sebelum ini zon tersebut pernah diwujudkan walaupun secara agak ringkas. Kesannya masih boleh dilihat di persimpangan Jalan Sultan Ismail, di mana dahulunya zon ini ditandakan dengan lukisan motosikal diantara dua garisan juga, tetapi tidak diwarnakan latarbelakangnya.
IMG_4562 IMG_4563
Penggunaan cat bagi menandakan zon dan laluan khas motosikal juga digunakan di United Kingdom dengan warna biru dan digelar cycle superhighways (CSH). Sebagai negara maju kita mampu mengandaikan bahawa cat yang digunakan telah diuji keselamatannya oleh pihak mereka.
b1a
Namun begitu hanya beberapa hari lepas, seorang koroner telah menuntut “semakan segera”  mengenai keselamatan cat biru yang digunakan pada CSH (cycle superhighways atau lebuhraya sikal) selepas seorang penunggang motosikal terbabas melanggar tiang penghadang jalan dalam hujan dan mengalami kemalangan maut.

Dr Fiona Wilcox telah mengeluarkan tuntutan semakan tersebut kepada pihak Pengangkutan London (Transport of London atau TfL) sebagai langkah pencegahan kematian melaporkan bulan sebelum dia membuat kesimpulan inkues ke atas kematian Milan Dokic, 49, yang terbabas di Battersea Park Road pada 1 Mac tahun lalu selepas hilang kawalan motosikal dalam keadaan basah pada kira-kira 1 tengah hari.

Dokic telah memasuki lorong CS8 – salah satu superhighways berasingan bagi sikal yang mula diperkenalkan oleh Boris Johnson, ketika memotong sebuah sebuah van.

Dalam laporan beliau untuk TfL, Dr Wilcox menulis: “CCTV jelas menunjukkan motosikal kehilangan cengkaman dan menggelongsor di sepanjang jalan. Malangnya, Dokic terjatuh dan melanggar “bollard”, dan mengalami kecederaan yang membawa kepada kematiannya di tempat kejadian.”

Beliau turut berkata bahawa beliau juga sedang mengkaji keterangan satu lagi kes kematian “dalam keadaan yang sedikit berbeza” di Battersea “di mana cengkaman rendah pada CSH (lebuhraya sikal) mungkin telah memainkan peranan”.

Dalam kajian pra-inkues di mahkamah Westminster koroner pada 14 Februari, seorang penyiasat perlanggaran memberi keterangan bahawa permukaan jalan yang dicat mempunyai rintangan gelinciran dsebanyak 56.3, berbanding dengan skor permukaan jalan konvensional sebanyak 77. Bahagiana lebuhraya yang berhampiran lintasan pejalan kaki pula dibina berbeza dan mempunyai rintangan gelinciran sebanyak 89.8.

Dr Wilcox berkata beberapa penunggang motosikal dan juga basikal telah bercakap tentang kekurangan cengkaman pada beberapa bahagian lebuhraya, yang terletak di antara Westminster dan Wandsworth.

Beliau turut memberi amaran kepada TfL bahawa “terdapat risiko bahawa kematian mungkin berlaku di masa akan datang” melainkan jika TfL mengambil tindakan segera. Beliau turut menyeru “kajian semula segera semua di kawasan yang dirawat dengan cat permukaan jalan itu dan menggantikannya dengan permukaan bercengkaman  lebih baik. “Kebimbangan ini terlalu mendesak untuk ditunggu sehingga perbicaraan penuh.” Inkues tersebut yang akan diadakan pada musim panas ini.

Dalam perkembangan lain pada Januari lepas di London UK juga, penunggang basikal dikatalkan telah “jatuh seperti skittles (pin sejenis boling padang)” kerana permukaan yang licin pada bahagian baharu Cycle Superhighway di selatan London. Para penunggang telah mengadu bahawa jalan berasingan bagi sikal di Stockwell itu telah menyebabkan huru-hara bilamana penunggang basikal telah tergelincir di atas permukaan bercat yang dikatakan  “berminyak”. Jalan penghubung dari Clapham Road ke South Lambeth Road itu telah dibuka sejurus sebelum Krismas 2016 tetapi telah mencetuskan aduan daripada penunggang basikal. TfL  berkata ia telah melancarkan siasatan “sebagai satu perkara segera” berikutan laporan tersebut.
stockwellpath0501
Di negara ini, kita sedar bahawa permukaan bercat memang menwujudkan permukaan yang licin bagi motosikal dan juga basikal. Garisan kuning penanda memperlahankan kelajuan sering menjadi kerisauan bagi penunggang, terutama sekali di kala hujan. Malangnya di beberapa garisan ini kadangkala di cat di selekoh jalan, yang mampu membahayakan penunggang! Garisan memperlahankan kelajuan seperti ini sepatutnya hanya dicat SEBELUM sesuatu selekoh itu dan bukannya setelah memasuki selekoh.

Permukaan bercat dan garisan jalan memang licin. Tanya saja abang abang trafik PDRM kita yang menunggang seharian, apatah lagi bagi mereka yang menunggang motosikal pacuan syaf atau aci seperti CBX750. Cuba ajak mereka kongsikan pengalaman nyaris, malah ada yang pernah jatuh dek kerana garisan.

Zon motosikal bercat ini wujud sebelum hentian persimpangan lampu isyarat. Kita tentunya tidak menginginkan seorang penunggang yang menunggang laju ketika lampu dilihat hijau, dan gagal berhenti sebelum persimpangan tersebut bila lampu isyarat tiba tiba bertukar merah. Mungkin boleh dipertikaikan sikapnya, namun begitu usahlah kita wujudkan keadaan yang mampu membahayakan. Malah, jika dibuktikan bahawa permukaan bercat ini lebih licin dari permukaan sebelumnya, bagi Abg Long itu alasan yang sudah cukup memadai untuk kita mencari alternatif lain selain penggunaan zon berwarna ini.

Recommended for you

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *