Wawancara

Nazli KOA – Mula-mula minat, kini otai pacuan empat roda

on

Untuk mereka yang sudah lama bermain dengan kenderaan 4X4, nama Nazli KOA adalah antara yang popular sebagai pembuat modifikasi kenderaan offroad.

Antara hasil kerja tangan beliau yang popular ialah Pinzgauer custom dan suatu ketika dahulu, Perodua Kembara dengan suspension lift untuk memuatkan tayar besar.

Namun tidak ramai tahu Nazli Rashid yang berusia 44 tahun ini adalah anak jati Balik Pulau dan pernah gagal dalam perniagaan ketika muda.

Beliau juga pernah memarahi Tan Sri Datuk Sri Mohd Hassan Marican, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas.

“Ketika itu, saya baharu mula bekerja di projek Petronas di Seberang Prai dalam bidang pengurusan SHE (Safety, Health and Environment Management). Saya cuma kerani biasa, dan saya sering diminta berlaku tegas dalam memastikan keselamatan diutamakan di tempat projek,” terang beliau.

Antara projek yang sedang dilakukan oleh Nazli di bengkelnya.

Antara projek yang sedang dilakukan oleh Nazli di bengkelnya.

 

“Satu hari, saya ternampak seorang berpakaian pejabat berada di tapak projek, tanpa memakai alatan keselamatan. Beliau datang dengan sebuah Proton Saga. Saya tidak tahu sebenarnya siapa dia, dan saya meminta beliau keluar dari kawasan tersebut dengan segera kerana tidak mematuhi peraturan keselamatan.”

Beberapa minit selepas itu, beliau diminta masuk untuk mesyuarat dan pada ketika itu baharu beliau sedar lelaki yang ditegur tadi menjadi pengerusi mesyuarat itu dan itulah bekas Presiden Petronas, Tan Sri Hassan Marican.

Tan Sri sangat berpuas hati dengan tindakan tegas Nazli dan seterusnya dinaikan jawatan. Ia juga titik tolak karier Nazli di dalam industri Oil & Gas dan kemudian beliau terus bekerja dengan beberapa syarikat besar dan ternama.

Nazli yang kini masih lagi bekerja di sebuah syarikat pembinaan juga menjalankan operasi modifikasi kenderaan jenis 4×4 sebagai hobi. Bengkel beliau di Kampung Tengah, Puchong penuh dengan kenderaan-kenderaan menarik.

web-nazli-koa-13

 

Namun, pasti ada yang bertanya apa itu KOA?

KOA ialah singkatan kepada nama syarikat beliau, Kembara Offroad Adventure, dan ia mengeluarkan antara barangan modifikasi offroad terbaik dari Malaysia.

Antara produk buatan KOA ialah “roof rack”, “skid plate”, “bumper” dan lain-lain lagi. Kebanyakannya ialah bagi model Mitsubishi Pajero, Land Rover Defender dan Toyota Hilux. Beliau turut membuat komponen untuk Mitsubishi Triton, Ford Ranger dan sebagainya.

Keistimewaan Nazli sebenarnya ialah beliau boleh melakukan modifikasi kenderaan 4×4 mengikut permintaan pelanggan yang rata-rata mahu aksesori yang direka khas. Dari Pinzgauer, Volkswagen 4X4 Van, kenderaan Agro 8X8, Unimog dan banyak lagi jentera unik yang mampu di-custom-kan oleh Nazli.

Oleh demikian, tak hairanlah ada Sultan di negara ini yang menjadi pelanggan setia Nazli.

 

Antara kenderaan 4X4 yang ada di bengkel beliau.

Antara kenderaan 4X4 yang ada di bengkel beliau.

web-nazli-koa-v4-2

 

Bila ditanya bagaimana Nazli boleh terlibat dengan dunia 4×4, ini adalah jawapan Nazli.

“Berbekalkan pengalaman bekerja di dalam bidang pembinaan, saya kemudian bekerja di TRC (Trans Resources Corporation) bagi projek pembinaan lebuhraya
Cameron Highland-Simpang Pulai. Dari situlah saya mendapat peluang untuk memandu kenderaan 4×4 model Suzuki Jimny SJ 410 yang diberi oleh pihak syarikat.”

Semasa bertugas di situ, Nazli berjumpa dengan seorang kontraktor kenderaan bagi projek tersebut, Ah Choi yang selalu membawa beliau menaiki kenderaan 4×4.

web-nazli-koa-14

 

Melihat minat Nazli, Ah Choi menyuruh Nazli membeli sebuah kenderaan 4×4 dan kemudian menawarkan khidmat mengajar Nazli melakukan modifikasi sendiri.

Bermodalkan RM35,000, Nazli memiliki kenderaan 4×4 model Mitsubishi Pajero LO47 beliau yang pertama pada tahun 2001.

“Bila sudah ada 4×4 sendiri, mulalah terbit rancangan untuk modifikasi itu dan ini. Lagipun dekat tempat kerja saya tu ramai mekanik dan Ah Choi juga ada untuk membantu,” ujar Nazli.

Sebaik sahaja Nazli telah membeli segala barang-barang untuk modifikasi, terus beliau berjumpa Ah Choi untuk minta bantuan mekanik.

Apa yang terjadi adalah sebaliknya, Ah Choi meminta mekanik beliau menunjukkan segala peralatan kepada Nazli, dan Nazli perlu membuat kerja-kerja modifikasi itu sendiri.

web-nazli-koa-27

Nasib baik juga Nazli ada kepakaran untuk buat kerja-kerja kimpalan, dua minggu sahaja “body lift”, bamper besi depan belakang dan “roof rack” disiapkan sendiri oleh Nazli.

Minat Nazli terus membara hinggakan suatu ketika, beliau membeli enam buah American Jeep terpakai dari Kelantan dan meletakkan kenderaan-kenderaan itu di bengkel rakan bagi proses restorasi.

Kekecewaan melanda Nazli apabila beliau dapati kesemua Jeep yang ditinggalkan di bengkel itu hampir menjadi besi buruk sedangkan beliau sudah menyelesaikan pembayaran bagi proses restorasi dan modifikasi tersebut.

Akibat dari tragedi itu, beliau kemudian nekad dan mengambil cuti selama sebulan untuk menyiapkan jentera itu.

Dengan bantuan seorang mekanik dan pengimpal yang diupahnya, mereka berjaya menyiapkan kesemua 4×4 Nazli untuk meyertai cabaran offroad.

Antara jentera pertama Nazli.

Antara jentera pertama Nazli.

 

Cabaran demi cabaran offroad (Offroad Challenges) yang dimasuki oleh Nazli hinggakan beliau mula dikenali ramai, dan ramai yang meminta bantuan Nazli untuk melakukan modifkasi.

Bagaimana pula bengkel KOA 4×4 ini boleh diwujudkan?

“Pada masa itu saya mendapat satu projek “rescue vehicles” untuk sebuah konsortium yang melakukan projek ITIS di Lembah Klang. Untuk melaksanakan projek ini, saya memerlukan sebuah kedai yang lengkap dengan insuran, itulah yang saya buka bengkel KOA 4X4 ini”.

Namun bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diuruskan. Nazli sendiri berkongsi pahit manis beliau dalam menjalankan operasi perniagaan tersebut.

Sudah lima kali lokasi bengkel berubah dan banyak juga wang yang telah dibelanjakan bagi pengubahsuaian bengkel-bengkel itu, namun semua nya tak menjadi di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Dengan semua cabaran yang dihadapi, Nazli hampir berputus asa. Berbekalkan semangat yang ada, Nazli tetap ingin meneruskan perniagaan dan berjaya membeli peralatan seperti “welding machines”, “pipe bending”, “punching machines” dan juga “CNC cutter”. Walaupun mesin-mesin tersebut ialah dari jenis terpakai, ia masih terus boleh digunakan sehingga hari ini dan paling menarik, ia dibeli menggunakan wang simpanannya sendiri.

 

“Saya tidak berhutang untuk membeli mesin-mesin tersebut. Kini, saya sudah ada beberapa mesin lain termasuk kemudahan untuk powder coating,” sambung Nazli.

Kini beliau mempunyai seramai lapan orang pekerja dan barangan KOA sudah menjelajah di seluruh negara termasuk dieksport ke Brunei dan Thailand.

Bercerita tentang harga pula, memang harga di bengkel KOA 4X4 ni agak premium dari bengkel-bengkel lain. Sebagai contoh;

  1. Bumper Depan RM1800
  2. Pemijak Tepi RM950
  3. Skid Plate RM600-RM1,000

Walaubagaimanapun, beliau sangat mementingkan kualiti produk yang dihasilkan. Besi yang digunakan adalah lebih tebal dan kuat untuk melindungi kenderaan daripada rosak.

Jaminan ganti semula juga diberi jika aksesori tersebut bengkok atau kemek.

Pastikan kita tahu tujuan modifikasi kita.

Pastikan kita tahu tujuan modifikasi kita.

 

“Kalau hendak buat pemasangan aksesori, lebih baik berunding dengan orang yang berpengalaman dengan 4×4. Jangan hanya target harga yang murah. Objektif utama untuk aksesori ini adalah bagi tujuan keselamatan,” nasihat Nazli.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Nazli di talian 012-565 3397 atau “Facebook”- Nazli Koa.

Syabas Nazli, dan Careta harap ramai lagi antara kita yang mampu menjadikan hobi itu kepada satu perniagaan berjaya.
Laporan oleh Nurdiana Ismadi
Gambar oleh Hezeri Samsuri

Recommended for you

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *